Wednesday, January 6, 2010

“Tolong jangan ganggu orang tua saya” - Akim

Memandangkan artis realiti ini memiliki pakej yang lengkap, berbakat dan juga kacak, maka tidak hairan dia sering menjadi buruan peminat fanatik di luar sana. Bagi Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, dia tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnamun apa yang dikesalinya, bila orang tuanya pula diheret sama dalam situasi itu.

“Saya tak kisah walaupun sering diganggu peminat yang fanatik kerana mereka sebenarnya sangat menghargai saya. Walaupun ada yang hubungi saya sehingga lewat pagi, saya tak pernah marah dan saya cuba melayani mereka dengan sebaik mungkin.

“Tapi apa yang membuatkan saya kesal, ada juga yang sanggup ganggu orang tua saya. Jam 5 pagi pun mereka telefon ibu dan ayah saya semata-mata nak tanya tentang saya. Saya tak kisah kalau mereka ganggu saya, tapi tolonglah janganlah ganggu orang tua saya,” pinta Akim yang ditemui ketika pelancaran album ‘Era Muzik Hits Terkini’ di The Curve, Damansara, kelmarin.

Persiapan rapi untuk AJL

Meskipun hanya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh lalu, namun populariti dan karier seni anak muda yang baru berusia 19 tahun ini semakin menyerlah.

Selain hits dengan singlenya, Bengang, Akim juga berjaya melayakkan dirinya ke Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24) yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.

“Saya bersyukur kerana saya diterima baik dalam industri ini. Tetapi saya risau juga, sebab orang kata, kalau cepat sangat naik, nanti cepat pula jatuh.

“Saya popular bukan kerana diri saya, tetapi kerana peminat. Mereka bukan sahaja minat dengan saya, tetapi lebih menyokong karier saya, ” katanya yang mendapat sokongan sepenuhnya dari kelab peminatnya, Gafim (Gerakan Penyokong Afiq Akim).

Mengulas tentang persiapannya sempena AJl nanti, kata Akim dia kini sedang membuat latihan dari segi persembahan dan juga vokalnya.

“Saya tak sangka lagu ini boleh pergi sampai final dan ini merupakan satu cabaran buat artis baru seperti saya. Insya-Allah saya akan cuba buat persembahan yang terbaik pada malam itu nanti,” kata Akim yang menganggap Tomok, Bunkface dan Faizal Tahir sebagai saingan terdekatnya pada malam itu.

Dalam perkembangan lain, Akim memberitahu, dia kini juga dalam proses menyiapkan single terbarunya, Inilah Cinta, yang merupakan hasil ciptaannya sendirinya. Kemungkinan singlenya itu akan dilancarkan Februari ini.

1 comment:

  1. akim nie bekas jiran kau budak johor jaya.ingat tak

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: