Wednesday, March 2, 2011

Akmal gemar yang elegan

Idea awal diterjemahkan melalui Lakaran di atas kertas.


KESEMUA rekaannya nampak elegan dan mewah. Sentuhannya menepati mereka yang bercita rasa tinggi. Walaupun belum menempa nama di persada fesyen tanah air, busana rekaannya ibarat pereka yang berpengalaman.

Sering menampilkan kelainan dalam setiap rekaannya, Akmal Ariffin, 23, pelajar tahun akhir Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, juga sinonim dengan rekaan yang 'berlubang' di bahagian bahu.

Telah didedahkan dari sekolah menengah di dalam bidang jahitan, maka tidak hairanlah anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan ini sememangnya meminati bidang fesyen.

Sudah mempunyai asas di dalam bidang jahitan serta mendapat sokongan penuh daripada keluarga tersayang, maka akhirnya Akmal memilih untuk mendalami bidang fesyen yang sememangnya sudah sebati di dalam dirinya.

Sehingga hari ini, Akmal gemar mereka busana yang berkonsepkan gaun petang di samping pemilihan warna-warna tanah seperti hitam dan coklat.

Menurut Akmal, jika dahulu dia gemar dengan rekaan yang elegan dan koktel tetapi kini selain mengekalkan gaya elegan tetapi ia lebih kepada bermotif.

''Saya sukakan sesuatu yang cantik dan disebabkan itulah boleh dikatakan kesemua rekaan saya pastinya yang elegan.

''Kebanyakan rekaan yang dihasilkan merupakan gaun petang dan jika ditanya kenapa ia menjadi pilihan, sudah pasti jawapannya, cantik apabila digayakan,'' ulas anak bongsu daripada dua beradik itu.

Tambah Akmal lagi, rekaan gaun petang yang ditampilkan kebanyakannya menggunakan fabrik daripada jenis renda serta sutera Thai ataupun sutera asli.

Baginya, pemilihan sutera Thai bertepatan dengan konsep yang diketengahkan kerana fabrik berkenaan lebih kasar dan mudah dibentuk.

Ini kerana selain ingin menghasilkan rekaan yang elegan, Akmal gemar memadankan rekaannya dengan kolar cekak musang.

Ini sekali gus memberi nafas baru pada rekaan yang berkonsepkan gaun petang.

Bercerita lanjut mengenai rekaannya, ujar Akmal, dia banyak membuat rujukan daripada Internet serta majalah-majalah fesyen sama ada tempatan mahupun luar negara.

Berbicara tentang idea pula, Akmal tidak menafikan, ia bukanlah satu tugasan mudah untuk menghasilkan satu-satu rekaan tetapi jika ada ilham, dia boleh menghasilkan satu rekaan hanya dalam tempoh dua hingga tiga hari.

''Satu rekaan boleh siap dalam masa dua hingga tiga hari tetapi jika dikira betul-betul, dalam hanya tempoh satu minggu satu rekaan boleh dihasilkan daripada mula hingga habis.

''Buat masa ini, Alhamdulillah ada saja idea untuk menghasilkan rekaan dan yang pasti saya suka melihat seseorang itu nampak cantik dengan pakaian yang mereka gayakan,'' katanya.

Bagi anak muda ini, tiada yang lebih bermakna apabila perkhidmatannya diperlukan untuk menghasilkan rekaan bagi digayakan selebriti untuk sesi fotografi.

Selain itu, Akmal juga pernah memasuki beberapa pertandingan fesyen pada tahun 2009 dan pencapaian tertingginya setakat ini memasuki peringkat separuh akhir bagi pertandingan Piala Seri Endon.

Walaupun rezeki masih belum memihak kepadanya, sekurang-kurangnya semangat serta azam Akmal harus diberi pujian dan dicontohi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: