Monday, March 28, 2011

Dikir Barat 2011 jadi perintis



Buat julung kalinya Kumpulan Media Karangkraf mengadakan Persembahan Dikir Barat 2011 malam kelmarin di pekarangan bangunan terbabit.

Program dianjurkan Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan dengan kerjasama Majlis Seni Budaya Kelantan (MASK) dan Kumpulan Media Karangkraf mendapat sambutan hangat peminat dikir barat dan orang awam.

Presiden MASK, Mohd Sobri Shafii berkata, dia berpuas hati dengan program berkenaan dan berharap dapat diteruskan dari masa ke semasa untuk memastikan program kebudayaan itu tidak terus dilupakan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan sambutan pada malam ini (kelmarin) dan berharap program kebudayaan ini akan terus diadakan. Saya boleh katakan program pada malam ini mendapat sambutan hangat daripada biasa.

“Hasrat kami biarlah program kebudayaan seperti dikir barat ini boleh berkembang ke peringkat nasional.

“Saya rasa jika banyak syarikat seperti Kumpulan Media Karangkraf yang sanggup menaja persembahan seperti ini, kebudayaan Kelantan akan dapat berkembang di luar negeri Kelantan,” katanya.

Sobri berkata, MASK berharap kerajaan Kelantan dapat memberi perhatian dan membantu kumpulan kebudayaan Kelantan mengadakan persembahan di seluruh negeri di Malaysia.

“Program kebudayaan bukan sahaja melibatkan dikir barat, sebaliknya meliputi wayang kulit, mak yong, rebana dan banyak lagi.

Persembahan Dikir Barat 2011 menampilkan juara kumpulan dikir Megat Nordin dan Samudera Gombak serta Pendi Baiduri bersama kumpulan dikir Warisan Darulnaim, Kajang.

Ia turut dihangatkan tukang karut popular, Jen Endoro, Mat Yie Tupai, Tok Wan Palestine, Pokku Kamal dan Cikgu Fadhil.

Hadir sama, Pengarah Urusan KMK, Datuk Hussamuddin Yaakub; Pengerusi, Fickry Yaacub; Timbalan Pengerusi, Mohd Nasir Hamzah, dan Penasihat Editorial, Abdul Jalil Ali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: