Wednesday, March 9, 2011

Dimensi baru komedi Malaysia


EKSPRESI selamba enam tunggak utama sitkom komedi muzikal, Syok.


BERSAHAJA, selamba tetapi sarat dengan mesej. Itulah yang dapat diterjemahkan mengenai siri sitkom terbaru, Syok yang bakal menemui penonton di TV1 pada Mei ini.

Keistimewaan siri sitkom ini ialah ia bukan sahaja membuatkan penonton tidak kering gusi tetapi turut dipersembahkan dalam bentuk komedi muzikal. Dibintangi barisan pelawak berpengalaman seperti Harun Salim Bachik, A.R Badul, Saiful Apek dan Kartina Aziz, kehadiran Johan Raja Lawak dan penyanyi Adibah Noor dijangka dapat menarik perhatian penonton. Selaku penerbit, Nor Khuzaimah Abd. Aziz menjelaskan, sitkom muzikal Syok selama sejam itu akan diterbitkan dalam 12 siri yang mempunyai tema berbeza-beza pada setiap minggu. Jelasnya, program itu merupakan salah satu cara Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyampaikan mesej dan dasar kerajaan melalui selitan unsur komedi yang berunsurkan nasihat. "Ini merupakan kali pertama komedi muzikal yang diterbitkan oleh RTM. Jadi kita melihat cara seperti ini mampu memberikan satu dimensi baru dalam komedi di negara ini. "Kita melihat cara ini lebih selesa dilakukan berbanding cara konvensional kerana ia lebih mudah dan dilakukan secara santai,'' katanya ketika ditemui selepas rakaman di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Ditanya mengenai gabungan pelakon komedi lama dan baru dalam sitkom itu, Nor Khuzaimah berkata, ia merupakan salah satu cara menarik lebih ramai penonton menyaksikan siri itu. Beliau menambah, gandingan pelakon komedi dapat di lakukan dengan begitu baik dan sekali gus, memaparkan penulisan skrip Syok oleh Ahmad Zainuddin Abdullah berjaya. "Saya berbesar hati kerana pelakon komedi baru dapat menyesuaikan diri dengan pelakon lama. Malah apa yang saya bangga pelakon lama boleh menerimanya dengan baik. "Ini yang akan menjadikan sitkom Syok ini mempunyai aura tersendiri memandangkan mereka mempunyai gaya dan cara masing-masing untuk menyampaikan mesej masing-masing. Bagi Saiful Apek, sitkom Syok itu mempunyai kelainannya yang tersendiri yang mana setiap siri ia akan dilakonkan dengan watak yang berbeza bergantung kepada tema ditetapkan. "Program ini mempunyai keunikkan yang tersendiri yang mana masing-masing membawa watak yang berbeza pada setiap siri. "Malah saya rasa ini merupakan satu dimensi baru dalam komedi di negara ini," katanya. Adibah Nor pula memberitahu, ia garapan orang lama dan baru dalam menjayakan komedi muzikal. Adibah turut merasakan, Syok merupakan salah satu peluang terbaik dalam menghasilkan komedi yang lebih dinamik. "Dalam sitkom seperti ini tidak perlu ada berasa dirinya lebih atau kurang kerana masing-masing melengkapi antara satu sama lain. "Ini yang menjadikan sitkom ini mempunyai kelainan," jelasnya. Pelawak veteran A.R Badul berpendapat, sitkom komedi konvensional biasanya dizahirkan melalui gerakan tubuh dan cara pertuturan. Syok pula berbeza kerana ia menerapkan elemen muzik dalam menyampaikan mesej yang tersirat. "Malah kita melihat sitkom komedi ini boleh dijadikan salah satu pusat bagi mengembangkan lagi idea para pelakon komedi yang baru berjinak-jinak dalam industri hiburan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: