|
|
BERHIBUR sambil memenangi tiket penerbangan. Itulah yang ditawarkan kepada para pendengar radio popular yang cukup sinonim dengan tagline Stesen Muzik Anda, Mizikfm.
Menawarkan hadiah bernilai RM50,000 bermula 7 Mac hingga 3 April ini, ia salah satu strategi pemasaran yang digunakan oleh stesen yang bernaung di bawah label Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu dalam menarik lebih ramai pendengar.
Dengan hanya menyertai kuiz Terbang Bersama Muzikfm, para pendengar berpeluang memenangi bukan hanya wang tunai bahkan, tiket-tiket penerbangan pergi dan balik termasuk ke London, Guangzhou, Jakarta, Bali dan Langkawi.
Tidak cukup dengan itu, tiga buah motosikal berjenama Demak yang bernilai hampir RM5,000 setiap satu juga bakal menjadi rebutan.
Sebagai salah sebuah stesen radio yang tersenarai antara 10 stesen terbaik di negara ini, tawaran hadiah-hadiah menarik itu dilihat sebagai terjemahan penghargaan Muzikfm terhadap sokongan pendengar yang tidak berbelah bagi sejak awal penubuhannya pada 20 Jun 1975 lagi.
Penyerahan 10 tiket penerbangan oleh penaja iaitu AKI Music kepada Muzikfm telah diadakan dalam sebuah majlis sidang akhbar yang berlangsung di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya pada sidang akhbar itu memberitahu, kerjasama RTM dengan AKI Music secara tidak langsung menggalakkan minat pendengar untuk mengambil bahagian dan terus setia bersama Muzikfm.
"Apa yang saya lihat, ini sebagai satu perkongsian pintar radio kerajaan dengan sector swasta di mana dalam masa yang sama bukan hanya pendengar mendapat manfaat malah, secara tidak langsung mempromosi syarikat swasta itu juga.
"Kuiz seumpama ini bagi saya secara tidak langsung akan meningkatkan rating Muzikfm sendiri pada masa akan datang," katanya.
Muzikfm yang mempunyai jumlah pendengar sebanyak 1 juta secara purata kini dalam perancangan untuk meningkatkan jumlah pendengar mereka sehingga ke angka 1.2 juta.
Malah, kata Pengurus Muzikfm, Fee Lin Chew pada majlis yang sama mengharapkan peningkatan jumlah pendengar yang disasarkan untuk tahun ini menjadi kenyataan dengan adanya kuiz tersebut.
Katanya, sepanjang lima minggu berlangsungnya kuiz tersebut, dua tiket penerbangan akan diberikan kepada pendengar pada setiap minggu malah, soalan-soalan akan dibuat secara mingguan dan pemenang akan diumumkan pada setiap hari Selasa.
Untuk menyertai kuiz tersebut, pendengar hanya perlu mendengar soalan kuiz yang disiarkan setiap hari bermula 7 Mac dan menghantar jawapan pada hari yang sama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Caranya, taip SA
Soalan-soalan akan dikeudarakan sepanjang hari menerusi lima segmen iaitu Muzikpagi (6 pagi hingga 9 pagi), kafemuzik (10 pagi hingga 2 petang), Rock Selamba (2 petang hingga 5 petang) dan Muzik 5 9 (5 petang hingga 9 malam).
Bagi memenangi hadiah berupa motosikal Demak, pendengar hanya perlu mengikuti segmen Pilihan Bersama setiap malam dari pukul 9 hingga 1 pagi. Untuk menghantar jawapan, sila taipkan PILIH
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: