SUDAH acapkali cerita negatif membabitkan artis wanita yang seorang ini diperkatakan orang dalam industri seni. Terbaru, rakan SS menceritakan pengalamannya ketika terbabit dalam satu siri televisyen dengan artis wanita ini tidak lama dulu.
Kata rakan SS, artis wanita ini bukan saja banyak kerenah, malah berlagak tidak tentu fasal di lokasi penggambaran drama. Boleh dikatakan, perilaku negatifnya sering menjadi buah mulut di kalangan kru produksi drama ketika itu.
Jika nak diikutkan, kata rakan SS, wataknya juga sekadar pelakon pembantu saja tapi lagaknya mengalahkan pelakon utama siri berkenaan. Sampai saja di lokasi, tanpa berlengah, dia akan meminta supaya mukanya disolek terlebih dulu sedangkan pelakon utama pun wajahnya masih belum siap disolek lagi. Tidak cukup dengan itu, kata rakan SS, artis wanita ini juga suka menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimilikinya pada rakan artis dan kru drama. Itu belum lagi mencanang cerita pasal kereta mewah yang dipandunya itu yang juga terbaru di pasaran? Malah, kalau datang ke lokasi drama, kata rakan SS, berderetlah beg tangan berjenama mewah yang berharga ribuan ringgit dipamerkan kepada orang untuk disesuaikan dengan baju yang dipakainya dalam drama itu.
Kata rakan SS lagi, dia hanya mampu menggeleng kepala melihat gelagat artis wanita itu. Apatah lagi, kata rakan SS, dia dapat tahu kemewahan yang dimiliki artis wanita itu juga bukan daripada hasil titik peluhnya sebagai anak seni, sebaliknya dengan menjadi perempuan simpanan VIP? Tambahnya lagi, artis lain pun pakai beg berjenama dan memandu kereta mewah juga tapi tak adalah hendak menunjuk pada orang.
SS harap, jika artis wanita itu terbaca ruangan ini, cepat-cepatlah dia buang sikap buruknya itu jika ingin terus bertahan dalam bidang seni. Jika dia berterusan dengan sikap buruknya itu, SS bimbang, orang takut untuk mengambilnya berlakon drama mereka selepas ini kerana tidak ingin melayan kerenahnya itu. Sekadar berwajah cantik dan bertubuh seksi pun tidak ada gunanya jika perangai buruk dan memberikan masalah pada orang. Pada pandangan SS, bagaimana mewah sekalipun cara hidupnya, tidak perlulah dia canang satu dunia. Lebih baiklah, dia ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: