Sunday, March 13, 2011

Sayu berganda

pix_middle

KESEMPATAN mengikuti pakej sulung bertema ‘Satu Perjalanan Dua Negara’ yang bermula dari Vietnam dan berakhir di Kemboja anjuran Southwest Travel and Tours Sdn Bhd baru-baru ini meninggalkan kenangan istimewa dalam hidup penulis.

Pengalaman indah itu bermula selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapa�ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendarat tepat jam 3.51 petang di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.


  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    KEJAM...peralatan yang digunakan untuk menyeksa tahanan.

Walaupun waktu hampir 5 petang, kami terus memulakan perjalanan memasuki kawasan bandar yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lapangan terbang untuk melawat Pejabat Pos Besar yang juga terbesar di Vietnam.

Ia dibina pada awal kurun ke-10 ketika negara ini di bawah jajahan Perancis. Struktur binaannya umpama stesen kereta api Eropah dengan jam besar di tengah astaka.Kami menikmati makan malam di sebuah restoran halal sebelum ‘check in’ di Hotel Gia Linh di Bandar Ho Chi Minh yang dulunya dikenali sebagai Saigon. Ho Chi Minh pernah diduduki Perancis dan digelar Mutiara Timur (Paris di Timur), bahkan kesan tinggalan penjajah dapat dilihat menerusi seni bina beberapa bangunan lama.Ibu negara Vietnam dengan kepadatan penduduk melebihi lapan juta orang itu lebih dikenali sebagai ‘bandar motosikal’ kerana lebih empat juta penduduknya menggunakan kenderaan itu dalam urusan seharian.


Mereka boleh letak apa saja di atas motosikal selagi termampu sama ada peti sejuk, kotak buah-buahan, sayur-sayuran, batang besi, pintu, kepingan logam, semuanya boleh berbanding Malaysia atau negara lain yang hanya membawa seorang pembonceng.

Lawatan hari kedua ialah ke Terowong Cu Chi yang terletak di War Memorial Park di daerah Cu Chi, kira-kira 70 kilometer (km) dari Ho Chi Minh. Ia adalah rangkaian terowong bawah tanah dengan binaan sejauh 200 km yang terletak di antara 1 hingga 40 meter di bawah tanah yang digunakan ketika Perang Vietnam.

Terowong ini wujud sejak 1940 ketika Vietnam berperang dengan Perancis dan terus digunakan ketika tentera Amerika dikerah ke Vietnam bagi menghalang komunis di utara Vietnam mengambil alih selatan Vietnam.

Terowong ini mempunyai pelbagai bilik termasuk bilik senjata dan peluru, makanan, hospital, dapur dan bilik mesyuarat yang tidak dapat dihidu tentera Amerika.

Terowong ini merentangi bawah tanah daerah Cu Chi dan boleh tembus sehingga ke Sungai Saigon yang terletak di pusat bandar.

Di satu sudut, anda boleh juga merasai makanan ubi kayu rebus dicicah dengan kacang tumbuk yang pernah mengisi perut pejuang Viet Kong dan mencuba kemahiran menembak di lapang sasar.

Sejarah menyatakan, terowong ini adalah simbol kekuatan, ketabahan, keberanian dan kesungguhan rakyat Vietnam berjuang mendapatkan kebebasan mutlak.

Ironinya, tentera Amerika membina khemah di atas tanah yang dasar bawahnya adalah Terowong Cu Chi. Selepas 1975 dan berakhirnya Perang Vietnam, terowong ini tidak lagi digunakan sehingga kini.

Selepas dua jam di terowong itu, kami kembali ke Saigon dan menuju ke muzium perang paling terkenal, iaitu War Remnants Museum yang menimbulkan perasaan sayu dan sedih melihat penderitaan mangsa peperangan yang boleh menyebabkan kita menangis.

Ia juga muzium dokumen perang yang menyimpan gambar dan sejarah Perang Vietnam. Selain sejarah ketika perang, gambaran kesan selepas perang iaitu kecacatan genetik kekal akibat racun Orange juga dipamerkan.

Diberitakan, tentera AS menyembur kira-kira 75 juta liter agen Orange dan racun rumpai lain di satu pertiga daripada keluasan Vietnam Selatan antara 1962 hingga 1971 bagi merosakkan tanaman dan hutan yang menjadi tempat perlindungan gerila.

Seterusnya, kami ke Pasar Ben Thanh yang terkenal sebagai syurga beli-belah di kalangan pelancong luar. Kami menghabiskan masa hampir dua jam di pasar tertua Vietnam itu yang menjadi nadi ekonomi penduduk tempatan dengan menjual pelbagai produk kraftangan, pakaian, kain sutera, beg, cenderahati dan barangan perhiasan rumah.

Terletak di tengah pusat bandar, Pasar Ben Thanh yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang sentiasa sibuk dengan kunjungan masyarakat tempatan dan pelancong luar bagi mendapatkan ole-ole sebagai tanda kenangan.

Lebih menarik, selain mata wang Dong Vietnam, Dolar AS (AS$) dan Ringgit Malaysia (RM) boleh digunakan di sini, cuma dalam soal tawar-menawar harga, mesin kira adalah alat terpenting jika peniaga tidak faham bahasa Inggeris.

Sesuai dengan pakej diperkenalkan penganjur, memasuki hari ketiga, kami meninggalkan Ho Chi Minh tepat jam 6.10 pagi dengan menaiki bas menuju ke Phnom Penh, Kemboja.

Perjalanan mengambil masa tiga jam untuk sampai di sempadan Vietnam-Kemboja. Selepas menguruskan pasport, kami bertukar bas dan meneruskan perjalanan ke Phnom Penh. Melepasi pintu sempadan Kemboja, deretan kasino memenuhi kiri dan kanan jalan.

Tiba di Phnom Penh, kami menikmati makan tengah hari sebelum mendaftar di Hotel Holiday Villa. Selepas menunaikan solat jamak, kami melawat beberapa bangunan yang baru siap dibina dan menjadi lambang pembangunan Kemboja, termasuk pusat beli-belah Viscom Center.

Seperti Saigon, bandar Phnom Penh sentiasa bingit dengan deruan enjin motosikal dan paling membimbangkan, mereka memandu tanpa peraturan. Mat Rempit di Malaysia pun tidak berani melakukan aksi seperti ini.

Pengangkutan awam di sini adalah tut-tut iaitu kenderaan empat roda ditarik oleh sebuah motosikal yang sedikit ubahsuai dengan kadar bayaran AS$5 untuk empat penumpang selama satu jam.

Mereka sanggup menunggu ketika penumpang turun membeli-belah kerana bimbang ‘dikebas’ pemandu lain.

Hari keempat, kami berkunjung ke Istana Diraja Kemboja dan merakam pelbagai aksi di depan istana yang tersergam indah ini. Penulis teruja kerana berpeluang memasuki balai yang menempatkan pelbagai alat kebesaran diraja.

Mengunjungi Kemboja juga tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki di dua lokasi yang meletakkan nama negara itu dalam peta dunia iaitu Muzium Pembunuhan Beramai-ramai Tuol Sleng dan Killing Fields iaitu tempat pembunuhan beramai-ramai rakyat Kemboja ketika pemerintahan rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot sekitar 1975.

Sebaik bersarapan, kami mengunjungi Tugu Peringatan Choeung Ek di Killing Fields yang menjadi tempat pembunuhan kira-kira 20,000 penduduk Kemboja.

Dengan jiwa dan nafas bergetar, penulis menjejakkan kaki di sekitar kawasan seluas 2.5 hektar itu dan merakam pelbagai kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Tengkorak dan tulang temulang mangsa serta pakaian dipakai ketika dibunuh turut dipamerkan.

Banyak kubur besar menempatkan lebih 100 mangsa kanak-kanak dan wanita yang kebanyakan�nya dalam keadaan berbogel di setiap lubang.

Hampir sejam di situ, rombongan meneruskan perjalanan ke Muzium Tuol Sleng atau dikenali sebagai S-21, bekas sekolah tinggi yang ditukar fungsi sepenuhnya oleh Pol Pot ketika berkuasa dari 1975 hingga 1979 menjadi pusat penyeksaan rakyat Kemboja.

Menjenguk bilik seksaan dan peraturan yang tertera untuk dipatuhi banduan membuatkan penulis faham mengapa sehing�ga kini rakyat Kemboja tidak mampu memaafkan rejim Khmer Rouge.

Di muzium itu juga ada 14 kubur yang dikatakan mangsa terakhir daripada kira-kira 17,000 banduan. Kaedah pembunuhan juga menyeksakan.

Banduan yang dikenal pasti untuk dihukum bunuh diangkut ke Killing Fields dan diberi dua pilihan menamatkan hayat dengan cara zalim, iaitu dikelar tengkuk dengan pelepah kelapa sawit yang ditajamkan atau buah zakar dihentak dengan kuat.

Sophie yang turut kehilangan dua abang dan dua kakak kerana dibunuh Khmer Rouge berkata, lebih 1.8 juta daripada tujuh juta penduduk mati dalam era itu.

Kami tinggalkan kisah sedih itu dan teruskan perjalanan ke Russian Market yang menawarkan barangan hampir sama di Central Market. Rombongan juga berpeluang ke Kampung Cham yang dihuni penduduk beragama Islam, kebanyakannya miskin dan bekerja sebagai nelayan.

Penulis berpeluang menikmati daging burger yang diperbuat secara tradisional dan bersolat di masjid yang tersergam indah dan digunakan kira-kira enam bulan lalu.

Masa panjang sebelum makan malam membuatkan anggota rombongan dengan rela hati menjelaskan bayaran AS$5 setiap seorang untuk menaiki feri mengelilingi Sungai Mekong. Selepas sejam, kami kembali ke darat dan menuju ke sebuah restoran untuk menikmati hidangan malam terakhir di bandar Phnom Penh sebelum pulang ke tanah air keesokan harinya.

Perjalanan lima hari empat malam di dua negara ini sememangnya tidak mencukupi untuk meninjau semua lokasi dan produk pelancongan ditawarkan. Bagaimanapun, bagi penulis, kembara kali ini terlalu besar pengertiannya kerana berpeluang menjejakkan kaki di dua negara yang terbabit dalam kancah peperangan antarabangsa dan pertempuran saudara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: