Saturday, March 12, 2011

Giliran UTM tawan puncak Everest


SEBAHAGIAN pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang menyertai latihan pendakian pada Ekspedisi Banjaran Titiwangsa Versi 2, baru-baru ini.


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) bakal mengukir sejarah melalui penghantaran pasukan yang dianggotai kumpulan pelajar ke puncak tertinggi dunia, Everest.

Misi Perdana UTM De'Everest 2014 yang dianjurkan oleh Kolej Tun Ghafar Baba, UTM (KTGB) dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara (PKN) itu akan dinaungi oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden PKN, Datuk Khalid Yunus sebagai Penasihat Kehormat.

Penaung Projek, Prof. Datuk Dr. Mohd Tajudin Ninggal selaku Timbalan Naib Canselor Mahasiswa dan Alumni UTM berkata, sebagai persediaan projek yang julung kali diadakan itu pihaknya telah menyenarai pendek 10 orang pendaki.

Katanya, kumpulan pendaki itu adalah kumpulan perintis pelajar UTM yang akan membuktikan kekentalan semangat dan menjadi contoh kepada semua.

“Mereka mempunyai masa kira-kira tiga tahun untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran di Everest. Latihan dan persiapan ke arah itu telah pun bermula,’’ katanya.

Sementara itu, Dr. Mohd Murtadha Mohamad selaku penasihat dan pengetua KTGB berkata, setakat ini pihak universiti masih tidak mendedahkan nama-nama pendaki.

Beliau yakin program itu dapat memberi kesan tinggi kepada UTM kerana ia pasti akan melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dari segi fizikal dan mental selaras dengan Model Multi-dimensi Transformasi Pembangunan Mahasiswa UTM.

Bagi merealisasikan misi menawan Everest itu, pelbagai latihan persediaan yang mantap kendalian bersama Unit Sukan UTM dan KTGB akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan tahap kecergasan para pendaki sentiasa berada dalam keadaan baik.

Latihan altitud pertama bermula dengan pendakian Gunung Kinabalu, Sabah, minggu ini.

Perkara penting dalam siri latihan pendakian ialah penyesuaian diri pendaki dengan persekitaran cabaran dan rintangan di kawasan altitud tinggi sebelum meneruskan latihan altitud seterusnya di Gunung Kala Pattar dan Everest Base Camp, September ini.

Bagaimanapun, latihan itu bukan tugas mudah kerana para pendaki perlu mengharungi pelbagai rintangan seperti cuaca yang sangat ekstrem.

Latihan pendakian diteruskan dan pendaki sekali lagi akan diuji dengan pelbagai cabaran ketika Ekspedisi Banjaran Titiwangsa Versi 2 yang merangkumi Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Korbu, Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap.

Selain mengikuti latihan pendakian ke luar dan dalam negara sebulan sekali, jadual harian pendaki dipenuhi aktiviti fizikal seperti joging dan latihan di gimnasium.

Kini semua pendaki sedang gigih dalam persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang rintangan sebelum latihan seterusnya di Gunung Kala Pattar dan Everest Base Camp, September ini.

Sementara itu, Majlis Makan Malam Sanggar Sanjung dan Pelancaran Misi Kembara UTM ke Everest 2011 akan dilakukan pada pukul 8 malam 20 Mac di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Sekudai yang akan dirasmikan oleh Mohamed Khaled.

Sehubungan itu, UTM menawarkan jualan tempat duduk pada harga RM60 untuk seorang kepada individu, syarikat swasta dan badan persendirian. Kutipan akan disalurkan kepada tabung Misi Perdana UTM De'Everest 2014.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Unit Jemputan di talian 013-2127350 (Saudari Azrine) dan 019-3731925 (Saudari Anis).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: