![]() |
| Aziz Deraman memukul gong tanda perasmian Malam Gala Antarabangsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort, Kuala Terengganu, baru-baru ini. |
KUALA TERENGGANU 2 Mac - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan pertambahan bilangan pelajar asing di institusi itu kepada lima peratus pada tahun 2015 berbanding dua peratus kini.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, ia sebahagian daripada usaha memantapkan lagi jaringan antarabangsa UMT yang kini memasuki ulang tahun ke-10.
Katanya, perancangan ini sejajar dengan amanat Kementerian Pengajian Tinggi yang inginkan lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
"Setakat ini, UMT mempunyai 123 orang pelajar dari 17 buah negara yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian dan pengkhususan termasuk China, Kanada, United Kingdom, India dan Indonesia.
"Sebahagian daripada mereka yang mula memasuki universiti ini pada tahun 2009 akan menamatkan pengajian pada tahun hadapan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Malam Gala Antarabangsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort di sini baru-baru ini.
Dengan tema 'Satu Budaya' MGA yang dikelolakan oleh Pusat Antarabangsa dan Pusat Kebudayaan universiti itu dianjurkan bertujuan untuk meraikan pelajar antarabangsa institusi berkenaan bersama keluarga mereka.
Dalam majlis itu, hampir 20 pertunjukan dan persembahan kebudayaan dari pelbagai negara dipentaskan oleh kumpulan pelajar dari pelbagai negara.
Katanya, UMT telah mengadakan kerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di pusat pengajian itu.
''Ini termasuklah Universiti Bergen, Norway, Universiti Carolina and East Carolina (USA), Universiti James Cook (Australia), Institut Alfred Wagener (Jerman) dan Universiti Selatan Brittany, Perancis.
''Turut dijalinkan kerjasama ialah Universiti Newcastle (United Kingdom), Universiti Kagoshima (Jepun), Universiti Air Langga dan Universiti Bung Hatta dari Indonesia," ujar beliau.
Sementara itu, Dr. Aziz turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana turut memberi sumbangan berjumlah RM10,000 bagi menjayakan program yang julung kali diadakan oleh pihak UMT.
"Malam ini membawa erti yang besar kerana walaupun berlainan bangsa, agama dan budaya tetapi mereka tetap boleh bergaul dan belajar bersama dalam satu persekitaran pembelajaran yang baik," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: