MEGAH...Hariff bersama empat jersi dimenangi pada saingan Jelajah Malaysia di Kuala Rompin, kelmarin.
NAMANYA mungkin tidak segah pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan, namun tiba-tiba saja Mohd Hariff Salleh mula menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal selepas mempamerkan aksi cemerlang pada saingan Jelajah Malaysia (JM) bermula 8 Mac lalu sehingga hari ini.
Mewakili pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling (TSG), Mohd Hariff yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Kuala Terengganu, kini boleh dianggap sensasi baru serta permata berharga skuad berbasikal negara kerana semangat luar biasanya yang langsung tidak gentar bersaing bersama jaguh dunia lain.
Metro Ahad (MA): Sejak bila anda mula menceburkan diri dengan sukan berbasikal?Mohd Hariff: Saya mula minat dengan sukan berbasikal ini bermula usia sembilan tahun. Ketika itu, kedua-dua abang saya sudah mula serius dengan sukan ini dan minat itu semakin mendalam apabila melihat basikal yang dimiliki oleh mereka berdua.Sejak itu, saya terus serius dengan menyertai banyak kejohanan dan mula mewakili negara pada 2005.
MA: Berapa harga basikal pertama yang anda miliki dan nilai basikal yang digunakan ketika ini?
Mohd Hariff: Harganya sekitar RM500 iaitu basikal bukit dan sekarang saya menggunakan basikal yang berharga RM25,000.
Saya sendiri tak sangka daripada sebuah basikal yang murah, saya kini dapat mengayuh basikal bernilai ribuan ringgit dan mampu menyumbangkan sesuatu untuk negara. Semua kejayaan ini hanya bermula daripada sebuah basikal serendah RM500.
MA: Mungkin ada kata-kata azimat serta individu yang menjadi pendorong kepada anda ketika menyertai satu-satu kejohanan?
Mohd Hariff: Biasanya saya amalkan prinsip hati mahu kering ketika berlumba. Maksudnya, saya ketepikan perasaan takut atau gementar sebaliknya terus cuba sebaik mungkin untuk memenangi perlumbaan. Daripada situ, biasanya tiada masalah untuk saya bersaing dengan pelumba lebih hebat termasuk ‘Mat Salleh’.
Selain itu, ibu juga banyak memberi dorongan kepada saya. Dia cekal membesarkan anak-anaknya selepas ayah meninggal dunia ketika usia saya baru lima tahun.
MA: Jika anda bukan seorang pelumba basikal, apakah agaknya profesion anda ketika ini?
Mohd Hariff: Mungkin jadi tukang kayu di kampung (ketawa). Entahlah, sukar saya nak menjawab soalan ini kerana sepanjang hidup saya selama ini adalah untuk sukan berbasikal saja. Saya tidak mempunyai banyak pilihan, belajar pun tak tinggi.
Tapi apapun, sekurang-kurangnya kini saya mempunyai karier dan mampu mengharumkan nama negara berbanding mereka sebaya dengan saya yang mungkin masih mencari kerja.
MA: Apa sebenarnya bakat lain yang ada pada anda tetapi tidak diketahui orang lain?
Mohd Hariff: Saya suka ke dapur dan pandai memasak. Bukan sekadar masakan biasa, tapi saya boleh memasak menu lain seperti nasi minyak, nasi ayam serta nasi briyani.
Kalau saya berlatih atau menyertai kejohanan di luar negara, saya lebih suka memasak sendiri. Semua ini saya belajar daripada ibu saya.
MA: Idola anda dalam sukan berbasikal?
Mohd Hariff: Azizulhasni Awang dan Anuar Manan. Mereka pelumba kelas dunia yang sukar dicari bakatnya di kalangan orang kita.
Saya sendiri mengimpikan mencipta nama seperti kedua-dua pelumba ini. Mereka miliki semangat juang tinggi serta langsung tak gentar ketika turun berlumba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: