Tuesday, March 15, 2011

Tiada dominasi dalam 3 Suara


RASMI... (Dari kiri) Jaclyn Victor, Shila Amzah, Kevin Chin, Adrian Lim dan Ning Baizura pada majlis pelancaran album 3 Suara di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DI Indonesia, dunia seni suara mereka boleh berbangga dengan gabungan tiga penyanyi wanita tersohor iaitu Ruth Sahanaya, Krisdayanti dan Titi DJ yang menggelarkan diri mereka sebagai 3 Diva.

Melihat kejayaan yang dikecapi oleh 3 Diva, pasti ramai yang tertanya-tanya, bilakah industri hiburan tempatan mahu digegarkan dengan gandingan serupa yang menampilkan tiga penyanyi wanita dengan kualiti vokal yang berbeza.

Memang tidak mustahil jika ada yang memasang impian atau mempunyai senarai pilihan mereka sendiri untuk melihat artis kesayangan mereka digandingkan untuk sebuah projek khas seperti mana 3 Diva.

Nampaknya impian peminat untuk melihat gandingan mantap seperti 3 Diva sudah menjadi kenyataan apabila Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah dipilih untuk sebuah projek khas yang menggelarkan diri mereka sebagai 3 Suara.

Pasti akan ada yang mempersoalkan pemilihan tiga penyanyi wanita daripada tiga generasi berbeza itu untuk digandingkan sebagai 3 Suara.

Apatah lagi, mungkin pada pandangan mereka ada penyanyi wanita lain yang lebih layak untuk ditampilkan dalam projek istimewa ini jika hendak diukur kepada kredibiliti vokal serta populariti masing-masing.

Sebagai pencetus idea dan penerbit eksekutif album 3 Suara, Kevin Chin mempunyai rasionalnya sendiri atas pemilihan Ning, Jac dan Shila untuk projek seumpama itu yang bermula sekitar bulan Oktober tahun lalu.

"Jujurnya, saya memang merupakan peminat setia Ning dan Jac kerana saya merasakan vokal mereka memang cukup unik serta tersendiri lantas memberikan saya idea untuk menggabungkan dua penyanyi ini dalam satu album.

"Kemudian, saya terfikir kalau hanya dua penyanyi sahaja bagaikan tidak lengkap lalu nama Shila bermain di fikiran saya. Bagi saya, dia juga merupakan penyanyi yang berbakat besar selepas saya mendengarkan lagu popularnya, Memori Tercipta.

"Jadi, daripada situ, saya gabungkan ketiga-tiga mereka menjadi 3 Suara. Apa yang boleh saya katakan, gabungan mereka memang menjadi dan saya cukup kagum dengan penghasilan album ini," ujar Kevin penuh optimis ketika berucap pada sidang akhbar pelancaran album 3 Suara di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Adrian Lim.

Selain Kevin yang bertindak sebagai salah seorang penerbit album tersebut, album 3 Suara turut mendapat sentuhan tiga penerbit lain iaitu Aylwin Santiago, Paul Morrison dan Irwan Simanjuntak dari Indonesia.

Apabila menggabungkan tiga penyanyi hebat seperti Ning, Jac dan Shila dalam sebuah album, tidakkah timbul sebarang persaingan sesama mereka atau ada percubaan untuk membayangi antara satu sama lain.

Maklumlah, masing-masing mempunyai kualiti vokal yang cukup dibanggakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: