Tuesday, March 15, 2011

Pelakon HKLBR Terima Habuan

Kejayaan Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang berjaya meraih hampir RM8 Juta sewaktu ditayangkan di layar lebar Disember lalu memberi pulangan yang menarik kepada pengarah dan pelakon-pelakonnya.

Sebuah majlis penghargaan, kesyukuran dan doa selamat kepada tenaga kerja filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, telah diadakan oleh pihak Tayangan Unggul Sdn.Bhd. (TUSB) di Istana Bambu bagi menghargai penat lelah hasil kerja pengarah, produksi dan pelakon yang menjayakan filem ini.

Melihat kepada pencapaian sekuel filem Zombi Kampung Pisang ini, pengarah Mamat Khalid telah pun menyusun lima buah filem sambungannya.

Bakal muncul dengan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, Mamat Khalid berjanji akan mengekalkan watak Awie sebagai husin di lima buah filem rentetannya selepas ini.

"Awie akan kekal sebagai peneraju utama untuk ketujuh-tujuh filem saya yang berkaitan dengan penduduk kampung Pisang ini. Memang sejak dahulu saya sangat berminat dengan kesungguhan Awie menjayakan wataknya.

"Namun, dalam filem akan datang saya akan selitkan beberapa pelakon undangan untuk memantapkan lagi jalan cerita yang telah saya fikirkan itu.

"Mengekalkan keseronokkan sesebuah sekuel filem memang payah, sebab saya perlu fikirkan kelainan yang tidak membuatkan penonton bosan ataupun tidak mahu sambungan itu terlalu terikut dengan cerita sebelumnya.

"Namun, saya masih kekalkan unsur-unsur seram dan komedi kerana saya lihat penonton kita suka dengan filem-filem bergenre begini.

Melihat kejayaan HKLBR, menurut Mamat, ini adalah berkat daripada doanya di hadapan Kaabah sewaktu dia mengerjakan Umrah tahun lalu.

“Ketika itu saya memang berdoa agar mencapai angka 7 juta dan tidak sangka ia menghampiri ke 8 juta. Saya sangat-sangat bersyukur doa itu termakbul.

"Walaupun pada masa itu saya sangat berharap kepada filem Estet, tetapi rupa-rupanya Allah beri untuk filem HKBR.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: