Saturday, March 12, 2011

Kolej Shahputra anjur Karnival Pendidikan


Pemeriksaan kesihatan percuma turut diadakan semasa Karnival Pendidikan Kolej Shahputra di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 8 Mac – Seramai 1,000 pengunjung menghadiri Karnival Pendidikan anjuran Kolej Shahputra di sini baru-baru ini bagi memberi peluang kepada mereka khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan maklumat berkaitan program pengajian di kolej itu.

Program selama dua hari itu bermula 26 Februari lalu diadakan di ruang legar pusat membeli-belah, East Coast Mall menyediakan maklumat serta program pengajian yang ditawarkan oleh kolej tersebut.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Azman Zaini Abdul Ghani berkata, antara institusi pengajian tinggi awam yang menyertai program tersebut.

Iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut beliau, pelbagai aktiviti dan pameran disediakan seperti pameran projek tahun akhir oleh pelajar semester akhir Kolej itu.

“Di samping itu, pelajar turut mempamerkan hasil kerja melalui pertunjukan fesyen oleh para pelajar jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka serta Pertandingan Tarian Aerobik anjuran pelajar Diploma Pengajian Sukan,” katanya di sini baru-baru ini.

Karnival pendidikan tersebut dirasmikan Pengarah Urusan Kolej Shahputra, Datin Suzieyati Idham.

Selain itu Azman berkata, karnival tersebut merupakan platform kepada pelajar kolej mempamerkan hasil kerja mereka serta berpeluang menimba pengalaman dalam kemahiran berkomunikasi dengan orang ramai.

“Sambutan itu amat menggalakkan dan ternyata memberi manfaat serta faedah kepada pengunjung mahupun pelajar kolej ini.

“Kami berharap para pengunjung mendapat maklumat dan gambaran jelas tentang peluang melanjutkan pengajian serta kerjaya pilihan yang diinginkan bersesuaian dengan kelulusan dimiliki,” ujarnya.

Pada program tersebut katanya, orang ramai berpeluang menyaksikan pertandingan Top Host yang dihadiri oleh bekas pengacara popular TV3, Nurfarahin Jamsari sebagai juri khas.

“Pelajar sekolah juga turut dilibatkan dalam pertandingan Catur Bistari, pemeriksaan kesihatan dan kaunseling percuma oleh pelajar Diploma Kejururawatan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: