Monday, March 28, 2011

Tesco sasar bimbing 150 kedai runcit



Pasar raya Tesco (Malaysia) Sdn Bhd, berhasrat membimbing 150 kedai runcit di seluruh negara tahun ini menerusi Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) yang merupakan antara program Aktiviti Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Pengurus Projek Komersialnya, Mohamad Harith De Souza Abdullah berkata, program itu sebagai menyahut seruan kerajaan dalam membantu memajukan kedai runcit dari segi infrastruktur dan kecekapan operasi supaya lebih berdaya saing.

“Selain itu, transformasi ini turut menyediakan teknologi baru seperti mesin daftar tunai (Point of Sale Machine). Kebanyakan kedai runcit kecil tidak mempunyai rekod jualan dan biasanya mereka tidak tahu nilai sebenar jualan harian. Jadi, menerusi mesin ini, jualan harian akan lebih mudah direkodkan,” katanya.

Menurutnya, penyertaan Tesco dalam program itu adalah sebagai menunaikan sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya, dan memandangkan Pasar Mini Lyna adalah kedai pertama melakukan transformasi di bawah bimbingan Tesco, Harith menganggap itu adalah satu proses pembelajaran.

Sementara itu, pemilik Pasar Mini Lyna, Wan Fatimah Othman, 61, berkata, tawaran dari pihak Tesco untuk melakukan transformasi bagi kedainya adalah seperti mimpi menjadi kenyataan kerana dia telah menanam impian itu sejak sekian lama.

“Setelah lebih 12 tahun mengusahakan perniagaan ini, impian saya untuk melakukan perubahan supaya ia bertambah maju. Tetapi, masih belum ada peluang, dan tawaran dari pihak Tesco untuk saya adalah tepat pada masanya,” katanya.

Menurutnya, sebagai penasihat program itu, Tesco banyak memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar mengenai produk patut dijual, cara penyusunan produk di rak supaya lebih sistematik dan memudahkan pengguna serta kepentingan menjaga kebersihan kedai.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan kerana mengadakan program ini, dan terima kasih juga kepada Tesco kerana banyak mengajar cara pengurusan kedai runcit yang betul,” katanya yang memulakan perniagaan ini dengan hanya satu lot dan kemudian berkembang menjadi dua lot sehingga mempunyai kafe sendiri.

Transformasi dilakukan hampir pada keseluruhan kedai itudapat meningkatkan jualan harian kedai runcit 30 hingga 40 peratus sejak 20 Februari lalu.

Dalam pada itu, kerajaan turut berhasrat memajukan 5,000 kedai dalam tempoh 10 tahun bermula tahun ini dengan permulaan sasaran 500 kedai siap dimajukan sehingga berakhirnya 2011.

Selain Tesco, program itu turut disertai Mydin dan Carrefour.

Menerusi program itu, Bank Rakyat telah dilantik sebagai institusi kewangan pilihan dengan pembiayaan pinjaman sehingga RM60,000 dengan kadar faedah tiga peratus dan jangka masa pembiayaan selama tujuh tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: