PrettyUgly
BERAPA nilai penghargaan PrettyUgly kepada peminat yang banyak menyokong mereka untuk bertahan dalam pentas muzik?
Itu semua dianggap sebagai sokongan besar kepada PrettyUgly yang dianggotai empat lelaki ini untuk menggilap semula nama mereka yang agak pudar.
Album yang berimejkan simbol darab itu memuatkan lapan lagu termasuk single yang sering menjadi siulan, Itu Bukan Aku serta lagu Kelab Jiwa Muzik yang kini sudah sering dimainkan di radio walaupun sebelum album Darabkan Sejuta belum dipasarkan.
Lagu lain dalam album terbaru PrettyUgly ialah Takut Aku Kalah, Bunuh Kisah Lalumu, Di Awan Biru, Adihero, Darabkan Sejuta dan Club Jiwa Muzik (remix DJFendo) dengan kebanyakannya berirama rock moden album sebelum ini yang lebih kepada konsep indie.
Malah, kesemua lagu yang dimuatkan dalam album itu dicipta sendiri anggota PrettyUgly yang terdiri daripada Raizan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Neves (vokalis/ ukelele/ keyboard), Mohammad Raziz Zainal Abidin atau J (gitar utama), Nik Muhammad Histami Nik Mohammad atau Nett (drum) dan Ikhwan Aswab Rawyani atau Juad (bass).
“Bukan nak lambat-lambatkan album ini tetapi kami menghadapi macam-masam masalah. Saya dan J kehilangan bapa pada tahun 2009, manakala J pula kehilangan isteri tercinta selepas itu.
“Nak cipta lagu bukan mudah. Kena beri sepenuh perhatian dan betul-betul fokus. Jadi apabila masih-masing ada masalah, kami tidak boleh memberi tumpuan untuk menghasilkan album dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk album ini keluar,” kata Neves.
Album yang sudah berada di pasaran sejak Disember lalu itu dijangka mendapat sambutan kerana perubahan dari segi melodi lagu-lagu yang dimuatkan bagi memberi imej baru pada PrettyUgly.
Bahkan, lagu berbentuk jazz seperti Bunuh Kisah Lalu Mu dan Darabkan Sejuta menjadi taruhan PrettyUgly yang dijangka hit dan mendapat sambutan peminat, malah mampu menyaingi lagu hit mereka sebelum ini, Diari Seorang Lelaki.
“Lagu-lagu kali ini lebih komersial berbanding lagu dalam album sebelum ini serta lebih kepada isu semasa dengan lirik yang mudah difahami. Kami sudah 10 tahun dalam muzik jadi tidak mahu mengekalkan imej indie dengan muzik yang sama.
“Jadi kami buat perubahan dengan harapan peminat dapat terima lagu-lagu baru yang kami bawakan,” katanya.
Meskipun album terakhir mereka dikeluarkan lima tahun lalu, namun PrettyUgly meletakkan harapan pada album ini agar mendapat tempat di hati peminat serta lagu-lagu mereka menjadi siulan seperti lagu sebelum ini.
Reaksi menggalakkan
Penghasilan video klip Takut Aku Kalah yang lain daripada biasa juga mampu menarik perhatian peminat serta mampu membuatkan lagu itu lebih dikenali dengan menggunakan teknik kolaj.
Lebih membanggakan mereka, klip video yang dihasilkan oleh pengarah muda, Fayruz Effenddy atau Perez itu dihantar ke Hong Kong untuk menyertai Festival Seni di Hong Kong dalam penghasilan visual.
Dengan hanya menggunakan kertas dan dawai, klip video itu dapat menghidupkan watak kartun dengan menerapkan elemen api, air, angin dan tanah bagi menarik minat penonton serta menjadikan lagu Takut Aku Kalah lain daripada yang lain.
“Strategi kami adalah menghasilkan klip video yang unik tetapi boleh menaikkan imej PrettyUgly dan feedback yang kami terima sangat menggalakkan.
“Tujuan menyertai festival untuk melihat mutu penghasilan klip video dan mendapatkan pandangan mereka yang arif dengan seni,” katanya.
Bagi peminat PrettyUgly boleh menonton video klip terbabit di laman web www.prettyugly-band.com atau menjadi rakan kelab mereka di lama sosial facebook PrettyUgly.
Dalam pada itu, bagi menghargai sokongan peminat, PrettyUgly turut mengadakan siri jelajah mereka di Kuala Lumpur, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Kelantan bagi mempromosikan album mereka. Peminat di sekitar Sungai Buloh juga berpeluang menyaksikan persembahan mereka hujung bulan ini.
“Lokasi dan tarikh jelajah belum ditentukan lagi. Konsert solo tak tahu lagi tetapi kalau konsert berkongsi pentas dengan band lain itu akan ada,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: