BEBERAPA tahun lalu, penulis pernah bersembang dengan seorang peguam. Kami ligat bercerita tentang dengung gendang kes-kes syariah yang kerap menjadi muka depan di dada-dada akhbar.
Masih terpahat dalam ingatan penulis, peguam lelaki itu berkata, kalau mahu isu itu dikupas dengan lebih mendalam, Zainul Rijal Abu Bakar adalah rujukan yang terbaik.
Ujarnya: “Zainul adalah seorang pengamal undang-undang syariah yang hebat dan petah. Beliau berada dalam liganya tersendiri dan sangat dihormati oleh kelompok peguam yang sebaris dengannya.”
Cerita berkenaan Zainul Rijal tidak berakhir sampai di situ. Rakan penulis kemudiannya menceritakan tentang betapa terharunya dia apabila Zainul Rijal sanggup menghubungi dan membantunya untuk memberi ulasan berhubung satu kes yang sangat penting ketika itu.
Bertitik tolak daripada itu, penulis melihat peguam syarie itu mempunyai keazaman dan sisi perwatakan yang menarik untuk dijadikan teladan. Maka, pada 3 Februari lalu, Kosmo! berpeluang menemui personaliti tersebut yang juga Presiden, Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Menariknya, peguam berusia 42 tahun itu tidak hanya berbicara soal undang-undang. Sebaliknya, tokoh dalam bidang guaman itu bersetuju untuk berkongsi tentang kehidupan lampaunya.
Seorang pendiam
Dilahirkan di Teluk Intan, Zainul menggambarkan dirinya sebagai seorang yang pendiam dan tidak menonjol di sekolah. Bagaimanapun, pencapaiannya dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1986 sangat cemerlang.
“Ya, saya memang seorang tak banyak bercakap dan gugup bila bertutur di depan khalayak. Namun, semangat ingin bergelar pengamal undang-undang memang ada sejak saya kecil.
“Tambahan pula, hati saya seringkali berbisik bahawa suatu hari nanti saya pasti akan bergelar peguam meskipun karakter saya sebegitu,” ujar Zainul.
Figura itu segera menghuraikan sebab beliau memilih untuk menjadi peguam.
“Dulu, saya lihat tak ramai peguam dalam kalangan orang Islam dan saya berfikiran perlu ada orang Islam yang dapat memperjuangkan tentang undang-undang sivil yang kerap dipraktikkan,” jelasnya.
Sesungguhnya, untuk Zainul berada di kedudukan sekarang bukan mudah. Banyak halangan yang berupaya mematahkan impiannya.
Beliau berterima kasih kepada gurunya, yang disapa sebagai Mohd. Saim kerana bertanggungjawab memujuk bapanya untuk menghantarnya melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh. Menurut Zainul, pada era 1980-an, sekolah agama diklasifikasikan sebagai sekolah kelas kedua.
“Ramai guru saya di Sekolah Kebangsaan Inggeris Horley Methodist yang membantah keputusan saya masuk sekolah agama kerana takut saya tidak cemerlang.
“Ayah telah buat keputusan tepat. Bila duduk di asrama, saya mula berdikari dan jika tak masuk sekolah agama, barangkali pengetahuan agama saya mungkin berbeza,” ujarnya mengimbau kenangan lalu.
Keghairahan bergelar sebagai peguam semakin menjadi-jadi tatkala beliau meneruskan pengajian Kolej Islam Klang, Selangor walaupun pada ketika itu beliau langsung tidak pernah menceritakan cita-citanya kepada orang lain lantaran takut ditertawakan.
Sekali lagi, personaliti itu hampir tewas bergelar pengamal undang-undang kerana beliau ditawarkan mengikuti program Oxbridge dalam bidang perakaunan yang tidak diminatinya.
Bapa beliau, Abu Bakar Yaakub, 83, agak keberatan dengan keputusan itu kerana pada ketika itu tidak ramai anak Melayu yang mempelajari undang-undang.
“Beliau juga tidak mahu saya terlalu mengagungkan undang-undang Inggeris, mungkin beliau mahukan saya mendalami bidang agama kerana saya lulusan sekolah agama.
“Saya tolak dan tanpa disangka saya diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian kelas kedua atas,” ujarnya.
Kes istimewa
Jari tangan dan kedua belah kaki terketar-ketar ketika melangkah ke kamar bicara pada saat beliau mula-mula bergelar peguam. Sebenarnya, sebelum itu, Zainul dilatih menjadi pembantu peguam terlebih dulu oleh ketuanya, K. Manoharan.
Igauan kes pertama yang dikendalikan masih segar di benak fikiran Zainul.
“Saya diberi satu tanggungjawab menguruskan kes jenayah motosikal yang dikhabarkan tiada harapan untuk menang. Namun, kesudahannya adalah sebaliknya apabila kes itu berpihak kepada anak guam kami kerana pihak pendakwa gagal kemukakan bukti teknikal yang kukuh iaitu melalui geran motosikal tersebut.
“Sesungguhnya kemenangan itu membakar semangat dan menjadikan saya lebih berani,” imbas beliau.
Perasaan ceria Zainul tiba-tiba merudum tatkala dilontarkan pertanyaan tentang kes yang paling berbekas di hati dan tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
Seawal penceritaan, beliau menitipkan pesan, cerita yang hendak disampaikan bukan tujuan membangga diri.
“Kita sama-sama ambil iktibar," katanya yang penuh muhasabah diri.
Sambil bebola matanya memandang tepat di satu sudut rumahnya, beliau mula bercerita: “Ia berlaku di antara tahun 1994-1995 melibatkan seorang penjaga kolam ikan yang baru mendirikan rumah tangga dan pendapatan yang diterimanya sangat murah.
“Setelah dua tiga bulan kerja, dia tidak dibayar gaji. Akibat terdesak, si penjaga kolam itu mencuri ikan di kolam tersebut dan memasak ikan itu untuk mengisi perut. Perbuatannya itu dihidu majikan dan kemudian lelaki itu ditangkap untuk didakwa ke mahkamah,” ujarnya.
Memang mencuri itu salah, namun kata Zainul, kemiskinan lelaki itu betul-betul meruntun perasaannya dan rakan peguamnya, Noorhisham Ismail yang kini merupakan seorang Peguam Kanan Persekutuan.
Betapa besarnya kuasa Tuhan, kes itu dibuang gara-gara majikan yang mendakwa si penjaga kolam ini tidak hadir untuk perbicaraan.
“Mungkin dia takut disoal balas oleh kami tentang mengapa beliau tidak membayar gaji pekerjanya itu.
“Saya bersyukur dengan keajaiban itu dan akhirnya kami tolong anak guam kami menyelesaikan masalahnya dan meminta wang untuk kos guamannya.
“Saya berharap kes ini menjadi pengajaran kepada semua orang,” pesannya.
Detik masa yang berlalu begitu pantas membuatkan Zainul tidak menduga bahawa beliau kini sudah hampir 20 tahun berkecimpung dengan dunia yang sarat dengan akta, undang-undang dan berdepan dengan sikap manusia yang penuh warna-warni.
Dalam tempoh itu juga, lelaki itu memberitahu, daripada ratusan kes syariah yang dikendalikannya, kes yang membabitkan tuntutan sebanyak RM500 juta oleh seorang bekas isteri tokoh korporat ternama di negara ini merupakan kes paling sukar dikendalikannya.
“Ia agak kompleks kerana membabitkan syarikat, keselamatan dan perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam,” ujar Zainul ringkas.
Mistik
Dalam dunia guaman juga, sering dikaitkan dengan kejadian-kejadian mistik. Adakah Zainul pernah menempuh dugaan atau halusinasi yang luar biasa dan yang tidak terjangkau dek fikirannya?
“Secara jujurnya, saya akui pernah mengalaminya dan lebih perit, anak-anak saya juga terkait.
“Pada satu ketika, ketika uruskan satu kes, tiba-tiba anak-anak saya menangis, meracau dan turun naik tangga di antara pukul 2 hingga 6 pagi,” katanya yang mengatasi masalah itu dengan hanya berpandukan ayat-ayat al-Quran.
“Saya tidak pernah menyesal berkecimpung dalam dunia guaman kerana perjuangan kita adalah berlandaskan kepada mereka yang berhak.
“Saya juga tak kecewa kalau kalah kerana yang penting kita sudah berusaha sebaiknya,” katanya yang mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat isteri dan keluarga beliau yang menjadi tulang belakang di sebalik kerjaya yang sungguh mencabar itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: