Sunday, March 7, 2010

Putih,bersih, segar




PUTIH bersih, segar dan cantik. Rizalman Sposa tersergam indah di tengah-tengah kesibukan kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Studio dan juga rumah pereka busana terkenal, Rizalman Ibrahim ini mencurahkan idea baru.

Bersalut rona putih bersih, dari luar impak konsep hiasan yang menonjolkan adalah moden dan bersih seperti berada di Paris.

Keunikan nama Sposa meninggalkan kenangan indah buat Rizalman.

Perjalanannya ke kota Paris mencatat sejarah tersendiri. Bukan hanya jatuh cinta dengan keindahan Paris, Rizalman tertarik dengan keunikan seni bina bangunan lama di Paris. Ketika di Paris, keindahan deretan butik mewah Place Vendome ternyata menyuntik semangat baru. Persekitaran Paris memberi inspirasi kepada Rizalman mewujudkan Rizalman Sposa. Saat melintas di Rue de Cambon, Rizalman sempat mengintai ruang kerja Karl Lagerfeld. Terlintas di fikirannya, ingin membawa Paris dirinya dirangsang inspirasi dan dia mahu membawa Paris ke butiknya sendiri.

Impian itu direalisasikan di bangunan tiga tingkat miliknya sendiri. Rizalman memberitahu, Sposa dalam bahasa Itali bermaksud pengantin.

Memilih konsep putih, Rizalman merasakan warna kegemarannya itu sentiasa memberi inspirasi baru setiap rekaannya.

Setiap ruang mendapat sentuhan hasil idea Rizalman sendiri. Tingkat teratas menempatkan bengkel kerja dan pejabat, aras kedua menjadi rumah pengantin dan paling bawah untuk himpunan koleksi rekaannya.

Menceritakan pengalamannya, pengubahsuaian Rizalman Sposa mengambil masa yang agak lama. Bahagian depan bangunan dibuat tembok memisahkan pintu masuk utama dan pintu kecil ke aras satu dan dua.

Menariknya setiap ruang pasti dihiasi dengan sofa putih. Jelas kelihatan konsep putih yang dipilih menjadikan ruang lebih selesa. Sementara itu, hiasan cermin menjadikan sudut tertentu lebih luas dan besar. Tidak ketinggalan, Rizalman memilih hiasan lampu candeliar tembaga. Mata pasti tertumpu pada cermin besar berukir bersepuh rona emas. Keindahan ukiran lama dan mewah ini ternyata menyerlahkan dekorasi Rizalman Sposa.

Di meja bulat untuk pelanggan minum teh sambil menunggu dia melakar rekaan atau selepas membuat mencuba busana, pelanggan pasti tenang dengan hiasan pasu dan lilin. Di tingkat dua, susunan ala hiasan Paris melengkapkan kediaman indah Rizalman. Pilihan langsir putih, cermin besar, kerusi bertangan dengan cermin berukir yang bakal membuatkan pelanggan tidak jemu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: