Wednesday, March 2, 2011

Mohd. Ridhuan, Nur Yasmin diraikan


Ahmad Abd. Hamid (depan dua dari kiri) bersama sebahagian daripada penaja bergambar kenangan dengan pasangan mempelai.


Setelah enam bulan mengikat tali pertunangan, pemenang tempat keempat Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-2, pasangan muda, Mohd. Ridhuan Roselee, 24, dan Nur Yasmin Mahazir, 24, akhirnya disatukan pada majlis perkahwinan yang sederhana namun meriah pada Sabtu lalu (26 Februari).

Walaupun persiapan majlis akad nikah dan persandingan dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu dua minggu, akhirnya ia berjaya direalisasikan dengan kerjasama semua pihak termasuk para penaja peraduan.

Mengikut rancangan awal, mereka sepatutnya hanya akan disatukan pada November ini tetapi apabila berjaya memenangi tempat keempat peraduan, segala-galanya terpaksa dipercepatkan.

Kebetulan pula beberapa hari selepas diumumkan sebagai pemenang keempat, Mohd. Ridhuan ditugaskan ke Sarawak untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Sageng, Simunjan.

Bagaimanapun, bagi menyempurnakan majlis perkahwinan pada 26 Februari lalu, Mohd. Ridhuan pulang ke Semenanjung dan diberi cuti selama lima hari dan kembali semula ke Sarawak sehari selepas majlis persandingan.

Bagi pasangan pengantin muda ini, walaupun selepas ini terpaksa berpisah sementara, ia tidak memberikan sebarang masalah. malah mereka menerimanya dengan hati terbuka memandangkan ia merupakan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, majlis persandingan pasangan ini berlangsung dalam suasana penuh meriah di kampung halaman pengantin lelaki di Taman Ehsan, Simpang Empat, Hutan Melintang, Perak.

Pekarangan rumah Mohd. Ridhuan mula dibanjiri tetamu seawal pukul 10 pagi yang kemudian disajikan dengan makanan pengantin disediakan oleh Mastar Catering.

Suasana bertambah meriah sejurus ketibaan rombongan pengantin perempuan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Pasangan pengantin kemudian diarak menuju ke pelamin indah yang dihias oleh Izzuddin Karso dari Precious Moment untuk disandingkan sambil diiringi alunan selawat yang disampaikan oleh Ustaz Hasrol Khalid dari Jakim.

Kedua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana gabungan satin dan renda rona keemasan rekaan Dios Astana Bridal dengan seri pengantin hasil solekan Misizan Salehudin dari Afidah Khamis Makeup and Staff.

Penolong Ketua Pengarang II Utusan Melayu (M) Berhad, Ahmad Abd. Hamid bersama isteri memulakan majlis merenjis yang kemudian diikuti ibu bapa serta kaum keluarga kedua belah pihak pengantin.

Menurut bapa pengantin lelaki, Roselee Othman, 51, walaupun segala persiapan dilakukan dalam masa kurang daripada sebulan tetapi ia tetap meriah dengan kehadiran 1,500 tetamu termasuk sanak saudara.

''Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan dengan lancar bermula majlis akad nikah pada malam Jumaat lalu hingga ke majlis persandingan hari ini.

''Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberikan kerjasama sekali gus menjadikan majlis ini satu majlis yang akan dikenang sampai bila-bila,'' katanya ketika ditemui selepas majlis persandingan itu.

Ibu pengantin lelaki, Rosmawati Marwan, 47, turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis perkahwinan anaknya.

Tambah beliau, majlis tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa bantuan semua pihak.

''Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat terutama Utusan Malaysia dan juga para penaja.

''Tanpa mereka majlis ini tidak akan berlangsung dengan meriah dan ini merupakan satu hadiah yang tidak ternilai kepada kami sekeluarga.

''Tidak ketinggalan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan, saudara mara serta penduduk setempat yang sudi membantu kami,'' ujarnya.

Sementara itu, kedua-dua mempelai ketika ditemui menyatakan syukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Mereka juga melahirkan rasa gembira apabila kesemua yang dirancang tersusun daripada mula hingga berakhirnya majlis.

''Kami sememangnya amat terkejut kerana majlis yang dirancang dalam masa yang suntuk dapat dilaksanakan dengan sempurna.

''Bagaimanapun kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali kepada para penganjur serta penaja yang bertungkus lumus bagi memeriah majlis ini," jelas Mohd. Ridhuan.

Sebagai pemenang ke empat Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-2 pasangan tersebut meraih hadiah berupa pakej perkahwinan bernilai RM50,000, wang tunai RM500 dan produk kecantikan oleh Avon.

Peraduan dilancarkan pada 9 Ogos tahun lalu dengan kerjasama 12 penaja yang terdiri daripada Mastar Catering (sajian makanan), Kampung Pengantin (sajian makanan dan lokasi) D'Sayang Entertainment (peralatan siar raya, fotografi dan pengacara), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Avon Cosmetics, Dios Astana Bridal (busana pengantin dan cenderamata), Precious Moments (pelamin dan hiasan dewan), Afidah Khamis Makeup and Stuff (andaman), CJ Print (kad kahwin), Sri Sutra Travel (bulan madu), Motion Peektures (video), Syokkahwin.com dan Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: