Monday, March 7, 2011

Celcom labur RM1 bilion

Datuk Seri Shazalli Ramly  Ketua Pegawai Eksekutif Celcom
Datuk Seri Shazalli Ramly Ketua Pegawai Eksekutif Celcom

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) merancang melabur RM1 bilion tahun ini bagi meningkatkan liputan, kapasiti dan kualiti rangkaian bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk capaian lebih baik dan sambungan lebih pantas.

Daripada jumlah itu, 60 peratus akan dibelanjakan bagi meningkatkan rangkaian data manakala 40 peratus lagi digunakan untuk mengekalkan rangkaian operasi semasa.

Proses permodenan rangkaian syarikat akan membawa Celcom ke arah infrastruktur semua IP, mengubah tapaknya kepada struktur single-RAN (rangkaian akses radio) dan bersedia menggunakan rangkaian Evolusi Jangka Panjang (LTE) pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, Celcom akan memulakan proses transformasi rangkaian yang agresif dan perubahan single-RAN utama akan dilaksanakan seawal suku kedua tahun ini.

“Perubahan rangkaian itu akan lebih agresif selepas syarikat memasuki 2011 termasuk mungkin membelanjakan antara RM700 hingga RM800 juta dalam tempoh tiga tahun untuk bersedia dengan LTE,” katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan syarikat itu yang berakhir pada 31 Disember 2010.


Celcom mencatatkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) paras normal yang meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada RM1.9 bilion.

Menurutnya, beroperasi dengan rangkaian single-RAN akan membolehkan pengendali membina kapasiti tambahan dalam rangkaian 3G dan GSM serta bagi memastikan peralihan lancar bagi perkhidmatan berasaskan LTE apabila ada keperluan pada masa depan.

Bagaimanapun pada 2010, pelanggan Celcom akan terus mengalami gangguan perkhidmatan rangkaian disebabkan kadar vandalisme tinggi dialaminya tahun lalu.

“Kami mengalami vandalisme yang teruk di tapak kami dengan lebih 2,000 kes dilaporkan dan 1,010 kes itu menyebabkan gangguan perkhidmatan sekejap-sekejap,” katanya sambil menambah kes vandalisme membabitkan kos hampir RM40 juta untuk peralatan saja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: