|
|
PENGERTIAN bebas cukup luas buat penyanyi Mila Jirin. Bebas juga banyak memberi kesan kepada seluruh kehidupannya. Biarpun perjalanan karier seni baru empat tahun, namun laluannya itu penuh ranjau. Apatah lagi setelah “diserang” dengan pelbagai cabaran di peringkat awal menceburi dunia seni.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang menyebabkan anak kelahiran Pulau Pinang ini tersenyum apabila mengimbau kembali dugaan dialami selama ini.
Kini semuanya telah memperlihatkan hasil. Mila ditawarkan peluang untuk merakam album Inggeris bagi pasaran Eropah dalam tempoh terdekat. Berita gembira daripada pemilik syarikat rakaman antarabangsa tersebut membuatkan hati penyanyi Persis Mutiara ini begitu gembira.
“Syukur rezeki saya bertambah. Tawaran untuk melebarkan sayap karier ke luar negara adalah salah satu dari impian saya. Bagaimanapun, terlalu awal untuk diberitakan secara terperinci kerana masih belum ada sebarang hitam putih antara kami,” katanya mengulas berita gembira tersebut.
Sungguh pun begitu, Mila yang juga juara program realiti Akademi Fantasi (AF) kelima ini tidak keberatan berkongsi berita gembira itu dengan peminat-peminat.
Mengimbau kenangan itu, titik pertemuan dengan pemilik syarikat rakaman tersebut berlangsung semasa Mila menyertai pertandingan Open MIC UK 2010 di New Castle dan Manchester, United Kingdom (UK), tahun lalu.
“Dia berminat menerbitkan album Inggeris saya melalui genre pop dan R&B. Syaratnya, saya perlu ke UK untuk menyiapkan kesemua lagu yang dicipta mengikut acuan suara saya sendiri.
“Sebabnya, dah jadi gaya penyanyi di negara luar sana hanya mempersembahkan lagu pada masa itu juga. Kita akan duduk lama untuk menghasilkan satu lagu sehingga selesai di studio nanti.
“Saya pula kena merakamkan 12 lagu sekali gus sepanjang tempoh dua bulan di sana. Itu sudah cukup membuatkan rasa gelisah saya bertambah. Takut tak menepati kehendak penggubah lagu kerana mengejar kesuntukan masa.
“Pada waktu yang sama, saya perlu memperbaiki sebutan bahasa Inggeris sempurna mungkin. Maklumlah, loghat bahasa Inggeris UK barangkali berbeza sedikit,” cerita penyanyi lagu Bebas ini panjang lebar.
Ditanya tentang tarikh pemergian Mila ke UK, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie ini memberitahu bahawa dia ke luar negara sekitar bulan Mei atau Jun ini selama dua bulan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar tertakluk kepada penyelesaian urusan rutin hariannya sementelah berada di tanah air.
Samseng jalanan kurang ajar
“Kebebasan” yang diidamkan Mila ternyata tidak lama. Baru-baru ini dia tergugat dengan satu peristiwa berita buruk di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Pagoh, Johor, malam Selasa lalu.
Sewaktu Mila bersama seisi keluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarah saudara mereka di Kluang, Johor. Tiba-tiba sahaja kereta dinaikinya dihimpit oleh dua buah kereta yang tak dikenali.
Seperti cerita dalam kebanyakan filem Hindustan, kereta Mila dikelilingi oleh sekumpulan lapan lelaki bengis yang bertindak mengetuk cermin kereta, meminta mereka sekeluarga keluar.
“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa kami sekeluarga panik ketika itu. Buat pertama kali dalam hidup saya berdepan dengan situasi mencemaskan. Kesemua samseng itu mahu kami keluar segera dari kereta,” ceritanya bersemangat.
Pengurus Mila, A. Ailis M. Mustapha yang memandu kereta tersebut menegah mereka keluar. Perbualan sayup-sayup menerusi tingkap yang dibuka sedikit kedengaran mereka menyalahkan A. Ailis yang dikatakan memulakan onar semasa di jalan raya.
Padahal, salah sebuah dari kenderaan berkenaan cuba membuat sekatan kepada kereta Mila terlebih dulu. Mungkin terlalu marah, mereka menggunakan cara keras dengan menghalang kereta Mila dari arah depan dan belakang.
Bercerita lanjut tentang situasi tersebut, ayah Mila, Jirin Burhan, ibu (Zarina Haron), adik beradik lain, Nurafifah dan Nurfadhlin juga turut cuak dan langsung tak berkata apa-apa. Sementara Mila pula segera bertindak menelefon talian kecemasan 999 secara senyap-senyap.
“Walaupun samseng itu semua tak bersenjata tapi saya betul-betul bimbangkan keselamatan keluarga. Talian 999 itu berjaya disambungkan kepada pihak berwajib. Tak lama kemudian, kesemua samseng berkenaan beredar dan saya terus buat laporan di balai polis berdekatan. Peristiwa tersebut memang satu mimpi buruk buat keluarga saya.
“Bayangkan kalau saya seorang-seorang memandu kereta, hai, tak tahulah macam mana agaknya. Sejak itu, saya insaf kerana mungkin apa yang saya alami turut dirasai oleh mana-mana individu yang punya pengalaman sama seperti saya,” katanya yang bersyukur keluarganya kini selamat.
Tutup mulut soal cinta
Bercerita tentang soal cinta, Mila segera menolak ke tepi topik berkenaan. Pinta penuh pengertian bahawa dia tak berminat untuk membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu.
“Kalau boleh, saya tak mahu ada cerita cinta. Bukan apa, baru sekarang ini saya `bebas’ dengan mana-mana syarikat pengurusan artis, komitmen cinta dengan mana-mana lelaki dan gosip negatif yang mencemarkan nama saya.
“Umur pun baru 24 tahun, rasanya panjang lagi perjalanan hidup saya. Sebagai anak sulung, saya kena pastikan nasib keluarga terbela. Sebab itu, saya kena kerja kuat untuk mereka. Itu saja pengorbanan yang boleh saya sumbangkan kepada mereka,” katanya.
Diajukan persoalan sama ada perkara tersebut bakal membuatkan peminatnya bosan dengan cerita kerjaya, Mila yang memiliki syarikat LuvMILA Corporation Sdn. Bhd. itu hanya menggeleng kepala.
Katanya, orang sekarang sudah pandai menilai kewibawaan seseorang artis itu. Tak kiralah sama ada Mila sarat dengan cerita sensasi dan kontroversi atau bersandarkan kepada bakat semata-mata.
Sedih untuk AF
Menyatakan tentang pandangan peribadi Mila tentang program AF yang bakal menemui titik pengakhiran, wajah wanita ini dirundung suram.
“Secara peribadi, saya memang sedih bila dapat tahu tiada lagi AF lepas ini. Sebab saya tahu setiap yang bermula pasti akan berakhir. Iyalah, saya ni kan produk keluaran program itu.
“Bila setiap kali AF ada musim baru, secara tak langsung saya pasti akan mengimbau kenangan lama. Tapi tak apalah, produksi ada alasan sendiri. Mana tahu, lepas ini ada kejutan dengan menyambung musim ke-10 pula,” telahan Mila berhubung program berkenaan.
Mila yang aktif mencatatkan diari kehidupan di laman sosial Facebook, boleh diikuti menerusi www.facebook.com/
milajirinmusic atau www.erama.tv/
milajirin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: