![]() |
| Erra Fazira |
SEBELUM ini banyak orang kata stesen televisyen mempunyai kuasa besar terhadap artis. Buktinya tidak ada artis yang berani melontarkan pandangan, komen, kritik atau apa saja yang sama maksud dengannya. Kalau buat, alamat pendeklah hayat kariernya.
Maka stesen televisyen pun bermarajalela macam tuan tanah atau anak-anak demang dalam filem-filem purba. Orang lain semua menikus sebab tak nak kena gam.
Tapi lain pula dengan pelakon hebat Erra Fazira. Beberapa teman Siti bagi tau Erra melontarkan kritiknya terhadap program Terjah di TV3 menerusi Facebook dia. Apabila Siti baca kritik dia, Siti setuju sangat dengan Erra tapi malangnya artis lain banyak yang menikus.
Terjah yang dulunya segmen saja dalam Melodi kini dah jadi sebuah program yang kerjanya menerjah artis-artis kontroversi. Dalam terjah itu dan ini adalah yang terkeluar dari adab susila. Ada yang memalukan apabila program ini seolah-olah menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman.
Siti yang tak minat adegan terjah menerjah ini tak tau sangat isi kandungannya. Lagi pun Siti banyak kerja nak buat daripada nak habiskan masa melihat pendedahan yang buruk tentang orang lain.
Erra yang menulis secara sangat santai dan penuh humor mempersoalkan, tidakkah program itu menjatuhkan air muka artis kita? Bagi Siti satu persoalan yang sangat bernas. Tulis Erra, “Tau malulah aibkan dan jatuhkan air muka sesama manusia.”
Peranan stesen televisyen bukan seperti majalah hiburan. Stesen televisyen mesti membina bangsa dan negara. Siti percaya program yang hanya menjatuhkan air muka orang tidak boleh membina manusia.
Erra telah menjalankan tanggungjawabnya menegur stesen televisyen yang berpengaruh. Artis lain bagaimana pula? Takkan duduk diam saja walaupun awak, kawan-kawan awak, mak bapa awak dan semua yang berkaitan dengan awak dimalukan? Atau lebih banyak artis kita yang suka buka aib diri sendiri untuk popular maka mereka pun diamlah bila diterjah?
Siti tak pernah anggap wartawan mempunyai kuasa mutlak. Maka kalau ada yang nak kritik, Siti alu-alukan dan pasti mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan. Artis kita kena berani, kalau rasa teraniaya, jangan diam tapi bersuaralah. Takkan takut tak masuk Juara Lagu terus tak berani nak kritik apa-apa?
SITI JARUM: Nak terjah? Cubalah.
Malangnya Idola Kecil
Baru-baru ini diadakan pertandingan akhir Idola Kecil dan yang menang bukan main gembira lagi. Mak ayah lagi gembira. Cuma Siti saja yang tak berapa nak gembira kerana mengenangkan masa depan adik-adik kita.
Umur begitu seeloknya tak payahlah nak menyanyi. Siti percaya peluang untuk belajar hanya datang sekali tetapi peluang untuk menyanyi dan jadi penyanyi datang berkali-kali. Maka rebut dan isilah peluang untuk belajar, bukan menyanyi.
Adik-adik kecil itu memang tak tau apa-apa tentang masa depan mereka. Kita yang dah dewasa kena bentuk laluan untuk mereka. Kalau bentuk laluan jadi artis, akan jadi artislah nanti. Bukan tak elok jadi artis tapi lebih elok kalau jadi artis selepas ada sedikit ilmu.
Siti fikir inilah fenomena malang yang melanda orang Melayu. Semuanya nak jadi artis, nak berhibur. Orang lain tak macam orang Melayu, mereka sibuk kejar ilmu orang Melayu bergelut nak jadi artis. Idola Kecil juga menyumbang kepada fenomena malang bagi orang Melayu.
Siti sedih tapi orang Melayu lain tak fikir langsung kesedihan Siti. Maka tak hairanlah kalau ada anak yang masuk pertandingan, mak ayah yang tidur tak lena takut anaknya terlepas jadi juara. Artis yang sudah ada pun berlebihan, janganlah Idola Kecil nak tambah lagi.
Orang lain hantar anak belajar muzik, main piano jadi pemuzik profesional, orang Melayu hantar anak masuk pertandingan nyanyian. Kalau ada nasib meletuplah nama, sekolah pun entah ke mana. Tolonglah, orang Melayu dah teruk sangat ni, jangan ditambah lagi.
Cuba bagi tau Siti berapa banyak penyanyi kanak-kanak yang berjaya menjadi penyanyi bila dewasa? Siti boleh bagi berpuluh contoh penyanyi kanak-kanak yang popular tapi kecundang dalam pelajaran seterusnya dalam hidup.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: