PETALING JAYA: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya tidak pernah mendaftarkan perkahwinan terbarunya di Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand walaupun mendakwa bernikah di wilayah itu pada November lalu.
Sumber memberitahu, mengikut senarai pendaftaran perkahwinan yang ada, tidak ada nama pasangan terbabit yang dikatakan bernikah pada 25 November 2009 berdasarkan sijil yang dikeluarkan oleh pejabat agama Songkhla, Thailand bertarikh yang ditunjukkan kepada media oleh Sosilawati semalam.
"Berdasarkan senarai yang ada, tiada nama Sosilawati atau suaminya," kata sumber itu lagi kepada mStar Online di sini hari ini.
Semalam, Sosilawati bersama peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain pada satu sidang akhbar bagi membuktikan pernikahan bekas isteri penyanyi Nash itu dengan menunjukkan sijil pernikahan yang dikatakan dikeluarkan oleh pejabat agama wilayah terbabit.
Pada malam tahun baru lalu, usahawan wanita itu ditangkap berkhalwat dengan pasangannnya di kondominium Astana Damansara di sini.
Bagaimanapun, mereka menafikan ditangkap melakukan kesalahan itu kerana mendakwa telah bernikah di luar negara.
Mohd Zaidi berkata pihaknya sedang dalam proses mendaftarkan perkahwinan anak guam dan suaminya kerana perundangan membenarkan perkahwinan didaftarkan dalam tempoh enam bulan.
Pasangan terbabit sepatutnya ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam tetapi Sosilawati memberitahu bahawa dia tidak menerima sebarang notis untuk berbuat demikian.
Beliau dan pasangannya dikehendaki ke JAIS bagi membantu siasatan pengesahan perkahwinan mereka.
Malah Mohd. Zaidi menuduh JAIS sebagai gelojoh membuat tangkapan sehinggakan tiada sebarang notis mengarahkan anak guamnya membantu siasatan. Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, mana-mana pasangan yang bernikah di Songkhla diwajibkan mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Konsulat bagi mengelakkan didenda apabila pulang ke Malaysia untuk merekodkan perkahwinan.
"Pasangan diberi tempoh setahun untuk berbuat demikian selepas bernikah secara sah di wilayah itu dan jika tidak didaftarkan mereka akan didenda oleh pihak berkuasa agama di Malaysia," jelasnya lagi.
Mana-mana pasangan yang tidak mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan tidak semestinya mereka bernikah menggunakan sindiket atau berkahwin secara tidak sah.
"Ini kerana mereka ada tempoh yang panjang untuk mendaftar di Pejabat Konsulat, dan jika ada pasangan menggunakan sindiket atau bernikah secara tidak sah, pejabat konsulat akan dapat mengesannya," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: