Saturday, March 12, 2011

Pakaian renang ketahui keperluan anda


Lee Chun Hooi menunjukkan rekaan pakaian renang muslimah di Sun Paradise, baru-baru ini.


MENGHABISKAN masa di kolam renang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat kota pada hari ini sama ada untuk kecergasan ataupun riadah bersama keluarga.

Berenang sememangnya menyeronokkan tetapi tidak dengan pakaian harian. Di kebanyakan kolam renang awam, pakaian seperti kemeja-T dan seluar trek tidak lagi dibenarkan. Bagi yang gemarkan sukan itu pakaian renang sudah menjadi satu keperluan.

WOW! ke pusat sehenti kelengkapan sukan akuatik Sun Paradise untuk mendapatkan panduan pemilihan pakaian renang. Pusat jualan di Pavilion KL itu menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Pengurus Jualan Sun Paradise, Lee Chun Hooi berkata, pakaian renang direka bukan hanya untuk dipakai semasa pertandingan. Ia memberi banyak kelebihan yang diperlukan semasa berada di dalam air dengan meningkatkan daya apungan, lebih fleksibel, kurang menyerap peluh dan lebih ringan.

“Namun begitu masih ramai yang enggan mengenakan pakaian renang atas alasan rekaan yang ketat itu terlalu seksi. Sebahagian lagi tidak begitu memahami faedah daripada pakaian renang itu sendiri,’’ katanya.

Memberi contoh pakaian renang yang berkualiti, beliau mengesyorkan baju dan seluar renang yang diperbuat daripada lycra iaitu sejenis gentian spandeks yang menggantikan penggunaan nilon pada pakaian renang terdahulu.

Jelas beliau, bagi perenang lelaki, pakaian renang jenama Arena misalnya menawarkan pelbagai jenis baju dan seluar yang diperbuat daripada lycra dengan teknologi terkini.

“Lycra adalah bahan yang ringan dan mengurangkan geseran semasa berada di dalam air, sekali gus meningkatkan kepantasan berenang.

“Sehelai seluar pendek Arena boleh didapati pada harga RM69. Bagi yang memerlukan perlindungan badan, sehelai baju lycra boleh didapati pada harga RM89,’’ katanya.

Pakaian untuk muslimah

Jika pakaian yang ketat menjadi isu bagi sesetengah kaum lelaki, keadaan lebih teruk dihadapi oleh wanita. Ia adalah punca utama wanita di negara ini kurang melibatkan diri di dalam sukan akuatik, khususnya wanita Islam.

Chun Hooi berkata, Sun Paradise memahami keperluan muslimah yang terpaksa memendam keinginan untuk mandi di kawasan awam kerana ketiadaan pakaian yang sesuai.

“Kaum muslimah berhak menikmati gaya hidup sukan akuatik sama ada di kolam renang, kawasan air terjun dan semasa bercuti di pulau.

“Ia adalah pakaian terbaik untuk menggantikan seluar trek dan kemeja-T yang berat dan menghalang pergerakan semasa di dalam air,” katanya.

Seperti pakaian lelaki, fesyen burkini itu juga dihasilkan daripada lycra yang melepasi piawaian kualiti dari Jepun. Rekaan seperti jubah direka tidak terlalu ketat dengan butang berkunci yang menghalang pakaian daripada terselak semasa berada di dalam air.

Di Sun Paradise, pakaian renang muslimah yang lengkap (baju, seluar dan tudung) boleh didapati pada harga RM200 hingga RM400 dengan pelbagai corak dan saiz. Selain untuk berenang, ia juga selesa untuk dipakai semasa bersenam.

Bagi wanita yang inginkan pakaian renang lebih ringkas, produk Arena menawarkan pakaian sepaless yang menggunakan konsep cantuman dari dalam.

Rekaan bergaya yang menggabungkan bahagian atas (baju) dan bawah (kain) itu popular khususnya di kalangan wanita berusia 20-an hingga 30-an di negara ini.

Baju renang kanak-kanak

UNTUK kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di kolam, pakaian yang menutupi seluruh anggota badan adalah perlindungan terbaik.

Selain menutup kulit daripada panas terik, satu lagi perlindungan penting semasa mereka berendam adalah pakaian yang tebal. Baju dan seluar daripada neoprene iaitu getah sintetik dengan ketebalan 1.5 milimeter adalah pilihan yang ideal. Ketebalan dapat menambah daya apungan yang membantu kanak-kanak selesa di dalam air.

Di Sun Paradise, Arena menawarkan pelbagai kategori pakaian kanak-kanak seperti sut badan penuh, sut lengan pendek, seluar panjang dan seluar pendek untuk kanak-kanak dari usia dua hingga 16 tahun dengan pelbagai pilihan warna dan corak bunga.

Gogal

SELAIN memberikan penglihatan yang jelas di dalam air, penggunaan gogal juga penting untuk melindungi mata daripada air kolam yang tidak diketahui tahap kebersihannya.

Gogal Arena menggunakan teknologi yang mengurangkan penyimpangan cahaya, memberi penglihatan lebih tepat dan tidak memudaratkan penglihatan. Selain itu, gogal Arena juga dilengkapi teknologi anti-kabus dan anti bakteria yang mengelakkan alergi.

Bagi yang mementingkan prestasi, Arena menawarkan gogal berlensa untuk kegunaan mereka rabun. Dari segi prestasi, ia hampir menyamai kaca mata biasa.

Arena menawarkan pelbagai jenis gogal renang. Untuk pertandingan, penggunaan gogal dengan soket mata yang kecil lebih bersesuaian kerana faktor aerodinamiknya. Untuk lebih santai, gogal bersudut luas memberi darjah penglihatan yang lebih lebar.

Gogal yang baik diperbuat daripada poli-karbonat. Ia tidak boleh pecah melalui kemalangan biasa. Manakala gogal tidak berkualiti boleh mendatangkan kecederaan apabila ia pecah. Cukup bahaya untuk kegunaan kanak-kanak yang sentiasa berkejaran.

Untuk kegunaan kanak-kanak, gogal dengan soket mata berkusyen lembut dan tebal dapat mengelakkan kesakitan mata akibat pemakaian gogal yang ketat.

Untuk memaksimumkan fungsi, elakkan mencelup gogal ke dalam air kolam sebelum atau selepas berenang kerana air kolam boleh menjadikannya lebih kotor dan masalah berkabus.

Topi renang

SELAIN baju dan seluar renang, pemakaian topi renang juga antara alat yang semakin kerap dikuatkuasakan. Di kalangan mereka yang aktif berenang, pemakaian topi renang adalah satu kemestian.

Ia melindungi rambut daripada air klorin yang menyebabkan rambut kesat dan kekuningan. Selain itu, ia juga mengelakkan minyak pada rambut mencemari air kolam.

Antara perlindungan lain yang mungkin diperlukan untuk mereka yang kerap menghabiskan masa di kolam renang atau di pantai termasuk juga krim penghalang sinaran matahari (sun block) yang melembapkan kulit dan melindungi daripada pancaran ultraungu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: