Sunday, March 13, 2011

Intan Hyriatee intai pasaran global

BANGGA...di depan premis Forest’Secret di The Curve, Mutiara Damansara.
BANGGA...di depan premis Forest’Secret di The Curve, Mutiara Damansara.

BUKAN calang-calang wanita mampu menjawat jawatan pengurus besar sebuah syarikat Bumiputera yang mahu melangkah ke peringkat global, apatah lagi bersaing dengan pelbagai produk jenama antarabangsa yang sinonim dengan masyarakat tempatan.

Namun tanggungjawab diberi Ketua Pegawai Eksekutif Forest’Secret yang juga anak syarikat kepada Permodalan Nasional Berhad (PNS) di bawah program glokal iaitu membawa produk tempatan ke pasaran luar negara dianggap cabaran buat insan bernama Intan Hyriatee Mohd Zawai, 34.


  • Foto

    BANYAK...bersama sebahagian produk keluaran Forest’Secret.

  • Foto

    KENANGAN MANIS...sewaktu menerima anugerah Brand Laureatte.

  • Foto

    MACAM KAWAN...bersama pekerja yang banyak membantu melancarkan perniagaan Forest’Secret.

  • Foto

    RANGSANG KEJAYAAN...bersama keluarga yang banyak menyokong.

“Saya cintakan alam semula jadi dan produk berasaskan herba. Disebabkan itu, saya menyahut cabaran untuk membuktikan produk tempatan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan jenama luar negara.

“Alhamdulillah, kepercayaan diberi tidak sia-sia apabila produk keluaran Forest’Secret berkembang dalam masa singkat. Bermula dengan hanya 68 produk pada 2007, kini meningkat kepada 240 produk membabitkan lima rangkaian iaitu penjagaan badan, aromaterapi dan spa, kosmetik warna, makanan dan minuman kesihatan serta haruman dan wangian,” katanya sewaktu ditemui di premis Forest’Secret di The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.Pun begitu, dalam sesebuah kejayaan pasti terselit kisah duka sebelum memegang jawatan penting dalam sesebuah syarikat. Intan Hyriatee turut tidak terkecuali berdepan cabaran sewaktu mahu membangunkan Forest’Secret.Menurutnya, PNS yang bertindak sebagai francaisor mempunyai tiga anak syarikat di bawahnya iaitu Forest’Secret, Gloria Jean’s Coffees dan Malaysia Kitchen.


Sebagai individu ditugaskan di bahagian pengurusan penjenamaan dan pemasaran korporat, Intan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan ketiga-tiga jenama dengan jumlah kakitangan tidak sampai 10 orang waktu itu.

“Memang mencabar sewaktu mahu memperkenalkan produk ini di mata dunia. Mujur juga kami mempunyai ‘team work’ dan masing-masing memberi komitmen penuh terhadap tanggungjawab diberikan.

“Sampai satu waktu, akibat terlalu penat dan tidak boleh memberi tumpuan, akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif memberi kebebasan supaya saya menguruskan satu daripada tiga jenama dan saya memilih Forest’Secret,” jelas wanita kelahiran Kelantan ini.

Bermula saat itu, Intan berusaha mengukuhkan jenama Forest’Secret termasuk mengadakan promosi di dalam dan luar negara. Antara momen yang tidak boleh dilupakan ialah sewaktu mengadakan pameran di China apabila sambutan diterima sungguh luar biasa.

“Masyarakat luar sangat mengagumi produk herba dari Malaysia disebabkan halal, bersih dan mendapat peng�iktirafan antarabangsa. Ini berbeza dengan masyarakat kita yang seakan-akan ‘malu’ atau ‘jual mahal’ terhadap produk tempatan.

“Mereka lebih mengagungkan produk luar negara yang tidak diketahui status halal dan kebersihannya,” katanya yang lebih mesra disapa Intan.

Tambahnya, cabaran paling getir adalah mendidik masyarakat mencintai barangan buatan tempatan disebabkan sejak berabad mereka didedahkan dengan kehebatan barangan luar negara.

“Pernah satu ketika sewaktu pelanggan memasuki premis, mereka menyangka Forest’Secret produk buatan luar negara, namun selepas dijelaskan ia produk tempatan mereka menunjukkan reaksi mengecewakan sebelum keluar.

“Inilah antara cabaran paling berat buat saya. Bukan mudah menjadikan barangan buatan tempatan sebagai produk wajib beli rakyat disebabkan konon�nya produk buatan Malaysia tidak berkualiti.

“Untuk menukar cara pemikiran mereka memerlukan kekuatan psikologi dan sabar. Pun begitu, saya tidak akan berputus asa mempromosikan kekuatan produk tempatan meskipun berdepan pelbagai reaksi negatif hingga hampir membuat saya putus asa,” jelas wanita yang masih solo ini.

Ditanya apa kelebihan produk Forest’Secret berbanding produk lain, dengan tegas Intan menyatakan, semua produk sama ada berasaskan makanan, penjagaan diri dan wajah mahupun kosmetik, melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara khusus sebelum diba�ngunkan.

“Kami mempunyai kerjasama R&D dengan usahawan Bumiputera, universiti tempatan, Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan Institut Piawaian dan Pe�nyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) di samping proses penghasilan produk dilakukan dalam dua peringkat.

“Istimewanya, produk Forest’Secret hanya menggunakan herba dan tumbuhan selain tidak melalui proses ujian ke atas haiwan, sebab itu ia selamat digunakan oleh manusia. Antara bahan semula jadi digunakan seperti daun lidah buaya, kacip fatimah, pinang, gamat, inai daun sireh, tongkat ali dan minyak kelapa dara,” katanya.

Dalam masa tiga tahun penubuhannya, Intan Hyriatee boleh berbangga kerana berjaya membangunkan lebih 200 jenis produk. Malah dia juga berjaya memasarkan produk Forest’Secret secara pukal di hotel tempatan, bank dan syarikat penerbangan.

Selain itu, Forest’Secret mempunyai 10 kilang iaitu enam di Lembah Klang dan masing-masing satu di Johor, Melaka, Sabah serta Kuala Terengganu di samping sembilan outlet di Sunway Pyramid, Petaling Jaya; Tesco Ampang; Wangsa Walk Kuala Lumpur; Pasar Seni; The Curve Mutiara Damansara; Tesco Melaka; Plaza Angsana Johor; Universiti Utara Malaysia, Sintok dan Pusat Dagangan, Terengganu sebelum pembukaan dua outlet di First Evenue dan One Borneo, Kota Kinabalu pada bulan ini.

Disebabkan kualitinya, Forest’Secret menerima anugerah jenama terbaik dalam kategori penjagaan badan dan kulit tiga tahun berturut-turut bermula 2007 hingga 2009 oleh Brand Laureatte.

“Saya anggap ia sebagai suntikan semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras bagi mengekalkan apa dikecapi. Saya juga yakin jenama ini boleh ke tahap global dengan strategi pemasaran cemerlang dan mempamerkan produk berkualiti serta inovatif,” kata�nya.


PROFIL

NAMA: Intan Hyriatee Mohd Zawai
UMUR: 34 Tahun
JAWATAN: Pengurus Besar Forest’Secret Sdn Bhd
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Sarjana Komunikasi (Branding) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: