Wednesday, March 9, 2011

Kris membilang hari bahagia


KRIS DAYANTI bersama Raul Dos Reis Lemos akan dinikahkan 20 Mac ini.


WAJAH penyanyi terkenal, Kris Dayanti berseri-seri semasa dia berkongsi debaran yang sedang dilaluinya menjelang hari pernikahannya yang tinggal kurang dua minggu lagi.

Ketika sama-sama menikmati sarapan pagi di sebuah kafe Ahad lalu, dia turut bercerita mengenai kesibukannya menguruskan majlis perkahwinannya dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Dos Reis Lemos pada 20 Mac ini.

Oh ya kad undangan perkahwinannya turut diserahkan secara peribadi oleh beliau kepada saya sambil berkali-kali berpesan supaya hadir sama untuk berkongsi kegembiraannya pada hari bahagia itu.

“Ini kad untuk kamu. Make sure (pastikan) kamu datang ya! Aku mahu kamu menyaksikan sendiri betapa aku benar-benar mencintai Raul. Begitu juga dengan dia (Raul). Percintaan kami bukan ‘main-main’, ” Kris meluahkan kenyataan yang menyimpan maksud yang cukup dalam.

Cuba menyelami apa yang dikatakan, penyanyi yang mula masyhur menerusi lagu Menghitung Hari itu panjang lebar bercerita betapa kehadiran Raul benar-benar mengubah kehidupannya.

Kris memohon pengertian semua pihak agar ketepikan dakwaan kononnya kesungguhannya bernikah dengan Raul kerana mahu membolot kekayaan lelaki itu.

Pandangannya jauh di bawa entah ke mana selepas saya bertanya, apa benar dia tulus mencintai Raul.

Atau hubungan yang terjalin dengan usahawan itu sekadar membalas dendam terhadap kegagalan perkahwinan pertamanya dengan komposer terkenal, Anang seperti mana yang dilaporkan sebelum ini?

“Itu persepsi orang ramai pada saya. Apa kudrat saya mahu menghalang orang ramai daripada bercakap apa saja mengenai pilihan saya kali ini.

“Selepas gagal dalam perkahwinan pertama, saya berusaha untuk menjejaki kebahagiaan baru tanpa melupakan pengalaman silam adalah ilmu berharga untuk dijadikan pedoman buat saya melalui kehidupan baru.

“Syukur saya ditemukan dengan Raul. Sikap kepimpinan sebagai ketua keluarga terserlah dalam dirinya. Kasih sayangnya buat saya sangat tulus. Kemesraan beliau dengan keluarga saya juga sudah cukup untuk membuatkan saya merasakan pilihan saya kali ini tepat,” kata Kris mengenai peribadi bakal suaminya yang juga bapa tunggal kepada dua cahaya mata.

Hadir menemani Kris tempoh hari ialah kakak kandungnya, penyanyi Yuni Shara yang disifatkan penghibur itu sebagai tulang belakang ketika dia hampir rebah akibat berdepan dengan kontroversi peribadi yang hampir-hampir mencalar reputasinya.

Kepada Allah, Kris tidak lupa memanjatkan doa biarlah perkahwinannya kali ini berpanjangan hingga ke hujung usia.

Perit melalui ujian bergelar ibu tunggal ditambah dengan umpat keji masyarakat membuatkan dia tidak mahu episod duka itu berulang lagi pada masa depan.

Kepada Raul juga, Kris meletakkan harapan yang tinggi agar bakal suaminya itu akan menjaga dan menyayanginya sampai bila-bila.

“Saya benar-benar menghargai sikap kelakian yang ada dalam diri Raul. Dia menjaga dan memberi pendapat yang positif dalam hal-hal yang melibatkan kehidupan dan karier.

“Sifat tanggungjawab ini yang memperlihatkan kualiti yang saya ingini daripada seorang teman hidup. Saya mahu dibimbing dengan sebaik mungkin supaya saya dapat menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya berkias penuh makna.

Tanpa mahu memburukkan bekas suaminya yang khabarnya kini sedang hangat menjalin cinta, kata Kris, Anang merupakan sejarah dalam diari hidupnya yang tidak mampu untuk dipadamkan.

Apa lagi Anang merupakan bapa kepada sepasang cahaya matanya, Aurel dan Azriel.

Perkahwinan dengan Anang selama 13 tahun yang berakhir pada 2009 banyak mendewasakan Kris selain menjadi pedoman buat dia melalui fasa itu sekali lagi bermula 20 Mac ini.

“Kad undangan buat Anang juga sudah saya kirimkan. Semoga dia juga dapat hadir sama meraikan majlis perkahwinan saya,” kata Kris mengenai jemputan buat bekas suaminya itu yang dikirim baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: