Wednesday, January 6, 2010

Uniknya Suatu Ketika... Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata

Astro Prima dan Astro Citra akan memulakan demam badminton dengan memperkenalkan satu siri baru iaitu Suatu Ketika... Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata. Siri baru ini merupakan drama pendek yang mempunyai lapan bahagian akan merungkai perjalanan dua sahabat yang berkongsi minat yang sama iaitu sukan badminton.

Suatu Ketika... Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata mendapat inspirasi daripada kejayaan anak-anak Haji Sidek dalam mengukir nama di arena badminton antarabangsa akan menyusuri perjalanan Isa dan Musa yang bekerja keras untuk mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia dalam pentas Piala Thomas. Siri drama pendek ini akan menumpukan kepada komitmen, dedikasi, tekad dan keazaman mereka untuk menang.

Mendapat sentuhan Joyce Lee sebagai pengarah dan diterbitkan oleh JS Foo ini membariskan dua pelakon muda yang hebat iaitu Zahiril Adzim dan Azma Aizal Yusoof yang memegang watak Isa dan Musa.

Serentak dengan tayangan Suatu Ketika... Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata, Astro Prima turut membawakan dokumentari yang menumpukan kepada perjuangan pemain-pemain Malaysia dalam Piala Thomas 1992 sejak memenangi piala rebutan itu 25 tahun dahulu.

Siri ini juga bertujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan badminton Malaysia dan memberi inspirasi kepada pemain-pemain badminton negara sekarang untuk memberikan yang terbaik pada kejohanan Piala Thomas yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini.

Dokumentari ini juga akan menunjukkan bagaimana kejayaan anak-anak Haji Sidek iaitu Rashid Sidek, Razif Sidek dan Jailani Sidek bersama-sama Cheah Soon Kit, Yap Kim Hock, dan Foo Kok Keong berjuang sebagai satu pasukan untuk sampai ke pusingan akhir dan menewaskan pemain handalan Indonesia untuk memenangi Piala Thomas pada tahun 1992.

Ia juga memberi penghargaan kepada Allahyarham Haji Sidek Akhmar, yang telah melatih anak-anaknya sejak kecil untuk menjadi pemain terbaik negara dan muncul sebagai juara badminton dunia.

Suatu Ketika... merupakan kempen program bersama antara Astro Citra (Saluran 131) dan Astro Prima (Saluran 105). Versi dokumentari ke udara menerusi Astro Prima manakala versi drama ditayangkan melalui Astro Citra. Ia mula menemui penonton pada malam ini jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: