TOKOH akademik dan profesional melihat usaha penerbitan akhbar sisipan berbahasa Malaysia dalam akhbar bahasa Inggeris, Sunday Star mampu memberikan impak tersendiri khususnya kepada pembaca.
Tokoh akademik dan juga sejarahwan terkemuka, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mencadangkan Mingguan mStar menyediakan platform untuk menggalakkan para pembacanya menulis artikel dalam pelbagai bidang seperti sejarah, sastera, geografi atau falsafah.
Jelasnya, ini penting bagi membolehkan mereka terutamanya para pelajar berpeluang berkarya.
“Terdapat beratus ribuan pelajar di sekolah dan universiti. Apa yang relevan dengan pembelajaran mereka mahupun untuk pengetahuan am boleh dibincangkan dalam Mingguan mStar,” katanya.
Beliau mencadangkan Mingguan mStar menyelitkan berita luar negara supaya orang ramai boleh membacanya sekali gus meluaskan pandangan mereka.
“Segelintir generasi baru berfikiran sempit dari segi pandangan mereka,” katanya yang menyambut baik inisiatif The Star mengamalkan penggunaan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia dalam satu akhbar, iaitu SundayStar.
Bagi Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim usaha penerbitan Mingguan mStar mampu menarik lebih ramai pembaca kerana mereka boleh menguasai dua bahasa dengan lebih baik dalam satu masa.
“Selepas setahun penerbitannya saya lihat akhbar ini telah menghasilkan berita dan rencana yang cukup menarik dalam laporannya.
"Ini satu usaha yang baik dan wajar diteruskan kerana apabila pembaca membeli akhbar Sunday Star secara tidak langsung mereka dapat menguasai dua bahasa dengan lebih baik, kerana Mingguan mStar diterbitkan dalam bahasa Malaysia,” katanya yang turut memuji pendekatan laporan yang digunakan dalam akhbar sisipan ini yang dianggap menarik dan berbeza dengan akhbar arus perdana.
“Saya suka berita serta rencana yang dihasilkan kerana ia lebih berbentuk analisis dan memerlukan pembaca berfikir secara kritis untuk memahami isu yang diketengahkan. Ia menarik minat pembaca sekali gus menjadikan Mingguan mStar lain daripada yang lain,” katanya.
Jelasnya, identiti tersendiri yang dimiliki oleh Mingguan mStar dapat menarik minat lebih ramai pembaca yang mahukan sesuatu yang berbeza daripada bahan bacaan sedia ada di pasaran.
Pengarah Pusat Ko-Kurikulum Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran mahukan Mingguan mStar mengekalkan identiti serta konsep tersendiri untuk bersaing dengan akhbar arus perdana.
“Memang diakui Mingguan mStar punya identiti tersendiri cuma untuk bersaing sebagai akhbar harian dia perlu ada konsep lain daripada yang lain dan ia tidak ada pada akhbar-akhbar arus pedana sedia ada.
“Sebagai contoh ada harinya akhbar Mingguan mStar boleh keluarkan edisi khas seperti resipi masakan Melayu. Jadi bila pembaca yang minat mengenai masakan sudah pasti mereka akan segera mendapat akhbar tersebut. Ini salah satu cara, mugkin ia boleh dipertimbangkan kerana saya sekadar memberi cadangan,” katanya.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman pula menyifatkan Mingguan mStar sebagai sebuah akhbar mingguan yang komprehensif kerana banyak berita penting dimuatkan di dalamnya.
“Saya juga yakin akhbar ini mampu bersaing dengan akhbar arus perdana sekiranya kaedah penulisan sedia ada dikekalkan. Mungkin kolum surat pembaca boleh ditambah untuk memberi peluang kepada pembaca membuat komen kepada artikel yang ditulis.
“Secara jujurnya, pembaca masih suka akhbar cetak berbanding akhbar secara dalam talian kerana membaca akhbar cetak memberi kepuasan yang berbeza,” katanya.
Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk Kadir Jasin berkata, setelah setahun penerbitannya Mingguan mStar perlu menilai semula konsep serta jenis berita yang dihasilkan supaya lebih serius dan mampu mendidik pembaca.
“Pada pandangan saya, Mingguan mStar perlu kurangkan berita hiburan dan bahan bacaan ringan kerana sebagai akhbar sisipan Sunday Star ia perlu sama serius dengan akhbar induknya kerana pembaca Melayu perlu dididik dengan bahan bacaan yang berkualiti dan berilmu,” katanya sambil mengalu-alukan usaha kumpulan The Star menerbitkan akhbar berbahasa Malaysia.
Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar berpendapat, Mingguan mStar lebih menumpukan perhatian kepada berita dan rencana yang dapat membina jati diri dan semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya lihat tumpuan kepada berita hiburan terlalu banyak. Ia perlu dikurangkan kerana akhbar bahasa Malaysia memperlihatkan nilai dan jati diri masyarakat sesebuah negara.
“Perlu diberi perhatian bahawa sebagai sebuah akhbar, kita tidak boleh menumpukan kepada aspek komersial semata-mata. Kita perlu memikirkan kaedah untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Itu lebih utama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: