Wednesday, March 23, 2011

Perjuangan Osman tidak berubah


FILEM Anak Halal yang merupakan cerita nukilan Osman sendiri telah membuahkan hasil untuknya apabila menerima trofi Cerita Asal Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-21, tiga tahun lalu.


APABILA memperkatakan tentang pembikin filem berjiwa besar ini, memang kita tidak dapat lari daripada membayangkan subjek berat yang sering ditampilkan dalam filem-filemnya.

Memulakan kariernya sebagai pengarah filem bebas atau independent (indie) menerusi filem Bukak Api pada tahun 2000, Osman Ali telah mencetus revolusi baru yang telah membawa Osman berkelana ke seluruh dunia termasuk Festival Filem Cannes, Perancis.

Filem yang mengangkat tema kehidupan golongan mak nyah itu telah mengangkat nama Osman sebagai seorang pembikin yang berani dengan mengetengahkan filem dengan subjek yang jarang sekali diterokai oleh pengarah arus perdana.

Begitu juga dengan filem Malaikat Di Jendela di mana Osman bermain cerita tentang isu HIV dan AIDS yang boleh dikatakan sesuatu yang cukup sensitif di kalangan masyarakat.

Berbekalkan dua buah filem itu, nama Osman menjadi cukup gah di kalangan pembikin filem indie yang digeruni kawan dan lawannya walaupun filem-filemnya itu tidak ditayangkan di pawagam tempatan.

Ramai juga yang menyangka Osman akan kekal meneruskan perjuangannya itu. Namun, semuanya berubah apabila Osman mengambil keputusan untuk menongkah arus dengan menghasilkan filem komersialnya yang pertama, Puaka Tebing Biru pada tahun 2007.

Seperti mana yang diketahui umum, pembikin filem indie memiliki ideologi dan pendirian mereka sendiri apabila memperkatakan tentang pembikinan filem.

Mereka membikin filem atas nama kejujuran, cinta serta minat yang mendalam dan bukannya mahu meraih untung mahupun populariti semata-mata. Jauh sekali juga untuk bersaing dengan pengarah filem arus perdana yang lain untuk menempatkan diri mereka di dalam industri.

Lebih mendukacitakan, percubaan pertama Osman menerusi Puaka Tebing Biru dilihat sebagai gagal walaupun dibarisi pelakon hebat iaitu Umie Aida, Nasha Aziz, Sharifah Amani dan Fahrin Ahmad serta tidak mampu meletakkan karya itu setanding dengan Bukak Api dan Malaikat Di Jendela.

Apakah kegagalan Puaka Tebing Biru ketika itu dilihat sebagai satu sumpahan untuk Osman yang cuba ‘melacurkan’ ideologinya sendiri dengan memasuki arus perdana.

“Saya mempunyai justifikasi di atas apa yang berlaku kepada saya sewaktu muncul dengan Puaka Tebing Biru. Apabila ada pihak yang mahu memberi peluang untuk mengembangkan lagi bakat saya, bagi saya itu bukan satu kesalahan untuk saya melakukannya.

“Adalah menjadi satu kerugian buat saya seandainya saya menolak peluang itu dan terus berpegang teguh dan mempertahankan pendirian saya sebagai seorang pembikin filem bebas.

“Saya perlu mencari ruang dan peluang untuk melebarkan serta meluaskan lagi nama saya kepada masyarakat tentang siapa Osman Ali yang sebenarnya.

“Biarpun saya mengarahkan filem komersial, setiap filem saya tetap memiliki sentuhan indie yang barangkali mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Itu merupakan perkara pokok yang amat saya titik beratkan dalam setiap karya saya,” ujar anak kelahiran Kampung Bohor Masjid, Pulau Langkawi, Kedah ini penuh diplomasi dalam satu pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Osman juga sedar, kritikan hebat yang diterimanya menerusi Puaka Tebing Biru telah membuka matanya tentang industri perfileman tanah air secara keseluruhannya.

Dalam festival Festival Filem Malaysia Ke-21, Osman menerima pengiktirafan bagi kategori Cerita Asal Terbaik manakala Maya Karin pula sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Apabila membicarakan tentang ideologi yang dipegangnya selama menjadi seorang pembikin filem, Osman sebenarnya tidak mahu menutup mindanya dan tidak mencuba mengambil peluang baru serta mempelbagaikan karyanya.

Ini kerana katanya, sedari kecil, dia sudah didedahkan dengan dunia perfileman tanah air dan dibesarkan dengan filem-filem arahan pengarah filem arus perdana.

“Impian untuk mengarahkan filem indie tetap ada tetapi, saya fikir saya harus memantapkan serta menguatkan jenama saya terlebih dahulu. Saya boleh katakan nama Osman Ali masih belum dikenali secara meluas pada waktu ini.

“Untuk mengarahkan sebuah filem indie yang sarat dengan nilai artistik bukan mudah apatah lagi untuk mencari pelabur dan penerbit yang sama-sama mahu mengambil risiko itu.

“Buat masa ini saya akan meneruskan apa yang sudah saya lakukan sebelum tiba masanya nanti untuk saya kembali ke dunia perfileman indie untuk mengubat kerinduan saya mengarahkan filem-filem sedemikian,” ujar Osman yang juga pernah mengarahkan beberapa telemovie seperti Toll Gate Girl, Surat Untuk Bulan dan Rumah Itu Duniaku.

Biarpun mungkin namanya tidak sebesar pengarah filem popular yang lain, setidak-tidaknya, Osman boleh berbangga dengan dirinya apabila pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk kerajaan.

Buktinya, pada tahun 2009 apabila Osman dianugerahkan dengan Anugerah Seni Negara Kelapan bagi kategori Bakat Muda (Pengarah Filem).

Dalam masa yang sama, Osman yang juga memiliki syarikat produksinya sendiri, Nuansa Sdn. Bhd., sedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem lain seperti Metrowealth International Group dan Skop Productions.

Sebagai seorang yang membesar dengan filem-filem Melayu tempatan, dia cukup bangga dengan adanya individu seperti David Teo dan Datuk Yusof Haslam yang dilihatnya telah menyemarakkan industri perfileman tanah air dengan filem-filem terbitan mereka.

“Saya sedar mungkin ada yang beranggapan pembikin filem bebas seperti saya menolak mentah-mentah apa yang dipersembahkan oleh pengarah filem komersial atas alasan ideologi yang dipegang selama ini.

“Saya bukan seperti itu kerana saya seorang yang berfikiran terbuka demi kebaikan diri saya sendiri sebagai seorang pengkarya. Kalau diberi peluang bekerja dengan mereka, mengapa tidak?

“Namun, saya tidak akan sesekali menunduk kepada segala permintaan mereka secara bulat-bulat kerana apabila berkarya, saya memerlukan kebebasan dan kreativiti untuk melakukan apa yang terbaik buat karya saya.

“Tetapi, itu bukan bermakna saya tidak boleh dibawa berbincang kerana saya seorang yang terbuka dan bersedia untuk menerima apa jua cadangan demi kebaikan bersama untuk kedua belah pihak,” ujarnya dalam nada bersungguh-sungguh.

Osman juga tanpa selindung melahirkan rasa bangganya dengan anak-anak didiknya yang kini mengecapi populariti sebagai seorang anak seni.

Bukan hanya sekadar popular tetapi mereka juga berjaya diiktiraf sebagai terbaik seperti Bront Palarae yang memenangi dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 dan Anugerah Skrin 2010, tahun lalu.

Nama-nama seperti Remy Ishak, Jehan Miskin, Fasha Sandha, Zizan Nin dan Sazzy Falak juga merupakan mereka memulakan karier seni awal sebagai seorang pelakon menerusi filem dan drama arahan Osman.

“Untuk filem dan drama seterusnya, saya teringin untuk bekerja dengan Fazura, Ummi Nazeera dan Liyana Jasmay. Bagi saya, seronok untuk meneroka bakat mereka dengan memberikan mereka watak yang mencabar dan jauh daripada apa yang telah mereka bawakan sebelum ini,” katanya penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: