Tuesday, March 15, 2011

D'Lloyd terharu berkonsert di IB

Kumpulan legenda Indonesia, D'Lloyd sangat popular di kalangan peminat muzik pop era 70-an. Sehingga hari ini banyak lagu-lagu mereka terus menjadi siulan. Suara lelaki kecewa Sam membuai rasa pendengar.

Kerana kekuatan lagu-lagu mereka dan juga keupayaan anggota asalnya mengadakan persembahan, kumpulan yang sinonim dengan lagu Cinta Hampa dan Semalam Di Malaysia itu akan kerkonsert di Malaysia. Lebih indah mereka dialu-alukan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

D'Lloyd teruja datang lagi ke Malaysia.

"Saya terharu sekali kerana masih ada kesempatan untuk datang lagi ke Malaysia dan sangat teruja menantikan tarikh persembahan D'Lloyd pada 6 hingga 8 Mei nanti," kata penyanyi utamanya, Sam yang tidak dapat menahan air mata apabila ditanya pasal keterujaannya semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementelah dia sendiri menyimpan nostalgia peribadi pasal kisah cinta hampanya dengan seorang wanita Malaysia semasa zaman remajanya dulu. Pastilah kenangan itu kembali menggamit memorinya.

Sam juga terharu apabila kehadiran mereka dialu-alukan oleh peminat di Malaysia. Kehadiran ramai media membuat liputan sidang media di Istana Budaya juga membuatkan dia tidak dapat menahan sebak.

Bartje (kiri) dan Sam di Kuala Lumpur.

"Saya masih ingat dulu ada seorang wartawan datang kepada saya meminta saya menurunkan tanda tangan di atas piring hitam milik ayahnya. Wartawan itu kata, bapanya berpesan agar dia mendapatkan tanda tangan saya sekiranya dia bertemu saya.

"Dia kata lagi, bapanya juga seorang wartawan yang pernah menemubual saya dulu. Saya sangat terharu kerana bapanya sanggup meninggalkan pesan kepada anak untuk mendapatkan tanda tangan saya," luah Sam.

D'Lloyd hari ini dianggotai oleh Sam atau nama penuhnya Shamsuar Hashim, Bartje Van Houten (gitar), Yuhanny Fatmarida Susilo (flute), Chairul Daud (dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F. Tekol (bes).

Dalam konsert yang dibawakan oleh Massa Frequency itu, D'Lloyd turut mengundang Datuk Ahmad Jais selaku bintang undangan istimewa dan S. Atan sebagai pengarah muzik.

Tiket berharga RM68, RM98, RM128, RM168, RM208, RM258, RM308 dan RM458 boleh didapati di www.ticket2u.biz atau talian 03-41478600.

Massa Frequency juga akan bekerjasama dengan Life Record untuk menerbitkan album kompilasi khas D'Lloyd yang hanya akan dijual semasa hari persembahan mereka nanti.

Lebih istimewa konsert tersebut juga diadakan sempena musim Hari Ibu. Jadi anak-anak boleh memberikan hadiah istimewa kepada ibu mereka untuk mengimbau kenangan lagu-lagu antaranya Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Mengapa Harus Jumpa, Oh! Di Mana, Cinta Hampa dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: