![]() |
| |
PENYATUAN muzik dua negara, itulah pengertian yang cuba dibawa oleh Neo Magik Sdn. Bhd. (Neo Magik) yang secara eksklusif membawa gabungan julung kali, Datuk Sheila Majid dan penyanyi tersohor seberang, Glenn Fredly atas pentas yang sama.
Tanggal 7 April ini pastinya melakar sejarah dan kenangan manis buat peminat tegar dua penyanyi popular itu yang bakal muncul dalam sebuah konsert mini bersempena Minggu Setiausaha.
Sheila Majid & Glenn Fredly Live akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada pukul 12 tengah hari.
Dikendalikan oleh Harith Iskander, persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu turut menjanjikan paduan suara daripada ikon dua negara itu.
Menurut Sheila, dia begitu serasi dan tertarik dengan muzik yang dibawa oleh Glenn sejak dari awal kemunculannya lagi.
"Saya suka lagu-lagu yang Glenn nyanyikan termasuklah Terserah dan Cukup Sudah. Bagi saya muzik adalah universal dan ia adalah cita rasa sebab itu saya rasa ia cukup serasi dengan saya.
"Sekurang-kurangnya, Glenn mahu membuat persembahan dengan saya pada konsert mini itu nanti sebab kalau ikutkan setengah artis muda tidak mahu menyanyi bersama artis yang lebih senior," kata Sheila.
Bagaimanapun, Glenn yang cukup menghormati Sheila memberitahu, dia membesar dengan lagu-lagu yang dibawa oleh Sheila termasuklah Lagenda, Aku Cinta Padamu dan Antara Anyer Dan Jakarta.
Glenn turut berpendapat, muzik yang dibawa oleh Sheila banyak memberi pengaruh terhadap perkembangan industri muzik di Indonesia dan buktinya, konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live di Jakarta pada pertengahan Februari lalu dimanfaatkan oleh lebih 3,000 orang peminat setianya.
"Saya sendiri boleh rasa bagaimana muzik Sheila mempengaruhi perjalanan karier saya. Justeru saya amat menghormati dan menghargai karya-karya Sheila sebab itu saat saya ditawarkan untuk berkolaborasi dengannya untuk konsert ini saya berasa begitu gembira," katanya.
Bercerita tentang pengisian konsert tersebut, kata Sheila, bakal ada elemen kejutan buat peminat terutamanya yang selama ini begitu ternanti-nanti saat dia dan Glenn berpadu suara.
Malah, kata Sheila, lagu wajib yang turut dipersembahkan pada konsert tersebut pastinya Lagenda dan Antara Anyer Dan Jakarta.
Persembahan kedua-dua penyanyi itu bakal diiringi oleh sentuhan magis pengarah muzik yang tidak asing lagi, Acis dan Rayendra Sunito yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Neo Magik, Edrie Hashim pada majlis yang sama memberitahu, idea menggabungkan Sheila dan Glenn di atas satu pentas tercetus tatkala dia memenuhi undangan menyaksikan konsert Sheila di Jakarta baru-baru ini.
"Idea tercetus secara tiba-tiba untuk pasangkan kedua-dua penyanyi itu. Kami bertanya kepada Glenn terlebih dahulu dan apabila dia bersetuju barulah kami panjangkan pertanyaan kepada Datuk Sheila pula.
"Apa yang pasti, jalan untuk kami mengadakan konsert mini yang membabitkan Sheila dan Glenn ini menjadi begitu mudah," kata Edrie.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: