Monday, March 28, 2011

Pak Hailam antara kopitiam pertama dapat sijil halal



Sekilas pandang penampilan kopitiam tidak ada bezanya dengan restoran lain, bagaimanapun, setelah beberapa transformasi dijalankan ternyata mempunyai kelebihan tersendiri dari segi keselesaan, kemudahan atau menu.

Rangkaian restoran Pak Hailam Kopitiam bukan nama baru dalam penyediaan makanan dan minuman.

Tambah menarik, restoran itu antara kopitiam pertama di Malaysia yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami menekankan soal halal kerana kami faham ianya bukan berkaitan agama semata-mata, tetapi pelaksanaannya meliputi aspek kebersihan, penyediaan dan segala bidang kerja yang penting untuk terus bertapak di negara yang populasi besarnya dikuasai kaum Muslim,” kata Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaannya, Andy Phang ketika ditemui Sinar Harian, di cawangan Shah Alam.

Menurutnya, status halal itu banyak membantu Pak Hailam menepis tohmahan kerana kebanyakan operasi beberapa kopitiam lain suatu ketika dahulu dikatakan bercampur unsur haram yang tidak sesuai untuk pelanggan Muslim.

Keprihatinan itu menjadi titik tolak kepada restoran berkenaan untuk terus melebarkan sayap perniagaan dan sedang dalam perancangan meneroka beberapa negara jiran yang dijangka berlaku tahun depan.

“Negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura adalah lokasi sasaran kerana faktor populasi dan persamaan cita rasa, di samping mempromosikan makanan Malaysia ke luar negara,” katanya yang mengalu-alukan penyertaan orang ramai sebagai francais.

Menurutnya, penghijrahan ke luar negara akan dilaksanakan secara perlesenan dan francais bergantung kepada sambutan rakan niaga, keadaan semasa dan turut disokong syarikat bersekutunya, kedai kek dan bakeri terkemuka sejak 1973, Kings Confectionary Sdn Bhd.

“Fokus pengembangan ke luar negara akan dijalankan secara berperingkat, kerana tumpuan tahun ini dikhususkan kepada penambahan sekurang-kurangnya lima cawangan baru,” katanya.

Andy berkata, cawangan baru bakal dibuka di luar Lembah Klang kerana tujuh cawangan yang ada ketika ini tertumpu sekitar ibu negara. Dua daripada cawangan itu kini dikendalikan secara francais.

Menurutnya, RM600,000 diperlukan sebagai modal pelaburan awal untuk membangunkan sesebuah cawangan baru.

“Modal itu kebiasaannya akan digunakan untuk pembelian peralatan dan kelengkapan, deposit dan sewa, mencecah RM500,000, bayaran lesen selama lima tahun RM60,000, deposit stok RM60,000 dan kos latihan RM10,000,” katanya.

Bagi memastikan pengurusan penyediaan makanan berjalan lancar, syarikat membuat penstrukturan dari segi penyediaan makanan. Semua makanan disediakan menerusi dapur terletak di Kepong dan akan diedarkan kepada semua cawangan.

“Dapur penting untuk memastikan setiap makanan terjamin dari segi kualiti dan diaudit mengikut piawaian ditetapkan sekali gus mengurangkan kos pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, setiap cawangan mampu meraih RM200,000 jualan sebulan dan syarikat berharap mampu mengekalkan kestabilan itu menerusi kepelbagaian sajian makanan yang memenuhi cita rasa semua kaum, bersama layanan mesra pengguna serta dekorasi yang mengekalkan budaya minum kopi masyarakat Cina seperti diamalkan masyarakat dahulu ketika mula membuka kopitiam.

“Walaupun perubahan demi perubahan, namun kopitiam sentiasa menyimpan khazanah visual bersama budaya yang diasimilasikan dengan perubahan setempat,” katanya.

Bercerita mengenai sejarah penubuhan, Andy berkata, Pak Hailam Kopitiam adalah perniagaan keluarga yang dibangunkan Wong seorang lelaki yang lahir di Wilayah Hainan, China. Pada usia enam tahun, dia mula terlibat dengan kerja buruh bagi mencari sumber pendapatan untuk membantu keluarga.

Ketika kecil, Wong menunjukkan sifat kepimpinan dalam dirinya apabila mengambil alih tugas ibunya menjaga adik beradik dan berkemahiran membancuh kopi dan teh.

Pada 1929, ketika usianya mencecah 17 tahun, Wong mula berhijrah ke Malaysia.

Berbekalkan pengalaman dan kemahirannya dalam membancuh kopi, dia membuka warung di Batu Arang, Rawang.

Perniagaan itu akhirnya mendapat sambutan baik, dan semakin hari semakin mendapat sambutan dan membentuk peminat tersendiri.

Beberapa tahun seterusnya, Wong mula mengatur strategi dengan mempelbagaikan rangkaian perniagaannya.

Bermula sebagai penjaja, dia kemudiannya menjadi penanam sayur di samping terus mengasah bakat dan kemahirannya membancuh kopi dan teh lalu menubuhkan Hailam Special.

Menerusi sokongan padu rakan dan pelanggan setia, Wong akhirnya menukar nama kedainya kepada Hailam Kopitiam dan perniagaan itu semakin berkembang sehingga memaksa Wong berpindah ke kedai yang lebih besar di Jalan Sultan. Walaupun berubah tempat, beberapa menu lama dikekalkan.

Apabila usia semakin meningkat, Wong lebih senang disapa dengan panggilan Pak Hailam. Lama kelamaan, nama kedai itu berubah menjadi Pak Hailam.

Kini, kedai itu semakin maju dan berubah menjadi restoran membentuk rangkaian diuruskan generasi kedua keluarga itu. Legasi itu semakin berkembang dan kini operasinya bukan secara perlesenan, tetapi berkonsepkan francais supaya pertumbuhannya lebih cepat dan menyeluruh.

Pengembangan operasi restoran itu kini bertambah serius apabila melantik Datuk Misbun Sidek sebagai duta.

Bagi memberi lebih keselesaan kepada pelanggan, kemu dahan jalur lebar tanpa wayar untuk kemudahan Internet turut disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: