|
|
BERMULA hari ini, bintang yang semakin bersinar, Ummi Nazeera melaksanakan tugas lain dalam perjalanan hidupnya selain penggiat seni. Wanita berusia 21 tahun ini meneruskan tanggungjawab sebagai pelajar yang menuntutnya menukar jadual hariannya sewaktu berada di tanah air.
Mengejar status mahasiswa bagi menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Perniagaan di sebuah universiti di Melbourne, Australia adalah sasaran utamanya kini.
Biarpun masih di tahun pertama, tak bermakna pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin ini boleh bersenang lenang.
"Kerja saya sebagai pelakon sudah selesai termasuk menghadiri rangka promosi filem terbaru, Hikayat Merong Mahawangsa sepanjang bulan ini. Sekarang tiba masa untuk belajar.
"Saya tak mahu mencampur-aduk waktu pengajian dengan kerja. Jadi tumpuan penuh perlu diberikan kepada pengajian. Saya tak boleh main-main dalam perkara ini," katanya penuh bersemangat tentang kehidupan barunya itu.
Sebelum ini, Ummi pernah 'kecundang' semasa menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di Kolej Taylor di ibu kota.
Ketika itu pelakon drama Nur Kasih ini menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri Ali Din di TV3 bersama Hans Issac tahun 2008. Disebabkan terlalu memberi tumpuan dalam bidang lakonan juga menyebabkan waktu kuliahnya digunakan untuk berlakon.
Natijahnya, perbuatan tersebut benar-benar merugikan dirinya dan pada masa yang sama Ummi tak terdaya untuk menolaknya kerana rasa taksub dalam dunia seni sememangnya cukup tinggi sekali.
"Saya memang kalah dalam bab-bab lakonan ini sebab jiwa saya memang dekat dengannya. Jadi sebelum saya terus ikutkan hati untuk terus berlakon, lebih baik saya sekat terlebih dulu.
"Tambahan pula, pengalaman belajar separuh jalan menyedarkan saya tentang kepentingan mementingkan pengajian. Lagi pun, sampai bila kita mahu terus hanyut dalam dunia glamor sedangkan dalam diri kita ini kosong semata-mata," tutur Ummi bersemangat mengenai perancangan masa depannya itu.
Justeru, Ummi berazam untuk memberi perhatian penuh pada semester yang baru ini. Bermula seawal pukul 9.30 pagi sehingga 4 petang, seboleh-bolehnya tumpuan diberikan khusus kepada tugasan yang diberikan pensyarah agar dia tak tercicir satu pun pembelajaran.
Suka memerap
Pelakon watak Cik Nin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bertambah rancak bercerita tentang rutin belajarnya yang pasti mengheretnya untuk lebih banyak memerap di rumah selepas waktu kuliah.
"Saya memang jenis yang suka duduk di rumah sewa saya di sana kalau dah habis kelas. Buat tugasan yang kebanyakan sumbernya dari Internet. Menelaah nota pensyarah mana yang perlu.
"Kalau dah bosan, saya cari aktiviti dalam rumah juga. Contohnya seperti mengemas rumah, membasuh, melipat pakaian, memasak atau apa saja rutin kaum Hawa lain," bicaranya penuh ceria tentang kehidupan barunya itu.
Semua aktiviti tersebut juga dikategorikan Ummi sebagai "berdikari" buat dirinya kerana tak sering melakukannya semasa berada di tanah airnya.
"Memang saya sedikit manja kalau di rumah sendiri. Bergantung kepada orang lain tapi saya kena berubah kalau duduk di rantau orang. Sampai bila kita nak berharap kepada orang lain. Walaupun berat saya kena lakukan juga," ceritanya menyelak sedikit kelemahan diri.
Pada masa yang sama, pelakon berwajah Melayu ini turut menyatakan rancangan untuk membuat promosi filem terbarunya, Hikayat Merong Mahawangsa di kalangan rakan-rakan sekuliah di bumi kanggaru itu.
Apatah lagi ada kalangan mereka yang mengenali dirinya sebagai pelakon dari Malaysia. Usaha tersebut meliputi 'kerahan' untuk membeli cakera padat digital (DVD) yang turut dijual di negara tersebut tak lama lagi.
"Ada kawan-kawan yang sudah bertanyakan tentang filem ini. Mereka juga macam tak sabar menonton Hikayat Merong Mahawangsa. Nak tengok macam mana kesedihan watak Embok sewaktu meninggalkan suaminya, Merong bertempur melawan kumpulan lanun Geruda di jeti. Memang itu adalah bahagian paling perit untuk saya lakonkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: