Saturday, July 31, 2010

Guru silat paksa pelajar nikah

KANGAR: “Jika tak mahu ditimpa kejadian buruk, kami dipaksa bersetuju anak kami dikahwinkan dengan anak perempuannya,” kata seorang lelaki yang mendakwa anak lelakinya, penuntut sebuah universiti di Mesir, dilari dan dikurung seorang guru silat untuk dipaksa berkahwin dengan anak gadisnya.

BUKTI...Mohd Fuzi, menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan   Firdaus.
BUKTI...Mohd Fuzi, menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan Firdaus.
Mohd Fuzi Mohd Zain, 57, mendakwa guru silat berkenaan turut menetapkan tarikh pernikahan pelajar terbabit dengan anak gadisnya berusia 24 tahun, esok.

Menurut Mohd Fuzi, anaknya, Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27, pelajar Jurusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, pulang ke tanah air untuk cuti semester sebelum gagal dikesan sejak 15 hari lalu selepas berkunjung ke rumah guru silat berkenaan di Padang Besar, dekat sini.

“Kami gagal menghubungi Firdaus dan tidak tahu di mana dia berada. Namun, kami percaya dia disembunyikan guru silat berkenaan,” katanya yang tinggal di Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur.

Mohd Fuzi berkata, dia dan isteri (Jamiah Hamid) bergegas ke Perlis dan berjumpa guru silat berkenaan untuk mencari Firdaus namun kecewa apabila lelaki berusia 50-an itu enggan menyatakan di mana anak mereka berada.

“Sebaliknya, dalam pertemuan itu dia mengajak kami membincangkan urusan perkahwinan Firdaus dengan anak gadisnya yang ditetapkan pada 1 Ogos.“Saya terkejut besar apabila dimaklumkan anak saya akan dikahwinkan dengan anak gadisnya kerana sebelum ini Firdaus tak pernah menyebut mengenai perkahwinan walaupun mempunyai kenalan wanita ketika menuntut di Mesir,” katanya ketika ditemui bersama sepupunya, Ahmad Mustapa di sini, semalam.


Kata Mohd Fuzi, sudah banyak kali dia menghubungi Firdaus menerusi telefon bimbitnya, tetapi tidak dijawab dan hingga kini tidak mengetahui kedudukan sebenarnya.“Firdaus anak sulung daripada lima beradik dan dia amat rapat dengan keluarga, terutama ibunya dan sering meluahkan perasaan kepada ibunya apabila menghadapi masalah. Saya dan keluarga kini bimbang dengan keselamatan Mohd Firdaus.

“Setakat ini, saya tak pernah lihat wanita yang bakal menjadi menantu saya serta status sebenarnya, sama ada janda atau dara. Fikiran saya bercelaru memikirkan nasib Firdaus, malah isteri saya sering menangis kerana tak bertemu anak sulungnya sejak 15 hari lalu,” katanya.

Mohd Fuzi membuat dua laporan berhubung kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Arau pada 27 Julai dan semalam.

Laporan pertama dibuatnya berhubung kehilangan anaknya ketika hadir di rumah Ahmad iaitu bapa saudara Firdaus di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kangar, di sini.

Laporan kedua pula berhubung ugutan dan paksaan untuk berkahwin diterimanya apabila bertemu guru silat berkenaan di Mata Ayer dekat sini pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, Firdaus pernah menuntut di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) di Beseri, dekat sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir dan mengenali guru silat berkenaan.

Katanya, Firdaus perlu menghabiskan pengajian peringkat ijazah selama setahun lagi di Mesir, bermula November ini dan dia bercadang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di universiti tempatan.

“Guru silat itu mengugut menyatakan ada pemuda sudah gila apabila menolak berkahwin dengan anak gadisnya dan berulang kali menyatakan jangan salahkan dia jika berlaku kejadian buruk terhadap Firdaus,” kata Mohd Fuzi.

Besi penghadang tembus kereta

KUALA LIPIS: Seorang tukang sapu wanita terbunuh selepas kereta Proton Pesona dinaikinya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sehingga menyebabkan besi itu menembusi kereta mangsa di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, petang kelmarin.

NGERI...keadaan kereta  dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan.
NGERI...keadaan kereta dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, Halimah Hamat, 57, dari Gua Musang, Kelantan yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhamad Fakhri Petra, Kelantan maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Suami mangsa, Yusuf Che Hamid, 60, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama dikatakan mengalami cedera ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, turut cedera anak saudara mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang, Nuraiman Azhar, 7.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya dikatakan dalam perjalanan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan dari Gua Musang, dipercayai untuk menziarahi saudaranya.

Katanya, kereta Proton Pesona dipandu Yusuf dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan mengakibatkan besi itu menembusi kereta mangsa.Abdul Razak berkata, mangsa duduk di bahagian penumpang depan dirempuh besi penghadang jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.


“Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HKL, malam kelmarin.“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Bukti cinta gadis remaja

KUALA LUMPUR: Biarpun masih di bangku sekolah, ramai remaja perempuan kini dikesan mengelar lengan hingga berdarah untuk menulis nama kekasih masing-masing, kononnya atas nama cinta.

TOREH...trend remaja perempuan mengukir nama kekasih pada lengan.
TOREH...trend remaja perempuan mengukir nama kekasih pada lengan.
Mereka melakukan perbuatan itu menggunakan pisau kecil atau mencucuk lengan dengan jarum bagi menghasilkan kesan parut seolah-olah tatu.

Perbuatan itu yang menjadi ‘trend’ terkini di kalangan remaja perempuan didedahkan pakar motivasi dan kaunseling remaja, Ahmadi Din berdasarkan pengalamannya mengendalikan beberapa kes gadis bermasalah.

Ahmadi berkata, baru-baru ini sepasang suami isteri meminta khidmatnya untuk mengatasi masalah anak gadis mereka yang sukar dikawal selepas terjebak aktiviti tidak bermoral dan dia mendapati tangan remaja itu ada kesan torehan nama teman lelakinya.

“Ibu bapa gadis berusia 16 tahun mengadu anak mereka terjebak pelbagai kegiatan tidak bermoral termasuk menghidu gam, merokok, ponteng sekolah dan suka berfoya-foya di disko.

“Selepas mendekati gadis itu saya mendapati lengan tangan kirinya yang mempunyai tanda parut tertulis perkataan yang bermula dengan huruf A. Apabila saya tanya, dia memberitahu tulisan itu nama teman lelakinya,” katanya.Menurutnya, gadis terbabit mengaku sengaja melukakan tangannya menggunakan jarum sehingga berdarah bagi mengukir nama kekasihnya yang berusia setahun lebih muda daripadanya.


“Dia memberitahu perbuatan itu dilakukannya kerana terpengaruh perbuatan sama oleh rakan sebaya yang mengukir nama kekasih masing-masing pada lengan atau pergelangan tangan.“Tanpa berselindung, dia mendakwa perbuatan menoreh lengan itu dilakukan bagi membuktikan kesetiaan dan rasa cintanya yang mendalam terhadap kekasihnya yang belajar di sekolah sama,” katanya.

Ahmadi berkata, remaja terbabit tanpa rasa bersalah mendakwa terlalu sayangkan teman lelaki menyebabkan dia hilang pertimbangan dan berani melakukannya.

“Perbuatan itu juga tidak ubah seperti pertandingan bagi membuktikan siapa paling hebat dan berani di kalangan gadis sebaya. Mereka langsung tidak ragu-ragu melakukannya hanya untuk bermegah. Siapa yang mempunyai parut nama paling panjang dianggap paling berani.

“Berdasarkan maklumat dikumpulkan, perbuatan gila mencederakan diri sendiri itu menjadi ‘trend’ baru yang tersebar meluas di kalangan remaja sekolah rendah dan menengah. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka dan menyiasat aktiviti anak masing-masing,” katanya.

Ahmadi berkata, kegilaan terbaru itu mungkin diakibatkan kaedah lama menoreh nama pada batang pokok atau kerusi batu di taman rekreasi sebagai bukti cinta dianggap ketinggalan zaman.

“Lebih menyedihkan perbuatan menoreh nama teman lelaki pada lengan hingga berdarah ini sebahagian besarnya dilakukan gadis Melayu yang masih mentah untuk mengenal erti cinta,” katanya.

Menurutnya, perbuatan mencederakan tangan untuk menghasilkan parut tertera tulisan nama seseorang sama seperti membuat tatu dan Islam melarang keras amalan ini.

“Dalam Islam, apa saja perbuatan memudarat dan membahayakan diri adalah haram. Malah, terdapat hadis Rasulullah yang maksudnya Allah melaknat perempuan membuat tatu, perempuan yang meminta dirinya ditatu, perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan yang mengikir giginya,” katanya.

Selain itu, kata Ahmadi, daripada sudut kesihatan perbuatan menoreh kulit menyerupai tatu itu boleh menyebabkan gejala bengkak dan gatal pada bahagian ditoreh yang mengundang jangkitan penyakit Hepatitis B atau C jika jarum digunakan tercemar.

Kita dihisab depan Allah


Setiap amalan kita akan dihitung di hadapan Allah di akhirat kelak. - Gambar hiasan


Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT menerangkan bahawa manusia itu akan kembali kepada Tuhannya lalu bertemu dengan-Nya dan terus dihisab, yang berkemungkinan dia akan dihisab dengan hisab yang ringan, jika dia melakukan amalan soleh dan dia dihisab dengan hisab yang sukar lagi berat, jika dia melakukan perbuatan yang maksiat.

"Seterusnya, Dia bersumpah dengan ayat-ayat-Nya yang berada di cakerawala yang jelas lagi terang, yang menjadi petunjuk bahawa kebangkitan itu pasti berlaku.

"Tidak mustahil bahawa manusia akan mengalami huru-hara yang dahsyat sehingga selesai penghisaban mereka. Setiap orang akan ditempatkan di syurga atau neraka yang telah disediakan untuk mereka".

Firman Allah SWT: Maka Aku bersumpah, Demi mega.

Ibn Kathir berkata: "iaitu ufuk yang berwarna merah sama ada sebelum terbit matahari atau selepas terbenamnya". Inilah yang dikatakan oleh Mujahid.

Firman Allah SWT: Dan malam serta segala yang dihimpunkannya.

Ikrimah berkata: "Suatu kegelapan apabila malam telah tiba dan segala sesuatu pergi ke tempatnya".

Firman Allah SWT: Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama.

Ibn Abbas berkata: "Jika telah berkumpul dan menempati posisi yang sama".

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).

Ada banyak tafsiran berkenaan dengan dengan ayat ini. Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada asy-sya'bi beliau mengatakan: "Engkau akan naik, hai Muhammad, Langit demi langit".

Demikian itu diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud, Masruq dan Abu 'Aliyah.

Firman Allah SWT: maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman? Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?

Ibn Kathir berkata: "Dan mengapa pula ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat dan firman-firman Allah, yang ia tidak lain adalah al-Quran ini, tidak mahu bersujud untuk memberikan pengagungan dan penghormatan."

Firman Allah SWT: (Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang yang kafir, semata-mata mendustakannya. Sesungguhnya dalil-dalil yang mewajibkan mereka beriman sudah jelas. Namun mereka tetap mengingkari dan mendustakannya.

Perkara itu disebabkan ada perasaan iri hati mereka terhadap kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW atau kerana kebimbangan mereka akan hilangnya kekuasaan untuk memegang jabatan agama serta kepimpinan yang diwarisi dan ada kalanya kerana keengganan mereka meninggalkan kepercayaan palsu dan tingkah laku tercela yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka.

Firman Allah SWT: Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.

Hamka berkata: "Namun Allah mengetahui apa yang mereka pendam di hati. Oleh Sebab itu ke mana saja pun gerak geri mereka akan diperhatikan Allah sehingga mereka tidak dapat lari."

Firman Allah SWT: Maka khabarkanlah kepada mereka Dengan azab Yang tidak terperi sakitnya.

Syed Qutub berkata: "Alangkah dahsyatnya berita gembira itu, iaitu berita gembira yang sama sekali tidak menggembirakan dan sekali gus itu juga diterangkan untung nasib yang menunggu orang-orang mukmin yang tidak mendustakan ajaran Allah dan bersedia dengan amalan yang soleh untuk masa depan mereka.

"Penerangan ini diberikan dalam bentuk pengecualian dari untung nasib orang-orang kafir yang mendustakan kebenaran".

Firman Allah SWT: tetapi orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.

Ibnu Abbas berkata: "Yakni tidak dikurangi". Sedangkan Mujahid dan al-Dahhak mengatakan: "iaitu tidak dihitung."

Ibnu Kathir berkata: "Dan golongan antara kedua pendapat itu bahawa pahala itu tiada putus-putusnya".

Sheikh al-Maraghi berkata: "surah ini mengandungi dua kesimpulan, iaitu:

1. Manusia akan memperolehi hasil daripada amalannya pada hari kiamat kelak. Mereka akan menerima buku catatan malan dengan tangan kanan atau dengan tangan kiri dengan cara membelakangi.

2. Manusia di dunia akan menempuhi satu keadaan kepada satu keadaan yang lain.

Sama ada mereka akan menempuhi keadaan yang mengandungi kenikmatan yang kekal abadi atau menempuhi keadaan yang mengandungi seksa yang pedih.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang mendapat rahmat dan syurganya di hari akhirat kelak. Amin.

Tajwid memelihara kesucian al-Quran


Setiap muslim perlu berusaha mendalami ilmu tajwid supaya boleh membaca al-Quran dengan tepat dan betul. - Gambar hiasan


MUKJIZAT al-Quran dalam bentuk perundangan dan susunan bahasanya amat tinggi dan tidak dapat di atasi selama-lamanya walaupun jin dan manusia berkumpul bersama untuk mencabarnya.

Al-Quran dijaga oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr: 9)

Satu keistimewaan al-Quran yang perlu disedari bersama ialah pembaca mestilah membacanya dengan bertajwid.

Tajwid bermaksud menyebut huruf al-Quran dengan sebutan, tepat dan sahih.

Perkara ini tidak berlaku pada semua kalam atau perkataan makhluk kecuali kalam Allah SWT sahaja iaitu al-Quran.

Ulama bersepakat dalam memberi pandangan bahawa wajib membaca al-Quran secara bertajwid. Dalil dari al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut ialah firman AllahSWT dalam surah al-Muzzamil ayat 4 bermaksud: Bacalah al-Quran secara tartil.

Ali Ibn Abi Talib r.a menafsirkan tartil bermaksud memperelok sebutan huruf dan mengetahui wakaf.

Bacaan al-Quran dari surah al-Fatihah hingga surah al-Nas iaitu 30 juzuk yang dibaca pada hari ini diterima secara bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah SAW.

Membaca huruf izhar secara izhar, huruf idgham diidghamkan, membaca huruf ikhfa' secara ikhfa', hukum iqlab dibaca dengan iqlab adalah bacaan yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Begitu juga dengan hukum mad (panjang) dan hukum tajwid yang lain.

Pernah satu ketika Abdullah Ibn Masud r.a mengajar seorang membaca al-Quran. Ketika lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara' dalam surah al-Taubah ayat 60 dengan memendekkan suaranya, Abdullah Ibn Masud menegurnya dengan berkata bukan begitu caranya Rasulullah mengajar aku membaca al-Quran.

Lelaki itu bertanya: "Bagaimana Rasulullah mengajar kamu wahai Ibn Masud?" Beliau menjawab "memanjangkanya."

Teguran Ibn Masud kepada lelaki tersebut yang membaca dengan kadar harakat yang tidak cukup pada kalimah fuqara' memberi faham kepada kita bahawa ia adalah satu perkara yang diambil perhatian oleh Rasulullah SAW ketika mengajar para sahabat membaca al-Quran.

Walaupun sebenarnya panjang dan pendek suara pada kalimah fuqara' tidak memberi kesan kepada perubahan makna.

Objektif utama ilmu tajwid ialah menjaga lidah dari membuat silap ketika membaca al-Quran. Ini menunjukkan bahawa tajwid menjaga nas al-Quran itu dibaca dengan bentuk yang tepat dan sahih semenjak ia diturunkan hinggalah ke hari kiamat.

Ibn al-Jazari menyatakan bahawa tidak syak bahawa memahami makna al-Quran dan perundanganya adalah satu ibadat. Turut dipanggil ibadat dalam berusaha memperbetulkan sebutan lafaz al-Quran dan sebutan hurufnya sebagaimana sifat yang diterima oleh imam-imam qiraat daripada Rasulullah saw.

Al-Quran yang wujud di pasaran begitu banyak, hiasan dalamannya dan bentuk khatnya amat menarik perhatian. Namun apakah kita membacanya dengan tajwid yang betul?

Jika bacaan kita menepati ilmu tajwid kita bersyukur kepada Allah SWT dan sebaliknya jika belum menepati hukum tajwid berusahalah mempelajarinya daripada guru-guru al-Quran yang berada berhampiran dengan kita.

Pasangan gagal hayati ilmu kursus


Penghayatan peserta adalah perlu untuk memantapkan diri mereka dengan ilmu berkaitan rumah tangga. - Gambar hiasan


KAK, ajarkan saya macam mana nak baca doa Qunut? Saya ingat, ingat lupalah! Tolonglah kak, kalau saya tak lepas baca doa itu, nanti saya tak dapat sijil, malu saya…”

Itulah antara pengalaman yang sehingga kini masih segar dalam ingatan apabila seorang wanita peserta kursus Pra-Perkahwinan dan Kekeluargaan Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor tidak lama dulu.

Ia berlaku sebelum para peserta, terdiri daripada pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan ditasmik atau diuji ingatan oleh ustaz dan ustazah mengenai bacaan dalam solat.

Ini untuk melayakkan mereka menerima sijil yang cukup bermakna bagi pasangan yang ingin berumah tangga.

Semua dilakukan hanya kerana sekeping sijil. Bukan kerana malu kepada tuhan.

Namun bantuan dihulurkan juga sebagaimana yang diminta.

Begitulah sebahagian realiti apabila kita bercerita mengenai kursus yang ‘wajib’ diambil dan dilalui bagi bakal pengantin.

Tanpa sijil yang diperkenalkan sejak awal 1990-an itu, tidak mungkin mereka akan berjaya melangkah masuk ke gerbang perkahwinan.

Maknanya, hingga ke hari ini sudah ratusan ribu ‘graduan’ kursus praperkahwinan dilahirkan.

Mereka sudah pastinya mempunyai matlamat perkahwinan yang sangat murni, iaitu untuk membina rumahtangga yang kukuh dan utuh.

Perkahwinan itu pula penuh dengan kebahagiaan dan kasih sayang dan sehingga ke akhir hayat tidak akan ada kesudahan. Ini kerana, perkahwinan adalah untuk selamanya!

Kalau pun ada di tengah-tengah pelayaran ribut membadai, hasil daripada kursus tersebut sepatutnya boleh dijadikan penyelamat dalam memastikan rumah tangga bertahan dan mereka tahu mencari jalan penyelesaian.

Begitu pun kita kini terganggu dengan angka-angka perceraian dan berita-berita tidak lagi tidak sebumbung dan tidur sekatil di kalangan umat Islam dalam jumlah yang agak membimbangkan.

Malah ada jumlah yang tinggi melibatkan pasangan yang bercerai dalam tempoh satu ke lima tahun berumahtangga (rujuk statistik) iaitu hampir 40 peratus.

Apakah maknanya ini? Terkadang masih di alam bulan madu, inai masih merah di jari tetapi pasangan seperti tiada pilihan kecuali bercerai. Sedangkan kursus pra perkahwinan seperti baru semalam dilalui.

Pengerusi sebuah pusat kursus praperkahwinan swasta, Zura Akademik, Mohamed Nor Mohamed, 69, berkata, ibu bapa zaman dahulu walaupun tidak mengikuti sebarang kursus, hidup kekal sepanjang hayat hanya maut yang memisahkan.

Bukan itu sahaja, tanah berhektar-hektar pun boleh dibeli untuk diwariskan kepada anak-anak. Tetapi itu tidak berlaku pada anak-anak hari ini, mengapa?

“Wajib mengambil kursus praperkahwinan kadang kala buat syarat sahaja. Mereka bukan hadir untuk menimba ilmu,” jelasnya.

Zura Akademik yang ditubuhkan hampir 20 tahun lalu telah melalui pelbagai pengalaman dalam berhadapan para peserta kursus yang ingin berkahwin.

Kata beliau, pihaknya hanya menyediakan tempat kursus sementara modul, fasilitator serta penceramah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

“Jadi kita tidak pernah lari daripada peraturan dan syarat yang ditetapkan. Daripada semasa ke semasa kita juga sentiasa dipantau,” katanya.

Maka tidak sepatutnya timbul cerita pusat-pusat kursus yang mengambil untung sahaja tetapi tidak menawarkan kursus secara berkesan.

Ini kerana di Wilayah Persekutuan terdapat lebih 100 pusat kursus pra perkahwinan swasta dengan bayaran tertentu.

“Tetapi yang benar-benar beroperasi mungkin kurang daripada itu. Yang lain mungkin ditutup atau menghadapi masalah.

“Jabatan agama pula telah memberi amaran dan mengambil tindakan. Maka pusat-pusat yang masih beroperasi pada hari ini menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang diamanahkan,” katanya.

Lalu apabila berlaku juga keruntuhan rumah tangga dan perceraian selepas menjalani kursus praperkahwinan maka adakah wajar kursus tersebut dipersalahkan?

Mohamed Nor berkata, adalah tidak adil meletakkan kesalahan 100 peratus kepada kursus tersebut.

“Lagipun kursus ini hanya berlangsung 13 jam sahaja sebagai memenuhi syarat untuk mendapatkan sijil.

“Untuk 13 sahaja, apa sahaja yang kita perolehi? Sedangkan ilmu rumah tangga adalah terlalu luas dan perlu sentiasa dipelajari selagi kita bergelar suami isteri,” jelasnya.

Namun Mohamed Nor sentiasa menegaskan kepada para peserta kursus bahawa apa yang mereka lalui dalam kursus hanyalah perkara asas.

Justeru tidak boleh dijadikan jaminan mengekalkan rumah tangga yang bahagia.

“Sebabnya, selepas ini perlu masih banyak belajar, sama ada melalui bahan cetak, belajar daripada pasangan yang lain, belajar daripada ibu bapa mahupun alam di samping sentiasa menjaga solat dan berdoa agar rumah tangga yang dibina tidak runtuh menyembah bumi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan ada keperluan diperkenalkan kursus lepas kahwin atau pasca perkahwinan.

“Ini kerana banyak faedah dan manfaat yang boleh pasangan perolehi. Elok-elok hendak bercerai tidak jadi bercerai, yang bahagia akan semakin bahagia.

“Maka kerajaan perlu memikirkan apakah insentif yang sesuai bagi menggalakkan pasangan suami isteri menyertai kursus seperti ini,” katanya.

Laksana kursus lepas kahwin


Komunikasi berkesan adalah antara faktor mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. - Gambar hiasan


Perkahwinan adalah kemuncak ikatan kasih sayang antara teruna dan dara selepas sekian lama mengenal hati budi masing-masing.

Namun, sikap romantis, baik tingkah laku, sikap mengambil berat adakalanya hanya tinggal kenangan semasa pasangan memadu kasih.

Sebaliknya, apabila berumah tangga tiada lagi panggilan manis kepada pasangan malah sikap romantis hanya tinggal kenangan.

Tidak hairan, ada pasangan yang sudah berumah tangga berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi gagal mempertahankan keutuhan kasih sayang dan akhirnya bercerai.

Ini menimbulkan persoalan adakah perlu mengadakan kursus pasca perkahwinan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Lantaran itu ada yang mencadangkan supaya diwujudkan kursus lepas kahwin atau pasca perkahwinan bagi memelihara kerukunan rumah tangga.

KursusIa boleh dilakukan secara sukarela pada peringkat awal.

Peserta pula akan diberi insentif sebagai galakkan untuk mereka hadir.

Kursus itu diharapkan mampu melahirkan institusi kekeluargaan yang bahagia, tenang dan penuh dengan kasih sayang.

Bagi Norazlan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Lann A to Z, perkahwinan bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.

"Sebagai mewakili rakan-rakan artis dan termasuk diri saya sendiri, perkahwinan bukanlah satu perkara main-main yang boleh diraptaikan macam program realiti di televisyen.

"Sama-sama kita renungkan sejenak, cukupkah tempoh dua tiga hari kursus praperkahwinan?

"Apakah tujuan sebenar kursus perkahwinan itu diadakan? Adakah sekadar melepaskan syarat?

"Aku dah buat kursus kahwin, maka aku sudah boleh kahwin sekarang, itu sahaja," katanya.

Sedangkan, katanya, hakikat yang perlu dihadapi adalah seumur hidup.

Sehubungan itu dia begitu mengalu-alukan sebarang kursus perkahwinan yang diwajibkan selepas nikah.

"Kita mesti adakan kursus tersebut, jika tidak, seperti membiarkan diri kita hanyut yang akhirnya tenggelamlah sebuah rumah tangga.

"Ini kerana kursus pasca kahwin itu adalah tangan-tangan yang menyelamatkan sebuah perkahwinan," katanya.

Otak-Otak Place imbau kenangan


Otak-Otak Place yang menampilkan konsep dekorasi ala kampung.


NOSTALGIA zaman kanak-kanak merupakan suatu pengalaman yang amat manis. Ia penuh dengan pengalaman yang sukar dilupakan.

Begitulah perasaan yang dirasai ketika memasuki restoran ini. Bagai mengimbau ke zaman silam.

Terletak di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, merupakan sebuah restoran yang dicipta begitu istimewa untuk mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Sesuai dengan tagline restoran, Makanan dan Kenangan Yang Anda Sayangi.

Mungkin jika diceritakan kepada anak-anak sekarang tentang permainan konda-kondi, teng-teng, congkak, batu seremban, jentik tutup botol, askar hijau, guli, ikan laga, main getah dan sebagainya, ramai antara mereka yang tidak tahu.

Sementelah anak-anak sekarang terlalu dididik dengan permainan yang bertemakan elektronik.

Hakikatnya, inilah yang cuba disampaikan di Otak-Otak Place, pengalaman dahulu begitu berharga untuk generasi sekarang.

Jangan salah sangka, dinamakan Otak-Otak Place, bukan sekadar makanan otak-otak. Pilihan makanannya lebih daripada itu.

Menurut Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Carol Tay, hidangan yang disediakan juga menyingkap kenangan suatu waktu dahulu.

Diilhamkan oleh pengasasnya, Chew Boon Swee, makanan di sini antaranya ialah kopi-O kaw, otak-otak Muar, mi rebus, laksa asam, nasi lemak panas, roti jala dan pelbagai lagi.

''Ia meliputi lebih daripada 14 jenis otak-otak, 21 hidangan pembuka selera, 32 pilihan hidangan Melayu, 57 jenis minuman termasuk pemanis mulut dan ais krim.

''Pendek kata, apa sahaja yang terlintas untuk hidangan, sebutkan sahaja, pasti ada di sini,'' jelasnya.

Dalam pada itu, pelanggan bukan sekadar dihidangkan makanan yang menyelerakan, mereka akan dihiburkan dengan pelbagai lagu halwa telinga didendangkan dari artis-artis lama tahun 60-an dan 70-an termasuk daripada filem-filem tempatan era tahun-tahun berkenaan.

Hendak lebih lagi, anda juga turut terpesona dengan hiasan yang diketengahkan iaitu lampu minyak tanah, lesung batu, botol air lama, kole lama, basikal tua dan sebagainya.

''Sebaik sahaja tiba ke restoran ini, pelanggan akan diminta untuk memilih tempat duduk yang sesuai. Kemudian kita akan menghantar menu menggunakan buku latihan seperti buku sekolah-sekolah rendah dahulu.

''Kita akan memastikan sebaik pelanggan atau ibu bapa duduk menunggu hidangan tiba, mereka akan berbicara dengan anak-anak mengenai kenangan indah mereka ketika zaman kanak-kanak.

''Sambil menikmati hidangan, mereka juga boleh bermain permainan yang sama dengan anak-anak,'' tuturnya.

Resipi baru biskut raya


Chef Peter Lim menunjukkan cara membuat roti berkhasiat pada bengkel Eksklusif MEGA-Daisy siri ketiga, baru-baru ini.


BULAN Ramadan tinggal kira-kira dua minggu lagi. Bagi wanita atau suri rumah yang gemar ke dapur, ada yang sudah mula menyelongkar almari mencari buku-buku resipi dan berkira-kira biskut raya apa yang ingin dicuba untuk Syawal nanti.

Jemu dengan resipi lama apa kata mencuba resipi baru yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Namun tidak perlulah bersusah-payah mencipta resipi sendiri yang belum tahu jadinya.

Sebaliknya, semua itu boleh diperoleh dengan menyertai Bengkel Biskut Raya dan Kek anjuran akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan MEGA dengan kerjasama Daisy Margerin.

Bengkel akan berlangsung pada 31 Julai ini (esok) dan 7 Ogos ini di Dapur Lam Soon di Senai, Johor.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan siri keempat dan kelima bagi siri Bengkel Eksklusif Bersama MEGA-Daisy.

Kedua-dua Bengkel Biskut Raya dan Kek ini akan dikendalikan oleh Chef Zanifah Md. Nor dari D'Flower Cake.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang bakeri, beliau sememangnya terkenal dalam menghasilkan resipi--resipi biskut dan kek yang unik serta menarik.

Menurut Zanifah, kemahiran membuat biskut raya harus dimanfaatkan sebagai aktiviti yang mendatangkan pendapatan.

Katanya, menjelang musim perayaan pasaran untuk biskut raya sebenarnya amat luas lebih-lebih lagi bagi biskut buatan sendiri.

"Jadikan penyertaan di bengkel ini boleh dijadikan satu permulaan untuk memulakan perniagaan yang mendatangkan pendapatan lumayan sepanjang Ramadan ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Zanifah, pada bengkel 31 julai peserta akan diajar secara teori dan praktikal cara membuat dua jenis biskut moden iaitu Tart Swan dan biskut Kissingglory serta satu resipi kek iaitu kek Waka Waka.

Manakala bengkel pada 7 Ogos menampilkan resipi berbeza yang turut diciptanya sendiri.

"Para peserta bukan saja dapat mempelajari resipi baru tetapi lebih penting memperoleh panduan dan petua-petua memasak yang kebanyakannya tidak terdapat dalam mana-mana buku," katanya.

Paling menyeronokkan, setiap peserta boleh membawa pulang hasil 'air tangan' sendiri.

Sementara itu, yuran sebanyak RM125 (bengkel 30 Julai) dan RM200 (bengkel 7 Ogos) seorang dikenakan meliputi sarapan pagi, makan tengah hari, sijil penyertaan, cenderahati daripada Daisy dan beberapa hadiah cabutan bertuah yang menarik.

Bengkel sehari suntuk itu bermula seawal 9.30 pagi. Bagi yang berminat menyertainya boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Jenama di talian 03- 92210202 (Lieya) atau datang terus ke Dapur Lam Soon di Senai Complex, PLO 173, Jalan Cyber Utama, Kawasan Perindustrian Senai III, Senai, Johor.

Masak perlu kreatif, berani


Ayam dengan sos cendawan.


"Chef macam mana saya nak pandai memasak? Bila masak selalu tak menjadi dan kurang sedap!"

Tiba- tiba soalan ini telah membuatkan saya untuk menulis artikel bagaimana boleh menjadi seorang chef yang hebat di rumah.

Salam dan bertemu kembali kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Dari Dapur Azli Razali kali ini ingin berkongsi dengan anda beberapa perkara asas yang perlu anda beri perhatian andai anda ingin memasak sehebat seorang chef di rumah.

Semestinya seorang chef yang profesional memerlukan pengalaman yang luas dalam industri makanan seperti bekerja di hotel, restoran dan sebagainya.

Anda juga boleh jadi sehebat chef jika makanan yang dimasak itu enak dan mendapat pujian teman-teman atau keluarga di rumah.

Memasak memerlukan perancangan kerana ia membantu dari segi pengurusan sebelum dan ketika memasak. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak memasak dinasihatkan mencuba masakan yang mudah dahulu.

Selain itu pembacaan tentang teknik memasak juga dapat menambah ilmu memasak.

Membaca buku-buku dan majalah dapat memberi idea kepada anda cara untuk berkreatif dalam menghasilkan sesuatu masakan.

Memasak juga memerlukan panduan dan bimbingan jadi jangan segan untuk bertanya kepada orang yang lebih mahir dan berpengalaman.

Sesuai dengan peredaran zaman, banyak resipi di laman sesawang boleh kita cuba.

Tetapi anda perlu memastikan setiap resipi yang ingin anda cuba daripada Internet adalah dari sumber yang boleh dipercayai.

Semak dengan teliti setiap bahan-bahannya sama ada sesuai dan terbukti hasilnya baik. Pastikan juga bahan-bahan yang digunakan mudah diperolehi. Saya sendiri banyak mencuba resipi dari Internet termasuklah dari blog-blog persendirian.

Adakalanya saya perlu mengolah resipi itu supaya hasilnya memuaskan.

Harus lebih berhati-hati dan perlu bijak berkreatif untuk mengolah resipi dari internet. Ini dapat mengelakkan pembaziran wang dan masa.

Memasak juga memerlukan keberanian. Jika sekali buat dan hasilnya tidak memuaskan anda harus jadikan ia sebagai motivasi untuk terus memperbaiki segala kekurangan. Anda perlu mengkaji di mana ruang yang harus diperbaiki, mungkin pada teknik memasak atau resipinya.

Sebelum membeli, senaraikan bahan-bahan mentah yang diperlukan supaya tidak ada yang terlupa. Cara ini dapat menjimatkan ketika membeli-belah. Selain itu, masa memasak anda juga dapat dipercepatkan kerana tiada barang yang terlupa dibeli.

Mise en place juga amat membantu dalam aktiviti memasak anda di dapur. Mise en place bermaksud persediaan awal sebelum anda memasak yang dapat mempercepatkan proses memasak.

Lakukan kerja-kerja seperti mengupas bawang, mengisar cili dan beberapa kerja lain lebih awal. Bahan-bahan yang disediakan awal itu perlu disimpan ditempat yang sepatutnya agar tidak cepat rosak.

Juga pastikan lokasi bahan-bahan dan peralatan dapur berada di tempat yang mudah dicapai dan dicari bagi menjamin kelancaran sekali gus mengelakkan anda jadi kelam kabut.

Minggu ini saya mengambil risiko dengan mencuba resipi saya dapat daripada Internet. Saya telah mengolahnya mengikut kreativiti sendiri.

Myfranchise tingkatkan usahawan


Fauzi Awang dan Intan Hyriatee Mohd. Zawai menunjukkan sebahagian produk Forest'Secret.


KEBIASAANNYA, perniagaan berasaskan francais memerlukan modal besar dan ruang bagi memulakannya.

Lebih sukar apabila, pengasas perniagaan francais itu tidak membantu seseorang yang berminat menyertainya untuk mengumpul modal permulaan.

Namun, keadaan itu berbeza sama sekali melalui pendekatan dan bantuan yang disediakan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) kerana seseorang berpeluang membuka perniagaan hanya di rumah dengan modal serendah RM500.

Pada 2004, selepas lebih 30 tahun bergiat aktif dalam dunia perniagaan, PNS menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan saiz Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC).

Akhirnya ia menubuhkan Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. (Myfranchise), sebuah syarikat bagi menjalan dan menguruskan perniagaan francais untuk produk tempatan.

Misi Myfranchise untuk menggalakkan penglibatan bumiputera dalam perniagaan, meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu melalui perniagaan dan menambahkan produk berkualiti tempatan di pasaran antarabangsa.

Sejak itu, Myfranchise berusaha merencana pelbagai strategi bagi memastikan peserta francais di bawahnya dibantu secara menyeluruh termasuk daripada segi penyediaan sumber, meningkatkan aspek profesionalisme, kepintaran, etika dan disiplin dalam menguruskan perniagaan.

Pada masa sama, Myfranchise membantu seseorang mewujudkan perniagaan francais yang diperkenalkan dan bertindak sebagai bantuan pelaburan kepada peserta yang layak untuk menguruskan kewangan serta pinjaman mereka.

Hasilnya, Myfranchise yang sebelum ini memiliki dua rangkaian syarikat francais di bawah kelolaannya iaitu restoran makanan segera, Marry Brown dan Gloria Jeans, giat mempromosikan syarikat terbaru ditubuhkannya iaitu Forest'Secret.

Diasaskan pada 2007, Forest'Secret adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan badan dan kulit, aromaterapi dan spa, kosmetik dan warna serta makanan dan minuman kesihatan yang berasaskan herba.

Ketua Pegawai Eksekutif Myfranchise, Fauzi Awang berkata, sehingga kini, Forest'Secret mempunyai 38 pengedar utama di seluruh Semenanjung .

"Manakala kami mempunyai 22 orang usahawan yang menyertai perniagaan ini di bawah program Francais Mikro iaitu menjalankannya di rumah.

"Program Francais Mikro adalah program pertama yang memberi peluang kepada orang ramai menjalankan perniagaan melalui rumah.

"Dengan cara ini, ia membolehkan seseorang memulakan perniagaan dengan modal serendah RM500 dan mudah," katanya.

Fauzi berkata, peserta hanya perlu menyediakan modal RM500 dan membeli produk jualan permulaan sebelum menjualnya bagi mendapatkan pulangan.

"Setiap barangan yang dijual membolehkan peserta mendapat keuntungan sehingga 25 peratus," jelasnya.

Jaguar XJ beri kepuasan maksimum


Dari kiri Graham Hatch, Mick Razza bersama Syed Hussain Syed Mohamed bergambar dengan kereta baru pada majlis pelancaran kereta baru Jaguar XJ di Pavilion, baru-baru ini.


BAGI peminat kereta mewah sudah tentu tertanya-tanya, bilakah model terbaru Jaguar bakal berada di pasaran Malaysia.

Jawapannya, pada 27 Julai lalu, Sisma Auto Sdn. Bhd., pengimpot dan pengedar tunggal jenama tersebut di negara ini telah melancarkan model terbarunya di Jaguar Lifestyle Gallery di Pavillion.

Model terbaru XJ menampilkan ciri-ciri moden, hasil rekabentuk yang menarik, sporti dan berkejuruteraan tinggi.

Kehadiran model XJ turut dibantu oleh kejayaan model-model XK dan XF untuk membawa nafas baru bagi jenama Jaguar, sekaligus menjadikan model XJ sebagai model empat pintu utama untuk jenama British.

Model baru itu dijangka meluaskan lagi pasaran XJ ke generasi profesional yang lebih urban dan muda.

Selain itu, model ini menampilkan kemewahan dalam sebuah jentera automotif dengan rekaan sofistikated yang masih menampilkan keghairahan sebuah sports coupe.

Ia dilengkapi dengan teknologi terbaru Jaguar dan rekaan kontemporari yang elegan untuk memastikan keselesaan mutlak bagi pemandu dan juga para penumpangnya.

Antara ciri utama XJ yang memiliki enjin Gen III 5.0 liter V8 tanpa turbo dan enjin 5.0 liter V8 dengan pengecas turbo mampu memberikan kepuasan pemanduan maksimum kepada pengemar kereta mewah.

Bercirikan pemanduan yang responsif, sempurna dan dinamik hasil dari gabungan sistem suspensi udara, penyerap hentak bolehlaras berterusan, active differential control dan stering berkuasa dengan nisbah singkat (quick-ratio) mampu bersaing dengan jenama yang lain.

Teknologi badan aluminium Jaguar hasil inspirasi aero angkasa menjadikan XJ 150 kilogram lebih ringan daripada model setanding dengannya. Ini memberikan XJ kelebihan dari segi prestasi, pengendalian dan penjimatan bahan bakar disamping meningkatkan kekuatan casis, penghalusan pemanduan penuh dengan ciri-ciri keselamatan.

Rekaan bumbung panoramik yang inovatif turut memberikan penekanan kepada keluasan kabin XJ selain dijual dengan 14 pilihan warna untuk ruang kabin, serta 11 pilihan kayu veneer untuk memastikan keunikan kabinnya menepati citarasa pemilik bertuah.

Di tambah dengan kecanggihan teknologi skrin 12.3 inci, definasi tinggi untuk sistem panel instrumen maya yang digandingkan dengan skrin sesentuh 9 inci dengan teknologi dual view membolehkan penumpang menonton filem sementara pemandu melihat paparan menu untuk fungsi kenderaan ataupun peta bagi navigasi satelit.

Sistem audionya pula dilengkapi dengan premium terbaik dari Bowers & Wilkins berkuasa 1200W setanding dengan sistem hiburan audio di rumah.

Antara ciri lain termasuk sistem audio dan navigasi satelit menggunakan pemacu tetap, ia juga mampu menerima pelbagai pemain audio dan video lain dengan menggunakan sistem media hub.

Pengarah Urusan Sisma Auto Sdn. Bhd., Syed Hussain Syed Mohamed berkata, tahun ini merupakan tahun yang cukup bertuah buat Sisma dan juga Jaguar kerana bukan sahaja mereka berjaya melancarkan model tebaru XJ ini, tetapi ia juga disusuli dengan sambutan ulangtahun ke-75 jenama berprestij itu.

“Model baru XJ meletakkan tahap baru untuk segmen kereta salun mewah dan kami di Sisma Auto cukup berbangga untuk melancarkannya di Malaysia,” katanya.

Tambah Pengarah Operasi Luar Negara untuk Jaguar, Mick Razza berkata, Jaguar telah menggantikan kesemua model lamanya dengan model yang terkini, bermula dari siri XF, XK, dan model terbarunya XJ.

“Ketiga-tiga model ini merupakan tunjang utama dalam usaha untuk membina kembali jenama Jaguar,” ujarnya yang tiba dari United Kindom khusus untuk pelancaran tersebut.

Pengarah Rekabentuk Jaguar, Ian Callum berkata, XJ ialah intepretasi moden untuk model klasik Jaguar.

“Reka bentuk tingkap sisi berbentuk titisan air (teardrop shape), jarak roda yang lebar dan bentuk badan XJ yang tampak gagah ini memberikan reka bentuk barunya satu impak visual penjenamaan semula Jaguar,” jelasnya.

Model terbaru XJ, 5.0L V8 Premium Luxury dijangkakan dijual di bawah paras harga RM1 juta. Bagaimanapun harganya akan diberitahu kelak diikuti oleh versi 5.0L V8 Supercharged XJ.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sisma Auto Sdn. Bhd. di talian 03-2775 5155 atau email kepada rahimaton@pdq.com.my dan adelene@pdq.com.my.

Lorenzo bakal juara MotoGp 2010?


Litar Antarabangsa Sepang yang akan menjadi tuan rumah Grand Prix Motosikal (MotoGP) pada 10 Oktober ini mungkin menjadi penentu juara buat Lorenzo.


PENDAHULU Grand Prix Motosikal (MotoGP) tahun ini, Jorge Lorenzo tidak perlu menunggu sehingga tamat tiga lagi pusingan perlumbaan sekiranya beraksi cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober ini.

Pelumba Fiat Yamaha itu hanya perlu menambah empat lagi mata pada pusingan ke 15 di Sepang untuk dinobatkan sebagai juara MotoGP 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali berkata, berdasarkan prestasi cemerlang yang berterusan, pelumba Sepanyol itu tidak mempunyai banyak halangan untuk merangkul kejuaraan pertamanya.

Tambah beliau, Lorenzo mempamerkan persembahan yang menakjubkan pada pusingan pertama musim ini malah beberapa kali menewaskan Valentino Rossi walaupun ketika rakan sepasukannya itu menunggang dengan baik.

“Semasa perlumbaan yang lalu dia seperti tidak dapat ditewaskan. Persembahannya sama seperti yang pernah dicapai oleh Rossi dahulu

“Dia juga berjaya mengurangkan kemalangan dan kelihatan lebih berpengalaman tahun ini,” ujar Razlan ketika mengulas kemenangan keenam daripada sembilan pusingan yang diraih Lorenzo.

Sehingga kini, Lorenzo mengumpul 210 mata, mengatasi 72 mata pesaing terdekatnya, Dani Pedrosa dari Repsol Honda yang diikut rapat oleh Andrea Dovizioso (Repsol Honda) dengan kutipan 115 mata. Tempat keempat pula disandang Casey Stoner (103 mata) manakala Valentino Rossi berada di tempat kelima dengan 90 mata.

Harapan untuk cemerlang di Sepang juga diletakkan tinggi oleh Lorenzo. Itu yang diakui beliau selepas menamatkan pusingan di Amerika Syarikat baru-baru ini, namun beliau mengakui perlumbaan tetap penuh dengan cabaran tidak diduga.

“Kemalangan dan kerosakan enjin boleh berlaku bila-bila masa. Itu adala cabaran paling besar selepas berjaya menguasa rentak perlumbaan,” jelas,

Sementara itu, Razlan berkata, sekiranya penentuan juara MotoGP 2010 berlaku di SIC, litar itu akan menyaksikan kebanjiran lebih ramai peminat yang mungkin memecahkan rekod tahun lalu.

Tahun lalu, lebih daripada 59,000 peminat menyaksikan Rossi merangkul gelaran dunia kesembilan dan ke tujuh dalam MotoGP di Sepang.

“Peluang penentuan juara sememangnya suatu yang sangat dinantikan oleh mana-mana litar di seluruh dunia,” ujarnya.

Membawa mesej dalam botol


SUSUNAN botol yang diisi karbon dioksida untuk lebih apungan dan tahan lasak.


TIADA apa yang istimewa pada reka bentuk Plastiki jika dilihat dari jauh. Rupanya sama seperti kebanyakan perahu layar lain. Namun kejayaannya merentasi Lautan Pasifik baru-baru ini menyampaikan mesej yang cukup hebat kepada penduduk dunia.

Siapa sangka katamaran sepanjang 18.2 meter yang hanya diperbuat daripada 12,500 botol plastik kitar semula berjaya mengharungi pelayaran di laut terbesar di dunia dalam usaha memupuk kesedaran alam sekitar ke peringkat global.

Pengembaraan Plastiki dari San Francisco, Amerika Syarikat selama 130 hari berakhir di Pelabuhan Sydney pada 26 Julai lalu. Ia melibatkan jarak sejauh 11,000 kilometer. Ketibaannya disambut meriah oleh penduduk bandar pesisir pantai itu sebelum diberi penghormatan untuk dipamerkan di Muzium Maritim Kebangsaan Australia.

Pelayaran Plastiki dikendalikan oleh David de Rothschild yang merupakan ahli keluarga institusi perbankan terkenal Britain bersama lima orang anak kapal yang menggelarkan diri mereka sebagai pasukan Adventure Ecology.

"Kejayaan kami pada hari ini adalah simbolik kepada apa yang boleh dilakukan penduduk bumi melalui kitar semula," ujar De Rothschild, 31, selaku Ketua Ekspedisi.

Idea pelayaran Plastiki tercetus selepas De Rothschild membaca laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesan dan ancaman serius yang dihadapi bumi akibat pencemaran dan buangan sisa plastik.

Selepas empat tahun pasukan Adventure Ecology bertungkus-lumus menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, binaan kapal, reka cipta terpelihara dan sains bahan binaan, akhirnya Plastiki disiapkan.

Untuk menghasilkan kesan yang lebih drastik terhadap kempen yang diperjuangkan, pembinaan perahu itu dilakukan berlandaskan empat tema iaitu reduce, reuse, recycle dan rethink (kurangkan, guna semula, kitar semula dan fikir semula).

Plastiki yang menggunakan platfom plastik tahan lasak diapungkan oleh botol-botol kitar semula yang disusun dan diikat pada rangka bot. Daya tahan botol dipertingkatkan dengan memasukkan karbon dioksida mampat yang menjadikan botol-botol plastik itu kalis pecah dan tahan lebih lama.

Pengemudiannya dilakukan oleh sistem kemudi yang memanfaatkan tenaga solar dan juga boleh dijana daripada tenaga kayuhan pedal basikal.

Bekalan tenaga semula jadi yang diperolehi itu kemudian disimpan untuk menghidupkan pelbagai peralatan eletronik dalam bot.

Pada waktu malam dan di dalam keadaan ribut, perlindungan kru kapal adalah di empat buah kabin berbentuk kura-kura yang mampu memuatkan enam anak kapal.

Selain dilengkapi teknologi terkini, Plastiki juga memanfaatkan bahan kitar semula ke tahap maksimum. Kain layarnya diperbuat daripada plastik yang didirikan pada tiang layar yang diperbuat daripada batang paip aluminium.

Kapal pintar yang menjadi kediaman selama empat bulan kepada kru itu turut mengaplikasikan konsep bumi hijau dengan menyediakan ruang bercucuk tanam secara hidroponik yang membekalkan sayur-sayuran sebagai alternatif kepada makanan dalam tin.

Sebagai 'kapal hayat' yang prihatin terhadap kesihatan bumi, sistem kumbahan Plastiki juga dicipta khas dengan keupayaan mengitar semula sisa buangan termasuk najis.

Dari San Francisco, Plastiki singgah di Pulau Line, Samoa Barat dan New Caledonia selain melalui kawasan himpunan sampah Pasifik (Great Pacific Garbage Patch).

Ia merupakan tempat pengumpulan sisa terbesar di dunia yang terhasil daripada arus laut. Tompokan sisa buangan itu dikatakan menyamai saiz negeri Texas malah ada sebahagian saintis mendakwa saiznya kini menyamai Amerika Syarikat.

Walaupun terlewat sebulan daripada jadual asalnya, pelayaran Plastiki berjaya mencuri perhatian umum melalui mesej alam sekitar yang dikongsi melalui laman web, blog dan laman sosialnya.

"Kami bukan sahaja mengemaskini maklumat pelayaran tetapi berjaya menarik perhatian, mengaktif dan mendidik orang ramai bahawa sisa buangan adalah masalah pengurusan manusia yang sebenarnya dapat diselesaikan.

"Melalui pemahaman dan kaedah yang efisien dalam penggunaan bahan khususnya plastik, sisa buangan boleh ditukarkan kepada sumber lain yang berguna dan mengurangkan plastik di permukaan laut," ujar De Rothschild.

Namun tambah beliau, ketika Plastiki berjaya mengitar semula 12,500 botol plastik sepanjang 3,144 jam perjalanannya, lebih daripada 7,860 juta botol lain dihasilkan di Amerika Syarikat sahaja dengan kurang 10 peratus di kitar semula.

Ikhtiar hidup bersama Jejak Belantara


PARA peserta diajar mengenai cara-cara membuat rakit daripada buluh.


SUASANA persekitaran di resort yang dikelilingi tasik, sungai dan hutan itu riuh rendah dengan suara sekumpulan peserta yang sedang mengikuti satu program latihan.

Dalam kedudukan berbaris, kesemua memandang tepat ke arah jurulatih berpengalaman, Abdul Wahab Daud yang menyampaikan taklimat mengenai aktiviti ikhtiar hidup di dalam hutan.

Peserta mendengar dengan teliti setiap arahan yang diberikan. Program yang dikendalikan oleh Jejak Belantara itu dikenali sebagai Kem Latihan Keupayaan Bertindak berlangsung pada 2 hingga 4 Julai 2010 di Riverstone Eco Resort di Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Para peserta terdiri daripada kakitangan sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur yang terlibat dalam pasukan keupayaan bertindak (ERT) di bank berkenaan. Sepanjang tiga hari dua malam mengikuti latihan, para peserta melalui pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental.

Antara aktiviti pada hari pertama adalah pembentukan kumpulan, bantu mula dan pengenalan ikatan dan simpulan tali. Pada tengah malamnya, ketika para peserta nyenyak tidur, kawasan penginapan mereka digegarkan dengan simulasi gempa bumi. Dalam aktiviti itu, para peserta diajar mengenai cara-cara menyelamatkan diri jika kejadian berlaku di tempat kerja.

Pada hari kedua pula, aktiviti pertama yang menanti mereka adalah berakit. Peserta diajar cara-cara membuat rakit daripada buluh dan kemudian mengemudinya di tasik berhampiran.

Belum pun penat berakit hilang, peserta dibawa pula merentas hutan menuju ke satu destinasi bagi menjayakan program ikhtiar hidup.

Dalam perjalanan tersebut, para peserta diberi tugasan untuk mencari dan menyelamat mangsa.

Mereka turut diajar memasak menggunakan bahan atau sumber dari alam semula jadi. Kemahiran peserta memasak nasi, ayam dan ikan sardin di dalam buluh diuji.

Ikhtiar hidup adalah untuk meningkatkan kreativiti dan daya fikir peserta bertindak dalam keadaan terdesak atau jika kekurangan sumber. Setelah selesai program ikhtiar hidup, para peserta merentas kembali hutan untuk ke tempat aktiviti abseiling iaitu menuruni curam setinggi 20 meter dengan menggunakan tali dan peralatan mendaki.

Ia adalah salah satu aktiviti menguji keberanian peserta sekali gus menanamkan sifat percaya kepada diri sendiri dan persekitaran serta semua yang terlibat.

Selesai semua kegiatan lasak, pada petang hari kedua, para peserta diuji kemampuan dan sensitiviti berkumpulan dalam permainan menyelesaikan masalah. Pada malamnya pula, satu lagi permainan yang diberi nama misi pasukan telah diadakan. Setiap kumpulan diberikan satu risalah yang mempunyai kod-kod rahsia yang perlu dipecahkan bersama petunjuknya sekali.

Dalam aktiviti tersebut, peserta perlu bijak mengurus pasukan masing-masing melibatkan aspek pengurusan dari segi kewangan, arahan dan jual beli. Ini dapat melahirkan gerak kerja berpasukan seperti kerjasama, membuat keputusan, penyelesaian masalah, komunikasi dan lain-lain nilai positif. Aktiviti ini dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengurusan dalam sesebuah kumpulan atau organisasi.

Menurut Pengasas Jejak Belantara, Muzisham Halimy Abd Munir, 39, selesai fasa tersebut dan tanpa diketahui peserta, mereka telah diarah untuk menyelamatkan 'mangsa' dalam satu simulasi kebakaran.

Ia seolah-olah simulasi sebenar sesuatu kemalangan atau kebakaran di mana setiap peserta dikehendaki membentuk satu pasukan yang mempunyai cukup anggota bagi melakukan pelbagai tugas menyelamat termasuk memadam kebakaran, pasukan penyelamat, perubatan, pasukan simpanan sehinggalah tugasan kepada memanggil ambulans.

Persekitaran resort pada malam tersebut telah bertukar menjadi seolah-olah satu kawasan bencana dengan mock-up kebakaran dan solekan pada 'mangsa'.

'Mangsa' juga telah memberi tekanan kepada pasukan yang ingin menyelamatkan mereka dengan melakonkan aksi sebenar apabila diarah oleh jurulatih.

Pada hari ketiga, peserta disajikan dengan permainan paintball pada sebelah pagi. Selepas itu, peserta menyertai acara menerapkan nilai-nilai positif kepada rakan-rakan lain yang mana setiap peserta dikehendaki memberitahu tentang kebaikan diri rakan peserta yang ditemuinya.

"Ini dapat membantu peserta menghargai dan mempercayai diri sendiri. Ia juga dapat membentuk keyakinan diri setiap peserta pada tahap yang tinggi," kata Muzisham Halimy.

Pada akhir program, sesi imbasan keseluruhan diadakan. Jurulatih dan peserta dikehendaki mengeluarkan pendapat mengenai keseluruhan program.

Keseluruhannya, program tersebut berjaya dan peserta dapat mengharung segala cabaran yang telah disusun yang mana ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan minda mereka.

Dalam pada itu, Muzisham Halimy memberitahu setiap latihan yang ditawarkan oleh Jejak Belantara mempunyai modul-modul yang disusun rapi. Ia supaya bersesuaian dengan kumpulan sasaran yang mengikuti program.

Setiap modul yang disusun mempunyai kaitan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian atau karier.

Selain daripada ketahanan fizikal, para peserta akan dilatih dan diuji dalam pelbagai bentuk emosi supaya mereka dapat bekerja dalam situasi tekanan, seronok, marah, gembira dan berbagai-bagai lagi.

Jejak Belantara yang beroperasi di Shah Alam sering mengadakan aktiviti di Riverstone Eco Resort kerana menurut Muzisham Halimy, kawasan itu menyediakan hampir semua keperluan untuk kem latihan seperti ini.

Selain itu, jurulatih Jejak Belantara juga bersedia untuk berada di mana sahaja lokasi mengikut permintaan. Bagi mereka yang ingin mengenali atau mana-mana organisasi berminat untuk merasai kelainan dalam latihan dan pengalaman yang banyak menggunakan alam semula jadi sebagai medium, boleh berhubung terus dengan menelefon talian 013-3116841 atau layari www.jejakbelantara.webs.com.

Lapangan East sedia untuk LPGA


Reka bentuk lapangan yang menarik dengan bunker diletakkan di lokasi strategik.


SELEPAS kejayaan menjadi tuan rumah kepada Maybank Terbuka Malaysia awal tahun ini, Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) kini bersedia untuk satu lagi kejohanan besar.

Pada Oktober ini ia bakal menjadi tuan rumah kepada salah satu pusingan Jelajah LPGA Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Sime Darby LPGA Malaysia.

Untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan besar bukan mudah. Jika untuk Maybank Terbuka Malaysia, KLGCC telah menaiktaraf lapangan West. Untuk LPGA lapangan East pula dinaik taraf supaya ia bertaraf kejohanan dan memenuhi spesifikasi LPGA.

Kerja menaiktaraf lapangan itu melibatkan dua peringkat. Yang pertama membabitkan penyediaan kawasan lapangan golf bertemakan tanah lembap yang siap pada Februari 2009.

Peringkat kedua ialah menaik taraf 13 daripada 18 lubangnya bagi memenuhi keperluan LPGA yang dilaksanakan dari Pertengahan Mac hingga Jun tahun ini.

Sesuai dengan tema itu, lapangan East KLGCC menampilkan ciri-ciri semulajadi dengan pokok-pokok tropika menghiasi sepanjang sempadan di samping persekitaran yang mampu menjadi habitat haiwan terutama ikan dan pelbagai spesies burung.

Sebanyak 12,500 pokok telah ditanam di lapangan East bagi mewujudkan persekitaran yang berasaskan alam semulajadi.

Tarikan lain ialah terdapat sebuah taman rusa dan pondok persinggahan yang bercirikan rumah kampung.

Secara keseluruhan lapangan ini tidak panjang iaitu hanya 5,679 meter. Tetapi ia bukan direka untuk mereka yang mempunyai pukulan jauh. Ia lebih kepada pemain yang teknikal atau pemain yang sabar dan yang berfikir sebelum melakukan setiap pukulan.

Lubang satu par-4 misalnya, jarak paling jauh ialah 250 meter. Secara relatifnya cukup senang cuma perlu melepasi fairway bunker di kiri. Tapi perlu dipastikan bola mendarat di fairway. Jika terbabas bola pasti akan ditelan oleh rumput rampai yang menjadi hiasan di kiri kanannya.

Selain halangan berair yang menjadi ciri utama lapangan East, rumput rampai hiasan yang memagari hampir setiap fairway perlu dielak.

Sudah tentu lapangan ini tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai pukulan melilau seperti Tiger Woods.

Sebanyak lapan lubang terbabit dalam pengubahsuaian menyeluruh termasuk melibatkan perubahan kedudukan.

Lubang sembilan dahulu kini menjadi lubang dua sementara lubang dua kini adalah lubang empat.

Antara yang menarik ialah par-3 lubang 15 dengan green pulau. Jaraknya tidak jauh hanya 124 meter. Di sini memerlukan pukulan iron yang tepat. Bunker seperti pantai di hadapan green perlu dielakkan. Ia nampak mudah tetapi ramai yang berakhir dengan bola di dalam air.

Jika dilihat pada jarak yang dicatatkan, lapangan ini tidak susah. Tetapi, ramai yang gagal mencatatkan permainan yang baik ketika beraksi di sini.

Sebabnya, ia memerlukan permainan mental. Pengurusan lapangan penting untuk elakkan kawasan-kawasan yang boleh memberikan masalah.

Terdapat dua lubang par-4 yang pendek iaitu lubang empat dan 13. Lubang empat ada paya di sepanjang sebelah kiri fairway hingga ke green.

Lubang 13 pula terdapat longkang yang melintasi fairway selain air yang menunggu jika pukulan terbabas dari green.

Satu lagi ciri menarik di lapangan East KLGCC ialah bunkernya yang berbeza. Sama ada bunker fairway atau di tepi green, ia mempunyai tebing yang curam dan ada yang dalam. Untuk pemain amatur berhandikap tinggi, untuk keluar dari bunker ini memang cukup azab.

Secara keseluruhannya, lapangan ini sememangnya sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Sime Darby LPGA Malaysia.

KLGCC boleh berbangga kerana ia kini mempunyai dua lapangan yang bertaraf kejohanan antarabangsa.

Aur dan Dayang tarikan baru Johor


PERAIRAN di sekitar Pulau Aur dan Dayang yang berpotensi untuk dimajukan sebagai satu lagi destinasi selam skuba di negara ini.


DENGAN kapasiti penginapan yang kecil dan kedudukan yang jauh di tengah laut, Pulau Aur dan Dayang di perairan Johor boleh dikatakan asing di kalangan rakyat negara ini.

Pada masa kini, kedua-dua pulau itu lebih popular di Singapura berbanding di tempat sendiri. Pada setiap hujung minggu, lebih 80 peratus penginapan akan dipenuhi pelancong-pelancong Singapura yang kebanyakan datang untuk menyelam.

Tarikan utama selam skuba di Aur dan Dayang terletak pada keindahan hidupan marinnya yang masih meriah dan terpelihara.

Cuma sayang, pada kunjungan bulan Jun lalu sebahagian daripada batu karang terjejas teruk akibat kejadian pemutihan karang. Malah fenomena akibat pemanasan suhu air laut yang melanda seluruh negara itu turut menjejaskan populasi ikan.

Tidak diketahui ke mana ikan-ikan yang biasanya mengelilingi terumbu karang melarikan diri. Sebahagian daripadanya hilang, meninggalkan perairan berhampiran Pulau Pemanggil yang terkenal sebagai syurga pemancing itu sunyi dan sepi.

Namun tarikan yang berjaya menarik penyelam-penyelam dari Singapura terjawab sebaik sahaja turun ke dasarnya.

Walaupun pemandangan di dasar agak kurang seri, tetapi keindahan yang sebenarnya masih ada di situ.

Lokasi-lokasi selamnya dipenuhi landskap berbatu yang membentuk pelbagai formasi unik. Jika tidak kerana pemutihan karang , kawasan itu semestinya cukup indah.

Itulah keunikan Pulau Aur dan Dayang, dua daripada 76 buah pulau di Johor (seperti yang diumumkan oleh Jabatan Taman Laut, baru-baru ini). Dua pulau yang terletak bersebelahan itu mempunyai potensi yang cukup baik untuk dipopularkan jika beberapa perkara perlu diperbetulkan.

Benar seperti kata Mohd. Hussain Mohd. Rashid, 39, dari Persatuan Skuba Johor bahawa kaedah pengangkutan adalah penghalang utama kerajaan untuk mempopularkan destinasi itu.

“Pada masa kini pengangkutan ke pulau berkenaan agak sukar kerana ketiadaan khidmat feri setiap hari.

“Pilihan yang ada hanya bot tambang dari jeti Mersing (Blue Water) yang memakan masa tiga hingga empat jam dengan kos perlu dikongsi oleh 10 orang (minimum) pada harga RM750,” jelasnya.

Namun beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam selam skuba mengakui, tarikan Aur dan Dayang cukup berbeza dengan lokasi di Tioman.

“Selain lokasi berbatu yang membentuk laluan seperti gua terdapat juga dua kapal karam iaitu Dayang Wreck sedalam 20.9 meter dan satu lagi di depan Jeti Pulau Aur (30.9 meter).

Perkara yang sama juga diakui oleh Ahmat Najah Rahmat, 40, selaku Pengarah Urusan Scubatex Resources Sdn. Bhd. Beliau iaitu kelebihan kedua-dua pulau itu adalah kualiti air yang lebih bersih kerana kedudukannya yang jauh dari daratan.

“Hidupan laut lebih meriah di sini kerana kesan pencemaran air tidak seteruk yang berlaku di pulau-pulau lain yang lebih dekat dengan daratan dan kerap dikunjungi,” ujarnya ketika ditemui semasa Selaman Eksplorasi Johor (JD-X), Jun lalu.

Pengarah Tourism Johor, Noridah Kamarudin berkata, program pengemaskinian produk pelancongan Johor itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempromosikan pelancongan marin.

Noridah berkata, JD-X itu merupakan sebahagian daripada usaha Tourism Malaysia untuk memperkenalkan pulau-pulau di Johor khususnya Aur dan Dayang sebagai destinasi selam skuba.

“Program selam beserta forum itu melibatkan pelbagai pihak yang terbabit dalam industri pelancongan seperti pengendali bot, resort, ejen pelancongan, penyelam skuba dan juga para media.

“Lawatan kali ini diharap dapat membuahkan hasil sama ada berbentuk cadangan ataupun kritikan,” ujarnya.

JD-X dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Majlis Daerah Mersing, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Johor, Wilayah Maritim Selatan, Scubatex Resources, Borneo Diver‘s & Seasports Sdn. Bhd dan Gemilang Zamrud Sdn Bhd.

Antara topik menarik yang dibangkitkan pada forum itu termasuk usaha pemuliharaan alam marin seperti yang dibentangkan oleh Clement Lee, Pengarah Urusan Borneo Diver‘s & Seasports Sdn. Bhd.

Awal Ashari Tak Sabar Nak Kahwin

"Awal plan nak kahwin waktu umur 30 tahun. Sebetulnya Awal tak mahu terburu-buru sebab hubungan dengan Scha baru berusia 10 bulan. Tapi tak mahulah terlalu lambat sangat. Kami ada berbincang mengenainya untuk pastikan kedua-dua pihak mahukan perkara yang sama.

"Yang penting sekarang ni, keluarga merestui hubungan ini dan kami mahukan hubungan tersebut terus kekal. Tapi yang penting kami tak tetapkan bila akan berkahwin tapi Awal memang tak sabar nak kahwin," gurau Awal.

Bekerja bersama kekasih bukanlah perkara yang mudah bagi Awal. Tekanan kerja dan persekitaran mungkin antara faktor yang bakal mengeruhkan hubungan mereka.

"Pertama kali bergandingan dengan Scha dalam Prebet Jamilah dan rasa seperti ada tekanan dalam hubungan kami. Mungkin ini drama last kami akan berlakon bersama sebab dua-dua stress sampai kami tak bercakap antara satu sama lain. Awal sayangkan hubungan ini dan tak mahu risikokannya.

"Kalau berlakon dengan artis lain dan ada kesilapan, Awal tak keberatan nak tegur. Tapi bila dengan kekasih hati, risau juga kalau dia terasa hati. Kadang kadang nak bergurau pun malu sebab takut nanti apa orang kata. Bagi Awal, bekerja sekali memang sesuatu yang sukar dan agak kekok," tambah jurucakap rasmi Kad Dot Red, Red Box ini.

Tiada Masalah Dengan Alibi Music


Biarpun masalah demi masalah menimpa Alibi Music Sdn Bhd, namun Awal menjelaskan perkara tersebut tidak sedikitpun menjejaskan kepercayaannya kepada syarikat rakaman tersebut. Bakal muncul dengan single terbaru berjudul Memori, Awal yakin lagu ciptaan sepenuhnya oleh Lah Ahmad ini akan memikat pendengar muzik. Disebabkan Awal menyanyikan lagu ciptaan Lah juga, timbul khabar menyatakan jejaka berbintang Leo ini tiada identiti sendiri.

"Setakat ini Awal puas hati dengan produk yang dikeluarkan. Maybe setengah artis tak paham situasi syarikat rakaman sebab mereka mempunyai banyak artis untuk diuruskan dan mereka mempunyai strategi tersendiri untuk keluarkan produk mana yang dirasakan sesuai, tambahan pula, Alibi masih baru. Macam Awal sendiri, tak terasa menunggu sebab Awal punya banyak tugas untuk dilakukan dan sedar-sedar mereka hubungi untuk siapkan projek single.

"Orang asyik cakap menyanyi adalah kerja yang senang namun sebenarnya ia lebih susah dari lakonan sebab perlukan penghayatan yang lebih di dalamnya. Mengacara lebih mudah bagi Awal.

"Berbalik kepada persoalan mengenai identiti, Awal akui suara Lah sangat istimewa dan sedap didengar. Dan Awal sendiri ada niat untuk menjadi sepertinya. Dan bila Lah yang cipta lagu untuk Awal, secara tak langsung lenggok suara Awal terikut-ikut nyanyian Lah sebab dia menyanyikan lagu itu untuk diperdengarkan pada mulanya," katanya ketika ditemui pada Majlis Previu Hidangan Berbuka Puasa Red Box Ria di Sogo.

Rihanna kini berlakon


RIHANNA


SELEPAS mencipta nama sebagai seorang penyanyi dan penghibur, Rihanna kini sudah bersedia untuk mengorak langkah sebagai seorang aktres pula.

Setelah disahkan oleh Universal Pictures, Rihanna bakal membintangi sebuah filem epik, Battleship yang diadaptasi daripada permainan papan (board game) terkenal keluaran Hasbro.

Memang sebelum ini, Rihanna mendapat banyak tawaran berlakon filem. Namun, disebabkan jadualnya yang padat dan juga kesibukannya jelajah dunia untuk konsertnya, dia terpaksa menolaknya.

Tetapi, kini Rihanna sudah bersedia. Adalah dikhabarkan jalan ceritanya yang berjaya memikat hati Rihanna untuk membintangi filem yang akan diarahkan oleh Peter Berg itu.

Bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi, Battleship akan menampilkan dua aktor, Alexander Skarsgard dan Taylor Kitsch.

Mereka berdua akan membawakan watak sebagai pasangan adik-beradik yang mengetahui bala tentera di medan peperangan.

Battleship akan mengambil kisah peperangan yang berlaku di darat, lautan dan juga angkasa untuk memelihara Bumi daripada dimusnahkan oleh kuasa jahat.

Filem yang turut dibintangi Joel William Gonzales dan Tom Arnold itu dijangka tayangannya pada 18 Mei 2012.

Kesungguhan Ainul


Ainul Aishah yakin dengan kebolehannya untuk menyanyi.


BAGI pelakon dan model bernama Ainul Aishah atau lebih mesra disapa Aini, berpeluang melangkah ke dalam bidang seni yang cukup didambakannya sejak kecil memang satu anugerah yang cukup bermakna buat dirinya.

Meskipun sedar saingan yang ada di dalam industri ini bukanlah calang-calang, namun disebabkan minat yang menebal, pelakon yang mula mengukir nama menerusi filem Nana Tanjung arahan Prof. Razak Mohaideen ini akur meneruskan usahanya untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini.

Walaupun namanya dalam bidang lakonan kurang menyinar berbanding pelakon baru seangkatannya, Ain masih lagi menjadi buruan pengarah atau produser untuk berlakon dalam drama terbitan mereka.

Terbaru, gadis berusia 25 tahun itu melebarkan sayap seninya apabila melangkah ke bidang nyanyian.

Mempertaruhkan single berjudul The Old Him Ain dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membuktikan bakat yang ada dalam dirinya.

Disebabkan Ain mengakui tidak membuat persediaan dari aspek vokalnya, ia mengundang soalan-soalan pedas daripada wartawan-wartawan yang hadir membuat liputan.

Biarpun dikritik masih belum layak diiktiraf sebagai penyanyi kerana tidak mempunyai kualiti vokal, Ain sedikit pun tidak memberikan reaksi negatif, sebaliknya optimis dengan pendapat yang diberikan.

“Sedap atau tidak suara seseorang itu terlalu subjektif untuk dikatakan. Biarlah pendengar yang menilai kebolehan saya sebagai penyanyi.

“Sekiranya ada kekurangan, ia masih boleh diperbaiki. Saya akan mengikuti kelas vokal.

“Paling penting, saya pupuk keyakinan pada diri saya sendiri untuk menyanyi,” jawab Ain yang juga menulis sendiri lirik dan lagu singlenya itu.

Gadis MLM diintip

Keratan akhbar muka depan Berita Harian kelmarin.
Keratan akhbar muka depan Berita Harian kelmarin.
30 pelabur serbu premis jualan langsung

KUALA LUMPUR: Selepas membongkar sindiket skim cepat kaya membabitkan pelaburan berjuta ringgit dua hari lalu, semalam polis menyerbu sebuah syarikat jualan langsung dan menahan pengurus besarnya berusia 40-an serta merampas pelbagai dokumen yang dikatakan ada kaitan dengan skim berkenaan.Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu, polis turut merampas profil dan sijil pendaftaran serta produk kesihatan keluaran syarikat itu.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata hasil siasatan mendapati syarikat itu beroperasi secara haram selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membatalkan lesen mereka dua bulan lalu.

Difahamkan syarikat jualan langsung itu hanya untuk mengabui orang ramai daripada kegiatan skim cepat kaya mereka jalankan.

Rohaimi berkata, polis turut memantau lokasi persembunyian dan pergerakan gadis berusia lewat 20-an dipercayai dalang utama kegiatan itu yang akan ditahan bila-bila masa.
“Kita akan menahan lebih ramai individu dipercayai terbabit dalam penipuan sindiket skim cepat kaya berkenaan berikutan semakin ramai mangsa tampil membuat laporan polis sejak kes itu dibongkar. Sehingga semalam, sudah enam laporan polis dibuat.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan skim pelaburan antara RM2,000 hingga RM41,000 dengan ahli disyaratkan mencari 10 ‘downline’ bagi mendapatkan pulangan modal, selain keuntungan lumayan setiap bulan.

Rohaimi berkata, serbuan ke atas syarikat jualan langsung itu dilakukan hasil maklumat upline penganjur skim cepat kaya berkenaan yang ditahan sebelum ini.

“Hanya pengurus besar syarikat dan keraninya berada di pejabat ketika serbuan dan memberi kerjasama penuh kepada polis untuk memeriksa segala dokumen, peralatan dan barangan diperlukan untuk membantu siasatan kes.

“Pengurus besar itu kemudian dibawa ke ibu pejabat JSJK, Bukit Perdana untuk disoal siasat dan proses dokumentasi. Beliau dipercayai mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu, termasuk membantu kita mengenal pasti jaringan operasi dan modus operandi mereka,” katanya.

Tidak sampai setengah jam serbuan dilakukan, premis berkenaan dikerumuni sekumpulan 20 hingga 30 pelabur yang cuba mendapatkan penjelasan daripada pengurusan syarikat mengenai status pelaburan mereka.

Suasana yang pada mulanya sedikit kecoh berjaya dikawal tanpa berlaku sebarang kekerasan, malah kumpulan berkenaan beredar selepas diminta berbuat demikian oleh anggota polis bertugas.

Rohaimi berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan syarikat itu mempunyai cawangan lain di seluruh negara berikutan ahli mereka yang ramai, selain membabitkan jumlah pelaburan besar dikendalikan mereka yang dikatakan mencecah jutaan Ringgit.

Sementara itu, 43 daripada 59 individu yang ditahan dalam serbuan di empat kafe di Bandar Sunway, 27 Julai lalu dibebaskan semalam, manakala 16 lagi dilanjutkan tempoh tahanan reman mereka sehingga Isnin ini.

“Mereka yang masih direman adalah orang kanan dalang utama skim itu, khususnya bagi mempengaruhi ahli baru yang direkrut ‘downline’ mereka. Mereka ini tampil dengan kereta mewah, mengenakan pakaian jenama mahal dan bergaya seperti ahli perniagaan berjaya semata-mata untuk memperdayakan mangsa supaya melabur dalam skim itu,” katanya.

Jaja kismis

KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan pelajar sekolah agama menjaja kismis untuk menampung yuran pengajian dan asrama dikesan masih aktif di beberapa lokasi di ibu negara dan Lembah Klang terutama sekitar Jalan Raja Laut, Masjid Negara dan Shah Alam.

JAJA...antara pelajar sekolah agama yang menjaja kismis di ibu kota.
JAJA...antara pelajar sekolah agama yang menjaja kismis di ibu kota.
JUAL...seorang pelajar sekolah agama menjaja kismis di ibu kota.
JUAL...seorang pelajar sekolah agama menjaja kismis di ibu kota.
Mereka yang dipercayai pelajar sekolah agama persendirian berpusat di Rawang dan Johor itu melakukan kegiatan itu pada hujung minggu di lokasi strategik.


Tinjauan Metroplus di Jalan Raja Laut dan Masjid Negara mendapati lebih 10 remaja belasan tahun memegang kotak kismis sambil memujuk orang ramai membeli jualan mereka.


Seorang pelajar sekolah agama berusia 14 tahun yang enggan namanya didedahkan memberitahu dia melakukan kerja itu secara sukarela, bukan dipaksa guru atau individu lain.


Katanya, dia tidak pernah meminta sedekah, tetapi melakukan kerja halal untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup apabila bapanya yang bekerja di kilang ais di Pahang dan hanya memberinya RM10 sebulan.


“Saya perlu bekerja dan berdikari mencari wang alternatif bagi membayar yuran sekolah RM150 sebulan selain membeli keperluan harian lain kerana ayah perlu menyara ibu dan enam adik-beradik lain.


“Saya menjual kismis pada hujung minggu dengan memperoleh bekalan dari sekolah dan akan memberi separuh hasil jualan kepada sekolah bagi membaik pulih kelengkapan serta separuh lagi disimpan untuk belanja harian,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Laut di sini, baru-baru ini.


Seorang lagi pelajar yang ditemui, berkata dia menaiki komuter dari Rawang dan mencari kawasan sesuai menjual kismis.


“Saya melakukan kegiatan ini sejak setahun lalu secara sukarela kerana mahu menghabiskan masa lapang dengan aktiviti berfaedah.


“Kami akan keluar pada hujung minggu dari jam 10 pagi dan akan pulang jam 6 petang selepas semua kismis habis dijual,” katanya.


Rakannya berusia 13 tahun pula berkata, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan oleh pihak sekolah dan akan ditempatkan di kawasan strategik bagi menjual kismis.Katanya, dia memperoleh pendapatan kira-kira RM50 hingga RM100 sehari untuk membolehkannya berdikari tanpa meminta wang daripada keluarga.


Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noormah Datuk Abd Rauf, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius kegiatan berkenaan kerana ada pihak yang cuba menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk kepentingan diri.


Katanya, mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan kerana mempergunakan kanak-kanak untuk mencari wang yang menyalahi Akta Kanak-kanak 2001.


“Kami akan membuat pemantauan bagi menangani masalah itu dengan memberi nasihat kepada ibu bapa atau penjaga, sekiranya mereka masih menggunakan kanak-kanak untuk tujuan itu kami akan mengambil tindakan sewajarnya.“Sepatutnya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mengambil berat dan menjaga mereka bukan menggunakan mereka untuk mendapatkan wang,” katanya ketika dihubungi.

"Natasha Tidak Boleh Menyanyi, Bukan Dibuang" - KC Ismail

Natasha Hudson

EKORAN didakwa tidak profesional oleh Natasha Hudson, Ketua Unit Muzik syarikat rakaman Alibi Music, KC Ismail terpanggil untuk membuat kenyataan balas bagi menjawab segala persoalan yang timbul.

Menurutnya, pengunduran penyanyi dan pelakon itu dari syarikat rakaman tersebut merupakan persetujuan kedua-dua pihak.

Malah Alibi Music sendiri tidak pernah membuang mana-mana artis melainkan artis itu sendiri yang memohon untuk mengundurkan diri. Begitu juga dengan segala masalah yang timbul diselesaikan melalui rundingan bersama.

Natasha atau lebih mesra dengan panggilan Tasha telah menandatangani kontrak bersama Alibi Music pada 10 Disember 2009 selepas diperkenalkan oleh Cat Farish.

“Semasa malam Konsert Alibi Kosmik pada 15 Januari lalu di Wisma Bentley, Mutiara Damansara, persembahan Tasha mendapat kritikan daripada pihak media dan pihak kami terus mencadangkan agar Tasha mengambil kelas vokal bagi memantapkan mutu vokalnya.

“Namun, Tasha sering sibuk dan tidak dapat menghadiri kelas vokal sehingga dia menerima kritikan demi kritikan selepas membuat persembahan pada 6 Mei lalu di No Black Tie.

“Dari situ, kami berpendapat dia belum bersedia untuk menjadi seorang penyanyi, banyak yang perlu dipelajari. Kami khuatir jika single dia ke udara di radio, tahap kualitinya masih sama. Kami mahu dia betul-betul bersedia untuk bergelar penyanyi,” jelas KC Ismail dalam satu kenyataan akhbar kepada mStar Online, Jumaat.

Bukan sahaja isu tersebut, Tasha sekali lagi menerima tamparan apabila lagu yang dipilih pihak syarikat itu sebagai singlenya didakwa diciplak daripada orang lain.

Justeru, mereka mencari single baru dan hasil persetujuan, lagu ciptaan Cat Farish dipilih untuk menggantikan lagu tersebut.

“Walaubagaimanapun, setelah selesai rakaman dibuat, Cat mendapati Tasha sukar untuk menyanyikan lagu tersebut dengan baik dan memerlukan latihan vokal bagi melancarkan proses rakaman.

“Akhirnya, setelah perbincangan dibuat, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengambil lagu ciptaan Aqasha sebagai single terbarunya. Lagu itu adalah lagu duet Tasha bersama Aqasha.

“Sekali lagi, Cat sebagai Artis & Repertoire (A&R) Alibi Music diberi tanggungjawab untuk memastikan lagu itu siap dirakam sepenuhnya,” beritahu KC Ismail.

Tambahnya, masalah lain pula yang timbul apabila lagu itu gagal disiapkan oleh Cat setelah beberapa minggu diberikan.

Selepas situ kata KC, timbul satu isu di mana Tasha telah menyalahkan Alibi sendiri kerana gagal mengeluarkan sebarang lagu baru untuknya.

“Tasha menyifatkan kami telah gagal menunaikan janji dan tidak bersungguh-sungguh untuk menghasilkan single terbarunya.

“Segala usaha dan rundingan telah menemui jalan buntu, akhirnya sebagai penyelesaian Tasha mengambil keputusan keluar daripada Alibi Music dan pihak kami juga telah bersetuju untuk melepaskannya secara baik," katanya.

KC Ismail berharap penjelasan itu dapat memberikan gambaran jelas tentang isu yang berbangkit sebelum ini.

Memey Teruja Jadi "Gila"

Memey(kiri) bergandingan dengan Norman dalam telefilem Ghia.

PELAKON Memey Suhaiza berasa teruja apabila berpeluang untuk membawa watak perempuan yang terencat akal dalam telefilem Ghia yang bakal ditayangkan di RTM.

Memey mengakui ia memang satu cabaran yang besar kerana dia tidak pernah membawa watak sedemikian.

"Watak itu berada di luar karakter-karakter yang pernah saya bawa sebelum ini," katanya kepada MStar Online.

Lebih mengujakan, kata Memey, dia dapat berlakon bersama barisan pelakon yang hebat seperti Roslan Mat Arif, Dynas Mokhtar dan Fizo Omar.

Telefilem tersebut turut menggandingkan Memey dengan kekasihnya, Norman Hakim.

"Dapat bergandingan dengan mereka adalah satu pelajaran yang baru juga. Oleh itu, saya dah rasa tak sabar nak menontonnya dan bagaimana reaksi para penonton kelak," jelasnya.

Telefilem Ghia berkisah mengenai satu cerita kampung bertemakan kekeluargaan. Ghia adalah perempuan berusia 20 tahun yang terencat akal.

Maka gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor yang pernah membintangi drama antaranya Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada dan Jaringan, Karipap Istimewa itu akan menonjolkan karakter kebudak-budakan, bodoh dan lembap.

Kata Memey, watak Ghia yang dipegangnya menunjukkan dia mempunyai fizikal yang sempurna tetapi macam budak-budak.

"Adik-beradik saya tidak menyukai saya. Mereka semua sempurna sedangkan saya terencat akal. Oleh itu mereka tidak ingin memanjakan saya supaya saya boleh berdikari.

"Abang Norman yang merupakan abang ipar saya dalam cerita ini berasa kasihan kepada," katanya.

Muhammad Asyraf Juara Imam Muda Musim Pertama

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dinobatkan sebagai Juara Imam Muda edisi pertama.

KUALA LUMPUR: Kemuncak Imam Muda Khamis malam yang diadakan di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berakhir dengan kemenangan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26.

Peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27. Juara sulung Imam Muda itu menerima biasiswa pakej pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah.

Beliau juga ditawarkan jawatan Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta Proton Exora.

Bukan itu sahaja, Asyraf juga membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Di samping itu dia turut mendapat pakej menunaikan haji dan umrah serta pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, perabot jati bernilai RM10,000 dan pakej SPA Maghribi.

Asyraf melahirkan rasa terharu kerana terpilih sebagai juara rancangan itu untuk musim pertama.

"Saya berasa gembira bukan disebabkan saya dinobatkan sebagai juara. Namun saya lebih gembira kerana program ini dapat ditonton oleh umat Islam di seluruh dunia.

"Sasaran kemenangan ini bukan sahaja dinilai pada kejayaan individu itu, tetapi kejayaan kepada seluruh masyarakat dan Islam itu sendiri.

"Pada masa yang sama, kami sepuluh orang sebenarnya takut jika program ini telah memecah tradisi tetapi pesertanya tidak menunjukkan apa-apa kualiti.

"Insya-Allah kami akan cuba memberikan tunjuk ajar kepada masyarakat dengan sokongan yang ada," kata graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur ini.

Bagi Hizbur, graduan Syariah Islam Universiti Al-Azhar yang berkhidmat sebagai guru tahfiz menerima kekalahannya malam ini dengan hati yang terbuka.

"Saya berasa bangga kerana program ini berjaya dengan lancar. Mungkin ada kekurangan dan kecacatan sebab kami tidak mempunyai contoh kerana kami generasi yang pertama (Imam Muda).

"Insya-Allah, kami akan menubuhkan kelas agama dan kelab untuk remaja," kata Hizbur.

Pemenang tempat kedua itu membawa pulang hadiah berupa biasiswa Pakej Emas, pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah, pakej menunaikan umrah dan pakej percutian ke Bandung selama 4 hari, 3 malam, perabot jati bernilai RM7,000 serta pakej SPA Maghribi.

Dia turut menerima sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, wang tunai RM15,000 trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Yayasan Antarabangsa Al Madinah turut berbesar hati menawarkan hadiah saguhati kepada lapan peserta lain, berupa biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah, pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam, pakej SPA Maghribi, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Sistem pemarkahan dikira berdasarkan ujian teori sebanyak 50 peratus dan praktikal masing-masing 20 peratus, manakala 30 peratus markah lagi ditentukan pada pusingan kemuncak.

Juri dan mudir yang mengadili program akhir malam terdiri daripada Pengetua rancangan itu, Datuk Hassan Mahmood serta dua tenaga pengajar, Ustaz Shahrizan Daud, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang. Ia dihoskan Ustaz Dzulkarnain Hamzah.

Tidak seperti program realiti lain, format Imam Muda berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.

Program siri pencarian pertama berunsur Islam ini tidak terikat dengan undian bebas khidmat pesanan ringkas (SMS). Peserta yang tersingkir masih mengikuti pengajian imam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Antara ujian dan cabaran yang dilalui oleh 10 peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri bermasalah.

Sepanjang ia berlangsung, program ini mendapat liputan media luar negara termasuk BBC World, CNN, Al-Jazeera, Reuters, majalah Der Spiegel Magazine dari Jerman dan akhbar International Herald Tribune, New York. Kesemua wakil media berkenaan turut hadir ketika rakaman program berlangsung dan mereka memberi reaksi positif terhadap keindahan agama Islam yang ditampilkan melalui program itu.

Turut hadir dalam ada kemuncak itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Rancangan itu dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis.

Lash Mokhtar Terima 'Lamaran' Alex Komang

Lash Mokhtar mahu mencuba nasib di Indonesia.

BUKAN merajuk dengan industri seni, sebaliknya aktor muda tempatan, Lash Mokhtar mahu mencuba nasib di negara seberang, Indonesia pada awal tahun depan.

Biarpun namanya belum dikenali ramai di negara sendiri, namun Lash atau nama sebenarnya Ahmed Lashery Mokhtar, 25, mempunyai tujuan tersendiri untuk terbang ke negara itu.

Lebih-lebih lagi, Lash mempunyai kenalan dari sana seperti aktor terkenal Alex Komang dan aktres Rahayu Saraswati yang mengalu-alukan kedatangannya.

“Insya-Allah, jika tiada aral, saya akan ke Indonesia pada awal tahun depan sebab keturunan keluarga saya berasal dari sana, jadi saya nak kenal dan dekat dengan tempat asalo usul.

“Jika Datuk Michelle Yeoh boleh mencipta nama di Tanah Besar China dan Ashraf Sinclair di Indonesia, kenapa tidak saya juga mengikut jejak langkah mereka,” katanya yang mempunyai saudara dari Jawa sebelah bapanya, Mokhtar Abdullah, 55, manakala ibunya, Hamidah Mohd Yusof, 51, dari Sumatera.

Dalam serius, dia juga sebenarnya seorang yang pandai berjenaka dan kadangkala menjadi pemalu.

Malah, Lash berkata bapanya sendiri yang menggalakkan dia mencari peluang kerja di negara tersebut. Dia juga nekad ke sana setelah jatuh cinta dengan karya tulisan Andrea Hirata berjudul Laskar Pelangi.

Menurut perkiraannya, mungkin dia akan menetap untuk beberapa tahun di sana dan sekali-sekala pulang ke sini.

“Saya bukan sahaja mahu bekerja di sana tetapi juga belajar dengan lebih mendalam dalam dunia lakonan, penulisan skrip dan novel.

“Saya akan berhenti bekerja di sana dan balik selepas cukup duit untuk menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perfileman di Los Angeles,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Seawal kemunculan Lash dalam dunia lakonan kira-kira tiga tahun lalu, dia hanya melakonkan watak kecil menerusi filem Kami The Movie dan drama bersiri Goda.

Seterusnya, dia turut menunjukkan kebolehan berlakon watak pemuda kampung melalui telefilem Cinta Lima Bintang, drama bersiri Sepuluh dan drama bersiri Apa Dosaku.

Terbaru, dia menggalas watak utama dalam telefilem Wira Waja dan tidak kurang berlakon dalam filem Hanyut, yang baginya filem itu bertaraf Hollywood serta drama bersiri 8 Bulan yang baru disiarkan di TV3. Dia juga dipanggil berlakon sitkom komedi bersiri Phua Chu Kang Sdn Bhd.

Sebelum itu, graduan Komunikasi Media dari Kolej KDU itu pernah menjalani latihan di sebuah produksi kelolaan Astro. Selain itu, dia juga pernah bekerja di belakang tabir dan berlakon watak sampingan di bawah pengarah Erma Fatima.

Walaupun berwajah serius, namun anak muda berasal dari Petaling Jaya itu sebenarnya seorang yang suka berjenaka dan kadangkala pemalu.

Dalam rancak berbual, anak kepada jurutera itu bercita-cita untuk mencapai kejayaan seperti mentornya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Setakat ini, dia hanya bergelar pelakon sepenuh masa dan turut berjinak-jinak dalam penulisan skrip.

Lindsay Lohan Tidur Tanpa Bantal Di Penjara

AKTRES Lindsay Lohan (gambar) dikhabarkan mendapat layanan istimewa selama berada di penjara Lynwood, California.

Namun ibunya, Dina Lohan, menafikan dakwaan itu dan memaklumkan anaknya tidur tanpa bantal.

"Dia tidak mendapat keistimewaan untuk membawa telepon bimbit. Bahkan dia juga tidak ada bantal untuk tidur," ujar Dina kepada Radaronline, Jumaat.

Wanita berusia 47 tahun itu menambah, ketika mengunjungi puterinya di penjara, dia tidak dibenarkan menyentuh Lindsay. Tegas Dina lagi, anak perempuannya juga diperlakukan seperti tahanan lain.

"Saya menemuinya melalui dinding kaca. Tidak ada telefon. Saya juga tidak boleh memeluknya. Dia diperlakukan seperti seorang penjahat," tambah Dina.

Lindsay mungkin dibebaskan pada awal Ogos ini.