SAYA berusia 24 tahun dan mempunyai teman lelaki yang lebih berusia daripada saya. Umurnya sekitar 40-an dan sudah ada empat orang anak. Katanya, dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan isterinya dan memilih saya untuk menjadi kekasihnya. Sejak akhir-akhir ini, dia mula beralih arah dengan menjalin hubungan dengan wanita lain. Namun, pada masa yang sama masih berkasih dengan saya. Soal berbohong itu dan ini menjadi mainannya sekarang. Saya buntu dan bertanya apakah tujuannya dia menyimpan saya dan apa yang difikirkan dan diinginkan olehnya?
GADIS, RESAH
Pulau Mutiara
Jawapan
Dalam mencari jodoh, kita tidak boleh menolak takdir bahawa jodoh dan pertemuan adalah dengan kehendak Allah SWT. Namun, kita diminta untuk berusaha dan berikhtiar.
Untuk renungan, dalam satu riwayat, Abu Hurairah r.a. mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Wanita dikahwini kerana empat faktor iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Dapatkanlah wanita yang memiliki agama, kalau tidak, kamu akan menempah kerugian."
Makanya, asas dalam pemilihan jodoh tanpa mengira calon lelaki atau wanita haruslah mengambil kira apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW seperti dinyatakan di atas.
Merujuk kepada permasalahan yang saudari kemukakan, umur bukan penghalang untuk mendirikan rumah tangga sekiranya sudah rela dengan ketentuan tersebut.
Dalam masyarakat, kita lihat perbezaan umur bukan menjadi penghalang dalam membina sebuah rumah tangga yang diidamkan. Selain daripada itu, aspek personaliti yang dikaitkan tingkah laku, perangai atau akhlak juga menjadi kriteria pemilihan pasangan.
Walaupun begitu, terpulang kepada diri saudari untuk menilai yang mana intan dan permata. Soal perkahwinan satu perkara yang serius dan memerlukan satu usaha untuk membuat keputusan yang diharapkan dapat menjamin kerukunan rumah tangga. Elakkan diri terburu-buru membuat keputusan. Ramai orang terperangkap dengan cinta. Cinta hendaklah membawa bahagia dan bukannya mengundang duka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: