|
|
MISI pencarian Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 di Carrefour, Seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini sudah pun tamat. Cukup padat dan cukup sengit sampai juri pun sukar hendak membuat keputusan.
Mana tidaknya, mereka yang datang bukannya sikit, tetapi berduyun-duyun. Semuanya tidak mahu kalah untuk menyandang gelaran Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara anjuran akhbar Mingguan Malaysia dan pengeluar produk Jamu Mak Dara.
Kaunter yang dibuka sejak pukul 10 pagi sehingga 1 petang memang tidak surut dengan kaum hawa yang berpakaian kebaya. Bermacam-macam warna dan fesyen kebaya yang membaluti tubuh mereka. Wajah juga dipalit solekan bersesuaian. Ada juga yang sedondon warnanya dengan baju. Memang meletup!
Ini sekali gus membuktikan kesungguhan mereka untuk menambat hati juri selain fokus pada sasaran mereka iaitu memenangi hadiah menarik dan bersaing memasuki pertandingan peringkat akhir yang akan diadakan pada bulan Disember ini.
Lokasi pertama daripada lapan lokasi jelajah pencarian Ratu Kebaya ini telah dimeriahkan dengan kehadiran juri jemputan. Siapa lagi kalau bukan artis cantik bermata galak, Heliza AF.
Selain Heliza, kerusi juri juga telah diisi dengan kehadiran pengasas produk Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib serta wartawan Pancaindera, Siti Athirah Dzulkifly.
Sepanjang program berlangsung, rata-rata pengunjung yang datang sanggup berdiri hingga ke akhir program untuk menyaksikan siapakah bakal pemenang.
Apa yang membuatkan mereka terus melekat tentulah kerana penangan pengacara berbakat, Roslan Shah yang aksinya membuatkan penonton tak kering gusi serta mengusik peserta dan penonton.
Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, terdapat dua kategori yang dipertandingkan. Untuk kategori pertama iaitu kategori wanita dengan berat 59 kilogram ke bawah, juri telah sebulat suara memilih Nora Aspadalila Omar, 37.
Bekerja sebagai Perunding Kewangan di agensi CIMB Wealth Advisor, Nora ternyata berjaya menampilkan ciri-ciri dan imej Ratu Kebaya menerusi gayanya yang tersendiri.
Pesona Nora ternyata berjaya mencuri perhatian barisan juri. Selain mempunyai wajah yang menawan, Nora juga tampil dengan keyakinan yang cukup tinggi selain berbakat besar.
Gelaran Juara membolehkan Nora pulang membawa hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Carrefour serta cenderahati produk Jamu Mak Dara bernilai RM100.
Sementara itu, untuk kategori 60 kilogram ke atas, kemenangan telah berpihak kepada Siti Aisyah Ismail, seorang gadis berusia 26 tahun.
Jurutera yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor ini berjaya membuatkan juri dan penonton terkesima dengan butir bicaranya yang petah selain aksinya yang bersahaja.
Jawapan bijak yang diberikan oleh Siti Aisyah kepada soalan juri melayakkan gadis ini menyandang gelaran Juara bagi kategori tersebut.
Ternyata, percubaan pertama Siti Aisyah untuk memasuki pertandingan Ratu Kebaya membawa tuah padanya apabila berjaya menggondol wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Carrefour serta produk Jamu Mak Dara bernilai RM100.
Apa yang menarik, kedua-dua peserta ini berpeluang untuk bersaing di peringkat akhir pada hujung tahun ini bersama-sama peserta lain.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Gaddaffi Syed Ali Al-Habsyee melahirkan rasa bangganya terutama dari segi jumlah penyertaan dan sambutan orang ramai.
Menurut Syed Gaddaffi, paling membanggakan adalah menerusi penyertaan kategori B (60 kilogram ke atas).
“Lokasi pertama menyaksikan sambutan yang hangat daripada peserta kategori ‘comel’ dan ini adalah apa yang kita harapkan.
“Jelas membuktikan bahawa golongan ini juga punya bakat dan yang penting mereka yakin membawa diri mereka di atas pentas.
“Diharapkan, lokasi lain juga akan menyaksikan peningkatan sambutan untuk menyertai pertandingan Ratu Kebaya ini,” katanya.
Dalam pada itu, bagi wanita-wanita lain, jangan lepaskan peluang untuk merebut gelaran Juara Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 dengan menyertai pertandingan di lokasi yang akan diberitahu kelak.
Selepas Shah Alam, lokasi pertandingan seterusnya akan beralih di Pantai Timur.
Pada 2 April depan, pertandingan akan diadakan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu.
Bagi mereka yang berminat dan berani menonjolkan bakat yang ada, jangan lupa untuk datang di lokasi pada tarikh tersebut. Mana tahu, anda sebenarnya yang kami cari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: