Monday, March 7, 2011

MJIIT mula pengambilan pelajar Sept. ini

KUALA LUMPUR 4 Mac - Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang dibangunkan dengan kos bernilai RM793 juta akan memulakan pengambilan pelajar bagi sesi pengajiannya bermula September ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang berkata, MJIIT yang akan beroperasi di Kampus Antarabangsa UTM di Jalan Semarak, di sini akan menawarkan kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Kejituan dan Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik.

"Projek terbesar melibatkan institusi pengajian tinggi awam di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ini turut menawarkan kursus di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) secara penyelidikan sepenuh masa bermula tahun ini," katanya kepada pemberita di Kampus UTM, Jalan Semarak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Pelajaran Jepun, Fukubori Naota; Kaunselor Kedutaan Jepun di negara ini, Fujiwara Yumino Yumiko; wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Matsumura Motohiro dan Profesor Universiti Kyusyu, Prof. Emeritus Chiken Kinoshita.

Jelasnya, tempoh pengajian bagi kursus sarjana muda adalah antara empat sehingga enam tahun manakala pengajian sarjana secara penyelidikan antara satu setengah tahun sehingga tiga tahun

Sementara itu, tempoh pengajian bagi peringkat PhD pula ialah antara tiga hingga enam tahun.

Tambah Zaini, sebahagian besar tenaga akademik adalah terdiri daripada warga tempatan yang dibantu oleh profesor dari 19 universiti ternama Jepun termasuk Universiti Kyusyu, Universiti Keio, Universiti Osaka, Universiti Saitama dan Institut Teknologi Shibaura.

Katanya, antara keunikan MJIIT adalah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar walaupun kebanyakan pengajaran mengikut sistem pendidikan di Jepun.

"Pelajar juga akan berpeluang menimba pengalaman kerja mengikut budaya masyarakat Jepun kerana MJIIT mempunyai hubungan yang rapat dengan universiti dan industri di Jepun.

"Pelajar muda yang terpilih berpeluang menjalani sebahagian daripada tempoh latihan industri atau menghadiri sebahagian daripada kuliah mereka di Jepun yang ditaja sepenuhnya oleh MJIIT dan berpeluang menjalankan projek berasaskan industri dengan kerjasama JICA," katanya.

Kelayakan masuk bagi pelajar tempatan adalah sama seperti syarat masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu kelulusan Kolej Matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya.

Permohonan untuk melanjutkan pengajian di MJIIT perlu dibuat melalui Unit Pengurusan Universiti (UPU) Kementerian Pengajian Tinggi manakala pelajar antarabangsa boleh memohon terus menerusi laman web UTM iaitu http://www.utm.my/.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: