Monday, March 28, 2011

Benarkah Sohaimi & Ana Raffali bergaduh?

Bergandingan dalam lagu popular, Kalau Berpacaran, mengangkat nama Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet ke satu tahap yang lebih tinggi.

Lagu yang sering menjadi pilihan ramai itu disemakin menjadi kegilaan peminat bahkan kini menduduki tangga-tangga tertinggi di setiap carta radio.

Disebalik kemesraan mereka mendendangkan lagu ini di pentas-pentas besar, ada khabar yang mengatakan Sohaimi Mior Hassan mempunyai masalah dengan Ana Raffali sehingga merakamkan semula lagu Kalau Berpacaran tanpa suara Ana Raffali untuk dimuatkan dalam album terbarunya.

Bertemu Sohaimi di majlis pelancaran album kelimanya di Red Box, The Garden baru-baru ini, dia menjelaskan tiada sebarang masalah yang berlaku antara dia dan Ana, tetapi masalah yang wujud ini adalah antara dia dan pihak Universal Music Malaysia.

Sohaimi muncul dengan album terbaru, Kalau Berpacaran

"Hubungan saya dan Ana baik-baik sahaja, malah kami masih menjayakan persembahan bersama sekiranya ada permintaan.

"Sebenarnya masalah yang wujud itu adalah berkaitan dengan lagu Kalau Berpacaran, saya meminta pihak Universal untuk membenarkan lagu ini dimuatkan dalam album saya, tetapi mungkin kerana terlalu sibuk maka maklum balas daripada mereka terlalu lambat dan saya sudah membuat perbincangan dengan pihak Warner untuk mengedarkan album saya kali ini.

"Konflik berlaku apabila saya meminta kontrak lagu itu dan mereka tidak membenarkan, tetapi bila saya sudah berjanji dengan Warner Music, barulah mereka melompat.

"Saya tidak mahu perkara ini menjadi isu, kerana ia hanya perkara kecil sahaja,"jelas Sohaimi.

Bercerita tentang album terbarunya, Sohaimi turut menyelitkan beberapa lagu popularnya dahulu yang dirakam semula untuk memberi nafas dan rentak yang sesuai dengan zaman.

Mengakui tidak selesa berada di dunia popular, jelas Sohaimi dia tidak mahu terlalu menjadi perhatian.

"Sejak daripada dahulu saya memang tidak selesa bila terlalu diberi perhatian, dan saya sendiri tidak selesa menyanyi di hadapan khalayak yang ramai.

"Saya lebih selesa membuat persembahan di dinner show ataupun majlis-majlis eksklusif kerana mereka yang berada disana lebih menghargai muzik dan lagu yang saya bawakan,"luahnya.

Sohaimi telah pun menghasilkan lima buah album iaitu Prolog pada tahun 1982, Dedikasi (1983), Misteri Cinta (1984), Suatu Hari Nanti (2007) dan Kalau Berpacaran (2011).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: