Tuesday, March 1, 2011

Penerbitan mStar Tindakan Berani - ZAM

Zainuddin Maidin

KEHADIRAN Mingguan mStar dalam pasaran dunia penulisan akhbar tempatan berjaya menyangkal persepsi masyarakat bahawa masa depan media cetak kian berpenghujung.

Sebaliknya dengan mengambil pendekatan menongkah arus, mStar yang pada mulanya merupakan sebuah portal berita dalam talian kini semakin diterima ramai terutamanya menerusi versi cetakan yang diterbitkan secara mingguan setiap Ahad.

Disifatkan mempunyai masa depan yang cerah, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, cabaran terbaru Kumpulan Star Publication (Malaysia) Berhad ialah kesedian untuk menerbitkan akhbar Mingguan mStar secara harian dan seterusnya memperluaskan edarannya ke seluruh negara.

Menurut beliau, setelah genap setahun akhbar ini berada di beberapa kawasan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya, sudah sampai waktunya akhbar ini perlu diterbitkan secara harian.

“Saya puji langkah Kumpulan The Star Publications kerana mengambil pendekatan berani dengan menerbitkan akhbar berbahasa Malaysia.

“Namun sekarang cabaran yang lebih besar ialah untuk menerbitkan akhbar harian mStar kerana saya rasakan sudah sampai kepada keperluan itu.

“Malah saya juga berharap edaran mStar akan diperluaskan ke peringkat nasional dan bukan sahaja di Lembah Klang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai contoh, katanya, bila pergi ke Kedah atau Terengganu beliau tidak dapat membaca Mingguan mStar.

Dalam pada itu beliau berkata, sekiranya Kumpulan The Star Publications mahu mengorak langkah untuk menerbitkan mStar secara harian, kandungan berita yang bakal dimuatkan perlulah seimbang dan mencakupi keperluan serta kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Jelas bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu, tanggapan tipikal bahawa akhbar bahasa Malaysia hanya untuk pembaca Melayu perlu diubah dengan cara mengetengahkan bahan berita yang pelbagai sesuai untuk semua golongan.

“Tidak semestinya hanya berita-berita politik dan kontroversi yang akan membuatkan pembaca tertarik. Beberapa akhbar tabloid sedia ada juga sudah membuktikan bahawa isu-isu kemasyarakatan turut diterima baik oleh pembaca.”

“Sekiranya mStar sedia untuk berada di pasaran secara harian, kandungannya juga perlulah lebih menarik, seimbang dari segi kepentingan kepada masyarakat tanpa memfokuskan kepada kepentingan kumpulan tertentu,” katanya.

Tambah beliau, Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star juga berjaya mencairkan persepsi bahawa sesebuah syarikat akhbar yang dimiliki oleh kaum-kaum tertentu hanya menumpukan kepada kepentingan sesuatu kelompok masyarakat semata-mata.

“Kegagalan akhbar bahasa Malaysia yang ada pada masa ini ialah dari segi kandungannya yang hanya tertumpu kepada hal ehwal orang Melayu walaupun isu masyarakat lain juga ada, namun kurang diberi tumpuan.

“Begitu juga dengan akhbar The Star, kita tahu akhbar ini lebih memberi tumpuan kepada hal ehwal masyarakat Cina, namun dengan kehadiran Mingguan mStar, ia telah mencairkan persepsi berkenaan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap bahan bacaan berbahasa Malaysia, Tokoh Wartawan Negara itu berkata beliau yakin terhadap kekuatan yang ada terhadap bahasa kebangsaan itu.

Katanya walaupun kerajaan mahu memperkemaskan penggunaan bahasa Inggeris, namun bahasa Malaysia tetap menjadi medium penting yang akan terus berkembang dalam semua bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.

Malah beliau turut mengakui bahawa penerbitan Mingguan mStar sebagai akhbar sisipan dalam Sunday Star sebenarnya mendorong orang bukan Melayu untuk belajar menggunakan bahasa kebangsaan itu dengan baik.

“Menerbitkan Mingguan mStar adalah langkah bijak iaitu menolong pembaca bukan Melayu untuk memahami bahasa Malaysia dengan lebih baik.

“Jadi kerajaan sememangnya tidak boleh sekat syarikat bukan Melayu untuk terbitkan akhbar berbahasa Malaysia dan tak boleh sekat penggunaan bahasa Malaysia bagi semua lapangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: