MUKADIMAH
28 FEBRUARI genaplah setahun usia Mingguan mStar. Segala-galanya bermula dengan penubuhan mStar Online pada 2005 hasil inisiatif The Star Publications (Malaysia) Bhd, untuk mewujudkan sebuah portal dalam talian versi dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
Atas sambutan menggalakkan daripada pembaca mStar Online, Star mengambil langkah proaktif menerbitkan akhbar sisipan bahasa Malaysia - Mingguan mStar di dalam SundayStar yang diedarkan di beberapa kawasan terpilih Lembah Klang sekarang.
Sepanjang tempoh penerbitan tersebut, isi kandungan dan persembahan grafik terus-menerus dipelbagaikan untuk memenuhi citarasa unik para pembaca yang mendambakan kelainan.
Ikuti wawancara Mingguan mStar bersama pengasas mStar yang juga Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai untuk menyelami matlamat, penilaian serta aspirasi tinggi beliau sendiri terhadap Mingguan mStar.
Bagaimana timbul idea Datuk Seri untuk mewujudkan sebuah portal berbahasa Melayu dan kini berkembang ke media cetak dengan lahirnya Mingguan mStar?
Saya menganggap saya daripada generasi muda. Kita adalah generasi yang selesa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Generasi terdahulu lebih selesa sama ada dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia ataupun bahasa Cina.
Bagaimanapun, generasi sekarang dapat menguasai dua atau tiga bahasa. Dalam kes saya sebagai seorang pelajar, saya belajar Kesusasteraan Melayu di Tingkatan Enam. Dan apabila saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM yang pelajarnya terdiri daripada penuntut berbangsa Melayu - pada tahun pertama pengajian, saya mendaftarkan diri di Jabatan Persuratan Melayu.
Pada masa itu, saya membaca buku, novel dan mendengar lagu dalam bahasa Malaysia. Ia telah menjadi sebahagian daripada saya. Saya juga mengikuti banyak hiburan Melayu.
Jadi saya menganggap diri saya editor pada era yang berlainan. Justeru, berdasarkan latar belakang saya itu, saya berasa The Star perlu mempunyai portal bahasa Malaysia. Pada zaman dulu, ketika sesetengah pihak mempercakapkan kewartawanan Melayu iaitu bahasa Malaysia, editornya hanya terdiri daripada golongan Melayu yang terpelajar.
Kerana polisi pendidikan, lebih ramai orang bukan Melayu menguasai bahasa Malaysia. Oleh itu, ramai terlibat dalam kewartawanan bahasa Malaysia.
Kerana itu juga, saya berasa perlu wujudnya satu portal bahasa Malaysia. Semua wartawan ingin melihat hasil pena mereka dalam talian dan bercetak. Dengan itu lahirlah mStar.
Mengenai transformasi mStar, ia bermula dengan asas hiburan. Dan sekarang asasnya telah berkembang dengan sangat luas.
Ini kerana, pada hemat saya, standard kewartawan bahasa Malaysia tidak seharusnya berasaskan hiburan semata-mata.
Jika kita ingin melihat mutu dan prestasi mStar meningkat, kita perlu merangkumkan semua aspek termasuk isu luar negara, perniagaan dan ekonomi.
Kadangkala, ada yang mengatakan salah satu kelemahan kewartawanan bahasa Malaysia ialah kurangnya laporan dalam bidang ekonomi dan hal ehwal luar negara. Saya percaya kita boleh memperbaiki mStar dari segi ini.
Bertitik tolak dari situ juga lahirlah mStar. Apa yang lebih penting ialah kita perlu kembali merujuk kepada pembaca kita. Sekarang Star telah berusia 40 tahun.
Jika dulu, pembaca kita mungkin hanya serasi dengan bahasa Inggeris, tetapi jika kita meletakkan sisipan bahasa Malaysia bersama akhbar bahasa Inggeris, SundayStar, pembaca dalam lingkungan umur 20-an, 30-an dan 40-an tidak akan mengalami apa-apa masalah kerana mereka boleh membaca dan memahami isu-isu yang diketengahkan dalam kedua-dua bahasa.
Hakikatnya, ramai orang lebih serasi membaca bahasa Malaysia. Dan seperti yang kita ketahui, pembaca The Star terdiri daripada pelbagai bangsa.
Lantaran itu, tidak sukar bagi mereka (untuk menerima media dalam kedua-dua bahasa). Malah di Sabah dan Sarawak, akhbar dalam dwibahasa adalah sesuatu yang biasa.
Di Sabah misalnya, mereka menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan kadangkala, mencampuradukkan bahasa Kadazan dan Iban dalam surat khabar setiap hari. Ia adalah sesuatu yang normal. Hampir setiap hari, kebanyakan akhbar tersebut menggunakan dua atau tiga bahasa.
Sebagai contoh, dalam akhbar bahasa Inggeris, terdapat dua atau tiga artikel dalam bahasa Malaysia, dengan satu dua dalam bahasa Kadazan atau Iban. Ia adalah sesuatu yang normal di situ.
Bagaimanapun di Semenanjung, barangkali julung kali dalam sejarah kewartawanan negara terdapat akhbar bahasa Inggeris dengan sisipan bahasa Malaysia.
Ini ialah satu sejarah. Setahu saya, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita sedang merencanakan trend. Star, sejak dulu hingga sekarang, sememangnya merupakan pengasas arah aliran (trend).
Sesetengah pembaca malah editor tidak memahami kenapa The Star berbuat demikian (mewujudkan Mingguan mStar). Bagaimanapun ia tidak menjadi isu bagi generasi muda.
Selain itu, pada era lampau, kebanyakan pembaca Melayu hanya membaca akhbar bahasa Malaysia. Sekarang mereka membaca akhbar bahasa Inggeris. Kerana mereka membaca dalam bahasa Inggeris, mereka juga boleh membaca dalam bahasa Malaysia.
Dan memandangkan bilangan pembaca Melayu serta demografi/ populasi Melayu telah meningkat, jadi adalah wajar untuk The Star mempunyai bahan bacaan tambahan bagi pembaca Melayu atau dalam erti kata lain, meningkatkan bilangan pembaca Melayu.
Selain itu, isu Malaysia pada zaman dulu hanya mentafsir dan melihat dari sudut wartawan Melayu. Sekarang ekoran perubahan landskap kewartawanan, adalah normal untuk sesuatu isu dilihat dari sudut rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
Apakah pencapaian yang telah diperoleh setelah setahun kelahiran Mingguan mStar dalam dunia media kini?
Penerimaan pembaca yang semakin meningkat. Kami masih ingin terus meningkatkan lagi mutu serta kualiti Mingguan mStar. Apa yang lebih penting, kami ingin mendengar daripada pendapat dan pandangan pembaca tentang bagaimana kami boleh melakukannya.
Kami tahu ia bukan satu proses yang mudah terutamanya apabila terdapat kecenderungan pembaca terhadap cerita bercorak hiburan. Pembaca masih lagi meminati cerita yang berbau sensasi kalau kita kaji hasil penjualan surat khabar atau media popular.
Mingguan mStar telah membuat komitmen untuk bukan sahaja menumpu kepada bahan-bahan hiburan tetapi merangkumi isu-isu yang lain.
Terdapat satu lagi sejarah yang dicatatkan. Pada kebiasaannya, media mentransformasi medium cetak ke portal. Namun, Mingguan mStar terbit rentetan daripada portal. Kami mencapai kejayaan yang menggalakkan dan ini mendorong kami untuk menerbitkan akhbar cetak.
Kini Mingguan mStar hanya diedarkan di sekitar Lembah Klang bersama SundayStar, jika penerbitannya diperluaskan ke seluruh negara, negeri manakah yang terlebih dahulu menjadi keutamaan?
Walaupun edaran Mingguan mStar tertumpu kepada Lembah Klang sekarang, kami sudah mendapat banyak permintaan dari Johor, Kedah, Ipoh dan Pulau Pinang untuk memperluaskan pasaran kami. Kami sedang mempertimbangkan memperluaskan pengedaran Mingguan mStar ke bandar-bandar besar tersebut.
Tempat-tempat tersebut merupakan pasaran yang besar. Oleh kerana Mingguan mStar hanya baru berusia setahun, kami akan mengambil selangkah demi selangkah.
Adakah kebarangkalian Mingguan mStar akan menjadi Harian mStar suatu hari nanti?
Saya berharap impian tersebut akan menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi, pembaca boleh mengakses Internet pada setiap masa dan di mana sahaja, apa salahnya kalau Mingguan mStar menjadi Harian mStar suatu hari nanti. Apatah lagi pada masa kini terdapat banyak surat khabar yang tidak memerlukan permit Kementerian Dalam Negeri umpamanya Selangor Times yang diedarkan secara percuma setiap minggu. Kita tidak boleh menolak andaian bahawa Selangor Times akan menjadi akhbar harian dan diedarkan secara percuma kelak.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap mStar?
Saya berharap Mingguan mStar akan menjadi akhbar yang disegani oleh semua pihak. Kami juga ingin Mingguan mStar membawa artikel-artikel bermutu tinggi.
Adalah menjadi harapan saya juga apa-apa yang dilaporkan dalam Mingguan mStar akan dibincang dan diperdebatkan. Itu sepatutnya menjadi matlamat utama Mingguan mStar. Kami turut berharap Mingguan mStar mampu mewujudkan satu trend baru, mencetuskan inovasi dalam kewartawanan serta meletakkan satu tanda aras yang tinggi.
Mingguan mStar sudah mencapai matlamat menjadi akhbar bahasa Malaysia yang diwujudkan untuk rakyat berbilang kaum di negara ini. Kami berharap ia akan terus berkembang sehingga menjadi akhbar perdana pada masa depan.
Ia bukan sahaja diedarkan di Lembah Klang tetapi di peringkat nasional. Apabila ini menjadi realiti, ia sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan kepada industri media. Kami akan menggaji lebih banyak wartawan, sub-editor, editor dan staf sokongan.
Sekiranya impian Mingguan mStar menjadi Harian mStar tercapai, tempias positif turut dapat dirasai graduan-graduan dari institusi pengajian tinggi tempatan yang digaji serta membina kerjaya mereka di The Star Publications (M) Berhad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: