PESONA BINTANG...Adira anggun dengan busana direka khas oleh Hazwani.
SEBAIK saja muncul naib juara pertandingan realiti TV popular, Akademi Fantasia 8 (AF8), kerjaya seninya dilihat meluncur laju. Malah sewaktu beraksi di konsert final ramai yang meletakkan harapan tinggi gadis berasal dari Ranau, Sabah itu akan muncul sebagai juara.
Sekalipun tewas di tangan Shahir, ia bukan halangan buat Adira untuk terus melangkah dan mencipta nama. Berkat kesungguhan dan kerja keras single pertamanya, Ku Ada Kamu layak bertanding pada final di Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), awal Januari lalu. Bukan itu saja namanya turut tersenarai dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) iaitu Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular.
Ditemui pada sesi fotografi khas sempena kelahiran Harian Metro Edisi Sabah, Adira tidak putus-putus mengungkapkan kata-kata syukur dan berterima kasih kepada peminat yang selama ini menyokongnya.
"Bagaimanapun saya anggap apa yang berlaku satu titik permulaan untuk melangkah. Banyak lagi perkara perlu saya lakukan termasuklah bekerja keras kerana saya mahu berikan yang terbaik buat semua," katanya.
Selain itu, Adira tidak menafikan hidup sebagai artis bukan mudah kerana banyak pancaroba terpaksa diharungi. Selain memastikan mutu vokal mantap sewaktu beraksi, penyanyi berdarah Kadazandusun ini juga harus berhadapan dengan pelbagai gosip yang tempias ke arahnya.
"Saya faham gosip asam garam dunia hiburan. Ia boleh memberi kesan kepada seseorang artis dan kalau boleh biarlah peminat saya kenal saya dengan cerita-cerita positif bukan yang menjatuhkan maruah mahupun keluarga," katanya.Bercerita lanjut mengenai perkara itu jelas Adira, paling membimbangkan dirinya apabila timbul dakwaan dia membawa lelaki pulang ke rumah dan bermalam, selain gosip menjalin hubungan cinta dengan Shahir.
"Kalau setakat gosip bercinta, saya masih boleh terima dan anggap ia perkara biasa tetapi kalau sampai membawa lelaki pulang ke rumah, ia tuduhan melampau.
"Pada saya bukan saja menjatuhkan maruah saya tetapi juga keluarga. Tentulah ibu bapa menjadi orang yang paling sedih. Kalau orang sudah mula memandang serong, tentu saya kena betulkan keadaan," katanya.Namun mujurlah famili Adira lebih mengenalinya, apatah lagi di Kuala Lumpur dia menetap bersama abang dan kakak iparnya. Kalau benar dia melakukan perkara sumbang, pastinya abang mahupun kakaknya di sini akan lebih dulu tahu dan menegur.
"Biasanya kalau saya tidak bekerja, saya akan habiskan masa bersama keluarga. Jangan kata hendak keluar atau membawa balik lelaki ke rumah, pulang lewat pun abang dan kakak saya dah mula telefon. Saya tidak boleh berenggang daripada mereka. Kalau sudah begitu keadaannya bagaimana pula saya punya masa untuk berfoya-foya?" katanya.
Kata Adira lagi, apabila gosip itu tersebar dia benar-benar sedih, kerana bimbang tanggapan peminat terhadapnya yang selama ini banyak memberi sokongan.
"Keluarga dan peminat tunjang kepada kekuatan saya dalam industri muzik ini. Saya lega kerana mereka selalu ada di sisi saya dan memahami situasi getir yang saya lalui," katanya.
Menyentuh mengenai gosipnya dengan Shahir, jelas Adira, ia cerita lama dan sudah dijelaskan berkali-kali antara dia dengan juara AF8 tidak lebih daripada berkawan.
"Biasalah, gosip bercinta itu sejak saya berada di alam AF8 lagi sudah hangat diperkatakan. Orang yang banyak bercerita sedangkan saya mahupun Shahir tak tahu apa-apa pun mengenainya.
"Kalau benar pun kami rapat, ia sebagai sahabat saja. Saya menghargai setiap rakan yang bersama-sama saya dalam AF8. Kenangan sewaktu kami bersama masih segar dalam ingatan dan saya akan ingat mereka sampai bila-bila," katanya.
Mengenai kerjaya pula dalam masa lima tahun dari sekarang jelas Adira, dia mahu mengukuhkan namanya terlebih dulu dalam dunia nyanyian selain memperbaiki pertuturannya dalam bahasa Malaysia. Kemudian sekiranya ada tawaran untuk mengacara mahupun berlakon, barulah dia akan pertimbangkan.
>PROFIL
Nama: Siti Adira Suhaimi
Panggilan: Adira
Usia: 20 tahun
Lahir: 19 September 1991
Tempat: Hospital Ranau, Sabah
Bangsa: Kadazandusun
Agama: Islam
Tinggi: 152cm
Berat: 48kg
Kerjaya: Penyanyi
Pendidikan: Sijil Pelajarab Malaysia (SPM)
Adik-beradik: 9 orang (bongsu)
Hobi: Dengar radio
Single: Ku Ada Kamu, Ilusi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: