Tuesday, March 15, 2011

Dimensi baru dunia wartawan


PARA wartawan muda yang mengikuti program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia tidak melepaskan peluang bertanya khabar dan beramah mesra secara langsung dengan Mazlan (duduk tengah).


BUKAN mudah untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya jika anda tidak memiliki minat yang mendalam dalam dunia penulisan, membaca, tidak berani menanggung risiko dan tidak sanggup berfikir di luar kotak.

Itulah cabaran yang dipilih oleh 18 orang wartawan muda dari beberapa organisasi media yang telah terpilih untuk menyertai program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Program yang dianjurkan dari 21 Februari hingga 18 Mac itu bertujuan mempertajamkan kemahiran kewartawanan dan meningkatkan pengetahuan ilmu kenegaraan dalam kalangan wartawan muda yang baru berkhidmat dengan organisasi media cetak, elektronik mahupun media baru.

Bagi Penolong Pengarang Majalah Masyarakat, Abd. Kadir Mohd. Ayub, 28, pendedahan yang diperoleh menerusi program itu telah memberikan satu dimensi baru dunia kewartawanan.

“Saya baru dua tahun berkecimpung dalam bidang ini dan sudah mula mengenali dengan lebih dekat akan dunia kewartawanan. Secara tidak langsung, program ini telah mampu memberikan ketajaman minda dari aspek penyuntingan dan cara terbaik untuk mendapatkan bahan berita,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Wartawan akhbar berbahasa Inggeris, The Star, Cheryl Poo, 27, tidak menyangka terpilih untuk mengikuti program tersebut selepas lapan bulan dilantik sebagai wartawan di agensi berita tersebut.

“Saya rasa sangat tercabar untuk menghasilkan sesuatu bahan berita yang terbaik dengan adanya program ini saya berhasrat untuk menjadikan diri saya setaraf dengan wartawan yang hebat di negara ini,” ujarnya.

Bagi S. Kisho Kumari, 26, dari agensi berita Bernama, kewujudan media baru menyebabkan tugas sebagai wartawan semakin mencabar.

“Kita perlu lebih pantas dalam menghasilkan bahan berita yang menarik namun pada masa yang sama kita harus memastikan sudut etika, apa yang perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Seorang wartawan muda juga perlu mempunyai tahap pengetahuan am yang tinggi bagi menjalankan tugas dengan berkesan,” ujarnya yang mula berkhidmat sejak setahun lalu.

Teknik penulisan

Program selama 26 hari itu turut menyentuh tentang penulisan berita, teknik menemuramah, sidang akhbar, penulisan rencana, kewartawanan penyiasatan, institusi-institusi negara, Perlembagaan Persekutuan, media dan undang-undang.

Antara lain, sesi pertemuan turut diatur dengan pemimpin negara antaranya Ketua Polis Negara (KPN), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Yang Dipertua Dewan Negara, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Menteri Dalam Negeri untuk mendapatkan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan yang perlu diketahui wartawan.

Sementara itu, tenaga pengajar program tersebut terdiri daripada pengarang kanan media dan penceramah jemputan dari beberapa pertubuhan kerajaan dan kementerian serta para profesor pusat pengajian tinggi awam dan swasta negara.

Bagi Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin, wartawan muda perlu sentiasa mengikuti perkembangan informasi menerusi pembacaan akhbar setiap hari dan pelbagai jenis buku.

“Mereka juga perlu membina keyakinan diri dan anggap bidang kewartawanan sebagai satu pembelajaran seumur hidup. Semasa mereka berkerja, mereka terus belajar pelbagai perkara baru,” kata beliau.

Nasihat Zainuddin lagi, mereka juga tidak seharusnya bergantung kepada arahan tetapi mempunyai inisiatif untuk mencari pelbagai cerita eksklusif.

“Ini menjadikan mereka wartawan yang lain daripada yang lain. Tidak sekadar jadi wartawan mediocre (tidak bermutu).

“Wartawan juga tidak harus mengabaikan susulan berita. Kadang-kadang, susulan mampu menghasilkan bahan berita yang lebih besar daripada akhbar lain.

“Pernah dalam satu kejadian seorang yang ditemui membunuh diri, saya yang menyusul kembali kejadian itu mendapati bahawa rupa-rupanya individu itu membunuh diri kerana tidak ada wang untuk mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di sini, kita dapati betapa sikap guru dan sekolah tempat mangsa belajar itu yang tidak peka dengan keadaan tersebut,” cerita Zainuddin berdasarkan pengalamannya.

Beliau turut menekankan, wartawan juga perlu sentiasa peka dan ada inisiatif kalau benar-benar mahu jadikan bidang kewartawanan sebagai satu kerjaya.

“Bagi saya, satu meja berita yang aktif akan melahirkan akhbar yang tidak pasif. Selalu kemas kini maklumat agar tidak ketinggalan atau menjadi surat khabar yang basi. Jika ada imej ketinggalan pada akhbar, ia hanya akan menyebabkan akhbar itu tidak laku di pasaran.

“Ini ditambah dengan persaingan hebat dalam dunia media siber, orang di media cetak akan terpaksa fikir berita yang baru dan lebih bernilai.”

Dalam pada itu, ketika pertemuan antara wartawan muda tersebut dengan seorang lagi Tokoh Wartawan Negara iaitu Tan Sri Mazlan Nordin, beliau turut menasihatkan mereka supaya membawa suara, aspirasi dan nilai kepada rakyat.

“Semua wartawan perlu mempunyai rasa kebersamaan dan sanggup untuk berkorban demi rakyat,” pesan beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: