![]() |
| MAznah Mazlan (empat dari kanan) dan Normala Hamzah (kiri) bersama para penaja pada sidang media sambutan Minggu Setiausaha anjuran kali kedua Majalah Wanita, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
PELBAGAI kelainan cuba ditonjolkan pada sambutan Minggu Setiausaha anjuran kali kedua Majalah Wanita, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) bertemakan Cabaran Profesionalisme Setiausaha yang akan diadakan pada 2 April dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.
Menurut Pengurus Kanan Unit Majalah Keluarga, Normala Hamzah, seminar satu hari yang bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur, ini menjanjikan kelainan daripada seminar sebelum ini kerana pendekatan yang digunakan lebih kepada majlis berbentuk ilmu.
“Kali ini kesemua peserta akan diraikan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik, tetapi pada masa yang sama mereka juga akan memperoleh ilmu dan informasi berguna yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan mereka,” katanya.
“Ceramah akan disampaikan oleh ahli panel iaitu Pengasas & Pengerusi Eksekutif PrimaNora Datuk Dr. Norashikin Mokhtar dan pengasas syarikat kecantikan Alazo, Norma Ya’akob.
Selain itu katanya, objektif utama seminar adalah untuk menanam integriti dan budaya kerja yang lebih berhemah di kalangan para setiausaha di samping melahirkan setiausaha yang dikagumi kerana kerja dan komitmen, disanjung kerana penampilan dan ketertiban semasa menjalankan tugas.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, seramai 100 setiausaha yang bertugas di pelbagai kementerian akan menyertai seminar ini nanti.
Selain itu, terdapat 50 cabutan bertuah yang akan dimenangi peserta hasil tajaan Habib Jewel dan tiket penerbangan secara percuma. Antara penaja lain yang menaja program ini ialah Pusat Pungutan Zakat, Empire Classic Furniture, Alazo, Jamu Mak Dara, Adabi dan tajaan tempat oleh Hotel Legend.
Turut mengisi program seminar ini antaranya persembahan oleh penyanyi Amy Mastura serta demonstrasi sanaman oleh Ibu Halimah, pengasas Produk jamu Mak Dara.
Sebarang maklumat lanjut mengenai program ini, bolehlah dapatkan borang penyertaan melalui majalah Wanita dan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! Sebanyak RM 250 yuran penyertaan dikenakan bersama 3 bulan langganan majalah Wanita secara percuma dan juga senaskhah Direktori Perkahwinan.
Selain itu, sijil penghargaan dan juga cenderamata turut diberikan kepada peserta.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: