Saturday, March 12, 2011

Sambutan Maulidur Rasul UTHM meriah


MOHD. Noh Dalimin (dua dari kiri) turut menyertai perarakan Maulidur Rasul di UTHM, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 9 Mac - Lebih 1,000 kakitangan dan mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari 16 kontinjen menyertai perarakan Maulidur Rasul di universiti itu di sini baru-baru ini.

Perarakan sejauh satu kilometer yang berakhir di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTTI) itu, diringi bacaan selawat dan paluan kompang yang turut disertai oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Pegawai Perhubungan Awam UTHM, Shafry Salim berkata, tema sambutan Maulidur Rasul kali ini adalah '1Malaysia 1Ummah' bertujuan menyatupadukan umat Islam dengan menyayangi agama, bangsa dan negara.

"Ia juga diharapkan dapat menanam azam bagi melahirkan ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah," katanya dalam laman web UTHM di sini hari ini.

Shafry berkata, pihak Pusat Islam UTHM juga tidak ketinggalan untuk menjemput Penolong Pengarah, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin, sebagai penceramah jemputan.

Dalam ceramahnya, Zamihan berkata, majlis sambutan Maulidur Rasul perlu diteruskan sebagai salah satu pendekatan khususnya terhadap mahasiswa supaya kembali mengingati Rasulullah, keperibadian, semangat dan perjuangannya.

Menurutnya, masyarakat mesti berhati-hati kerana pada zaman sekarang pelbagai fahaman dan pendapat yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah dibawa masuk dari luar yang boleh memesongkan akidah umat Islam khususnya di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: