Sunday, March 7, 2010

Enaknya ubi rebus, lempeng Chamek


Orang ramai menjamu selera di Restoran Chamek Kopitiam di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.


ENTAH mengapa, tiba-tiba sahaja timbul keinginan menjamah ubi kayu rebus dan lempeng. Tanpa berlengah, penulis terus mencari juadah itu di sekitar Johor Bahru namun hampa.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, seorang rakan mencadangkan agar ke Kopitiam Chamek yang terletak di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

Sebaik melangkah masuk, suasana terasa santai melihat gambar pemandangan Chamek iaitu nama kampung yang terletak di Paloh menghiasi dinding kopitiam itu.

Meja dan kerusinya pula semuanya diperbuat daripada kayu yang kelihatan antik dan indah seni buatannya.

Beralih kepada menunya, apa yang dihidangkan memang di luar jangkaan dan persembahan dua juadah itu pasti membuka selera sesiapa sahaja yang memandangnya.

Cukup hanya sepinggan kecil ubi kayu rebus dan lempeng panas yang dicicah dengan sambal tumis dan ikan kering masin.

Dilengkapkan pula dengan secangkir kopi panas pekat, apa lagi yang perlu diperkatakan sehingga menu lain seolah-olah tidak lagi menjadi tumpuan.

Harganya juga berpatutan apabila setiap juadah itu cuma RM2.50 dan jurugambar Raja Jaafar Ali tampak berselera menjamah menu yang disajikan.

Memang sedap dan cukup menyelerakan hingga tidak sedar waktu berlalu pantas dan pinggan kami licin di atas meja.

Sebenarnya, bukan sahaja ubi kayu rebus dan lempeng yang terdapat di Kopitiam Chamek.

Pelengkap hidangan, terdapat aneka jenis minuman termasuk bacau iaitu bandung cincau bersoda dan kopi kampung yang dikisar.

Menurut Pengarah Urusannya, Shahren Sadli, terdapat 20 menu lain yang turut menjadi pilihan pelanggan antaranya roti Pattaya, roti bakar rangup, mi kari Melayu, nasi goreng nanas dan set makan tengah hari asam pedas ikan pari.

"Kami mahu memberi perkhidmatan yang terbaik dan mampu memenuhi selera pelanggan yang datang menjamu di Kopitiam Chamek.

"Waktu puncak iaitu tengah hari merupakan masa yang cukup sibuk apabila pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum dan mereka yang bekerja di sekitar Pasir Gudang," katanya.

Shahren memberitahu, Kopitiam Chamek amat mementingkan kualiti makanan. Sebuah syarikat konsultan chef yang terdiri daripada tukang masak berpengalaman luas dan bertanggungjawab dalam menyediakan menu harian melengkapi penampilan kopitiam itu.

Mengulas perancangan lanjut, anak muda lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Sains Malaysia itu berkata, sebagai tambah nilai, sebanyak 13 menu makanan Barat akan diperkenalkan mulai bulan depan.

"Pengenalan menu baru ini merupakan usaha kami menjadi peneraju dalam perniagaan kopitiam di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan memiliki sebanyak 15 cawangan lagi.

"Malah, keyakinan kami amat tinggi kerana menjadi pengusaha tunggal kopitiam milik penuh bumiputera yang menjalankan operasi secara halal dan tidak mengundang keraguan kepada masyarakat Islam," katanya.

Bagi yang ingin mencuba, Kopitiam Chamek dibuka dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Selain Pasir Gudang, kopitiam itu turut memiliki cawangan di Bandar Baru Uda, Bandar Seri Alam, Setia Tropika dan Pelabuhan Johor, semuanya terletak di Johor selain Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: