ALOR GAJAH 8 Mac - Seramai 153 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini menyertai Program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Guru Perpustakaan dan Media sekolah, Salmah Md. Ali berkata, ADaP merupakan satu bengkel teknik menjawab soalan PMR dan SPM yang dilihat dapat membantu pelajar mempelajari teknik menjawab peperiksaan dengan lebih berkesan.
Katanya, walaupun bengkel ADaP hanya mengambil masa yang singkat tetapi ia cukup untuk mendorong pelajar agar berusaha lebih gigih bagi mendapat keputusan cemerlang dalam PMR dan SPM tahun ini.
‘‘Selain ADaP, hampir keseluruhan berita dalam akhbar boleh dijadikan panduan kepada guru untuk mengajar dan membimbing murid dengan lebih berkesan dan mudah difahami.
‘‘Oleh itu, pihak sekolah sentiasa menerapkan budaya membaca akhbar dan tidak menjadikan helaian akhbar sebagai pembungkus nasi lemak apabila habis dibaca,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bengkel yang diadakan hari ini itu dikendalikan oleh Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., Mohamad Fahmi Asraf Khan.
Program ADaP bersama Utusan Malaysia ini merupakan salah satu aktiviti di bawah program Nilam sekolah berkenaan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib di sini hari ini.
Hadir sama, Pengetua SMK Rahmat, Zulkapli Othman.
Selain pengisian mengenai sistem pembelajaran ADaP, pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 ini turut diadakan sesi pengenalan akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Berhad.
Menurut Salmah, selain ADaP beberapa sisipan lain dalam Utusan Malaysia seperti e.Lab, Tutor, Estidotmy serta akhbar Utusan Melayu Mingguan boleh dijadikan bahan pilihan utama untuk membantu para pelajar menggunakan sisipan pendidikan dengan sebaik mungkin.
‘‘Sememangnya pencapaian murid-murid di sekolah ini adalah baik dan sebagai tenaga pengajar kami inginkan lebih ramai murid meraih keputusan cemerlang dalam PMR dan SPM akan datang.
‘‘Melalui bengkel-bengkel sebegini pelajar dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka serta teknik-teknik menjawab soalan dengan betul,” katanya.
Sempena bengkel tersebut, SMK Rahmat turut membeli 153 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk diagihkan kepada murid-murid sekolah berkenaan.
Beliau menambah, penggunaan ADaP terbukti berkesan dalam mempelbagaikan medium pembelajaran dalam kelas dengan kandungan yang lebih mudah dan terkini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: