|
|
SEKTOR pertanian perlu didedahkan kepada rakyat khususnya golongam muda supaya ia dapat dijadikan perniagaan yang menguntungkan.
Sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan sektor tersebut dipaparkan melalui medium televisyen, Media Prima dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tampil dengan sebuah program bercorak dokumentari majalah, Agro-Xplorasi.
Episod pertama Agro-Xplorasi telah pun mula disiarkan pada 26 Februari lalu dan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri, Datuk Seri Noh Omar di Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin serta hos Agro-Xplorasi, Datin Annahita Bakavoli, Mohd. Khardanie Anwa (Danny) dan Nazrudin Rahman (Naz).
Menurut pengarah Agro-Xplorasi, Khairul Anuar Saidin, program 10 episod itu bertujuan memperkenalkan secara khusus bidang pertanian yang semakin dilupakan oleh generasi muda hari ini.
“Menerusi program itu adalah menjadi hasrat kita supaya generasi muda yang tidak mengenali bidang pertanian, berkenal-kenalan dengan bidang tersebut.
“Maka itulah kandungan Agro-Xplorasi tetap menggunakan teknik penceritaan yang dihoskan oleh tiga artis iaitu Annahita, Danny dan Naz.
“Format program mudah sahaja iaitu dua pengacara, sama ada Danny bersama Annahita atau Annahita bersama Naz, akan tampil membicarakan tentang penternakan atau pertanian,” katanya.
Menyentuh tentang kriteria apakah yang diletakkan untuk memilih Annahita, Danny dan Naz selaku pengacara Agro-Xplorasi, Khairul berkata, ketiga-tiga mereka adalah orang yang popular.
“Kita perlu bersandar kepada populariti tiga pengacara untuk menarik audiens menonton dokumentari majalah.
“Oleh itu, apabila tiga artis dan selebriti ini digandingkan, saya percaya masing-masing mempunyai daya tarikan sendiri.
“Lagi pun saya tidak bimbang soal pengalaman mengacara kerana ketiga-tiga selebriti yang dipilih berpengalaman dalam mengendalikan program TV,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sasaran program tersebut juga mencakupi penyertaan daripada penonton untuk menjadi Rakan Agro.
“Mereka yang menjadi Rakan Agro berpeluang memenangi hadiah berupa televisyen, iPad, telefon bimbit dan beberapa hadiah menarik yang lain.
“Saya meletak harapan yang tinggi, program ini akan mendapat sambutan baik daripada kalangan penonton,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sidang akhbar yang diadakan selepas perasmian Agro-Xplorasi, Noh berkata, pendedahan perlu dilakukan untuk memberitahu rakyat bahawa sektor pertanian adalah sektor sara diri.
“Kita mahu orang ramai melihat pertanian bukannya sektor yang diwarisi oleh golongan miskin.
“Persepsi seperti itu perlu dikikis daripada minda. Menerusi program itu, ditonjolkan kejayaan yang dicapai oleh mereka yang terlibat dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata, adalah perlu ditunjukkan kepada generasi muda hari ini bahawa bidang pertanian yang diterokai oleh ibu bapa mereka, berbeza dengan bidang pertanian masa kini.
“Kita ada segala kemudahan dan teknologi moden untuk membantu golongan muda yang menjadikan industri asas tani sebagai satu perniagaan yang memberi pulangan yang menguntungkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: