Monday, January 25, 2010

Sinar pereka muda

Baik Hazwani Osman mahupun Siti Nur Syuhada Syaharani, industri fesyen dianggap sebagai bidang yang menuntut mereka terus menimba ilmu dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi.



NAMANYA saban tahun kian menjadi sebutan mereka yang begitu meminati hasil rekaan baju untuk kelihatan menawan. Hazwani Osman, 28, yang memiliki kira-kira 40 helai koleksi pakaian hasil sentuhannya belum lagi mampu untuk mendabik dada.

Ini kerana perjuangannya secara serius dalam seni reka fesyen selama tiga tahun, masih perlu dibimbing untuk menyaingi pereka-pereka tersohor yang lain.

Namun, disebabkan tidak mahu terlalu gelojoh mengejar populariti, dia yang lebih mesra dengan panggilan Wani mengambil pendekatan untuk terus belajar dan memantau perkembangan industri yang disertainya. Bagi Wani, pengetahuan mendahului segala-galanya.

"Meskipun saya sudah tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, ini tidak bermakna ilmu yang perlu dicari berhenti di situ sahaja. Sebaliknya, kini saya masih lagi sibuk mendapatkan ilmu tentang fesyen tetapi bukan menerusi pensyarah.

"Rujukan saya adalah majalah fesyen, bahan di Internet dan daripada para pereka hebat yang terlebih dahulu menempa nama di dalam bidang ini," ujarnya yang ditemui di butiknya di Jalan Dagang, Ampang baru-baru ini.


SYA sahut cabaran.

Walau menyedari dirinya dikurniakan bakat melukis sejak kecil, Wani dalam gelak kecil sebenarnya masih tidak menyangka dirinya mampu mengemudi perahu untuk menerjah cabaran gelombang dunia fesyen.

Hakikatnya, cinta awal anak kelahiran Taiping, Perak itu adalah pada dunia kulinari. Malah, ketika di tingkatan empat dan lima, Wani memilih aliran katering sebagai teras silibus pembelajarannya.

Secara tidak sengaja, apabila memulakan pengajian di UiTM, transformasi minat dalam cabaran rekaan baju telah memberi pukulan yang hebat kepadanya. Kreativiti dan idea semakin menyerlah dalam melakar dan menghasilkan fesyen wanita.

Lebih meluas

"Saya lebih minat mereka pakaian wanita. Ini kerana fesyen untuk gender ini lebih meluas berbanding dengan gaya yang ingin dipakaikan oleh lelaki. Skop fesyen lelaki tidak sehebat wanita," ulasnya jujur.

Bercakap mengenai konsep rekaan fesyen yang diminat, Wani menjelaskan, dia lebih gemar menghasilkan busana pengantin. Alasannya ialah rekaan itu amat bermakna lantaran disarungkan pada hari keraian istimewa dalam hidup seseorang.

Lagipun menurut Wani, untuk membuat rekaan baju pengantin tidaklah terlalu susah berbanding konsep fesyen lain. Ini kerana setiap kali menerima pelanggan, mereka sentiasa mahukan busana itu tidak kelihatan terlalu sarat tetapi menarik.

"Bagi saya, mereka busana pengantin adalah rekaan paling mudah kerana elemen yang diterapkan adalah sama sahaja, cuma perlu diubah sedikit untuk menampakkan kelainan.

"Bukan itu sahaja, kebanyakan kain baju pengantin memang sudah ada manik-manik atau kilauannya jadi itu yang memudahkan lagi kerja," katanya yang mula serius menghasilkan rekaan sendiri ketika berusia 25 tahun.


KEDUA-DUA pereka muda ini mempunyai selera konsep dan rekaan busana yang berbeza.

Di sebalik minatnya menghasilkan busana raja sehari, perkara yang sehingga kini sukar dipercayai oleh Wani apabila diberi tanggungjawab besar untuk menyiapkan sut tuksedo tiga tahun lalu.

Lebih mendebarkan lagi, sut yang direkanya itu digayakan oleh penyanyi popular, Mawi dan Diddy (AF4), sedangkan dia sebelum ini tidak pernah menghasilkan rekaan baju lelaki.

Namun apabila memikirkan permintaan itu sebagai batu loncatan untuknya mencipta nama, Wani berusaha gigih untuk merealisasikannya.

"Fesyen tuksedo memang ringkas dan kita tidak boleh pelbagaikan rekaannya. Tetapi untuk kelihatan glamor sesuai dengan majlis yang ingin dihadiri oleh artis tersebut, saya menitikberatkan pemilihan kain yang lebih kilauan.

"Di samping itu, butang yang digunakan juga bukannya biasa tetapi saya gunakan butang kristal. Jadi, sut tuksedo itu kelihatan lebih menawan," ungkapnya sambil menunjukkan beberapa lakaran fesyennya.

Cerewet

Rakan sealiran Wani, iaitu pereka muda Siti Nur Syuhada Syaharani, yang turut banyak menghasilkan sentuhan menakjubkan untuk pemakaian selebriti pula mempunyai konsep tersendiri.

Walaupun masih baru dalam dunia rekaan fesyen, gadis berusia 25 tahun itu akui dirinya amat cerewet dalam menyiapkan sesuatu yang diminta oleh pelanggan. Ini kerana dia yang lebih dikenali sebagai Sya merasakan tugas yang perlu dipikul itu terlalu besar.

Tambahan pula, rekaannya itu akan dipakaikan untuk tujuan pertunjukan pentas dan mendapat perhatian umum. Seperti biasa, kebanyakan pereka fesyen yang sudah selesai membincangkan konsep rekaan mereka akan menghantar rekaan masing-masing kepada tukang jahit terpilih.


SYAHARANI (kiri) dan Hazwani semakin bersedia menghadapi saingan dan rintangan industri fesyen yang mencabar.

Begitu juga rutin yang dilakukan oleh Sya tetapi dia membataskan dirinya untuk melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada tukang jahit.

Sebaliknya, bagi menyiapkan jahitan yang memerlukan kreativiti cukup mendalam, dia lebih bersedia untuk melakukannya sendiri.

Bukannya tidak mempercayai hasil jahitan orang lain, tetapi Sya akan berpuas hati kerana idea penyusunan fesyen kadang kala akan muncul secara tiba-tiba.

"Saya banyak menghasilkan fesyen yang menerapkan banyak elemen seni. Seni ini ia bermakna apa yang saya aplikasikan pada pakaian itu mestilah mempunyai daya kreativiti yang tinggi.

"Misalnya, saya boleh gunakan butang atau rantai yang sebelum ini orang pun jarang dijadikan aksesori pada pakaian," terangnya.

Rekaan diiktiraf

Dalam sebuah majlis anugerah hiburan tempatan tahun lalu, nama Sya disebut-sebut ramai. Penampilan pelakon terkenal Zizie Izzete yang memperagakan busana rekaannya telah menarik perhatian para juri terdiri daripada editor fesyen.

Dilihat menepati gaya dan berjaya memperindah sosok tubuh pemakainya, persalinan yang mengambil pendekatan konsep tenun itu telah diangkat sebagai Pakaian Wanita Terbaik dalam majlis itu.

Jelas Sya, pilihan warna tekstil untuk diserasikan dengan kulit cerah Zizie adalah biru tua kerana ia adalah warna yang sedang menjadi ikutan sekarang. Rekaannya juga tidak terlalu tradisional atau terlalu moden, tetapi mengekalkan ciri-ciri kemelayuan.

"Tenunan itu masih kekal dengan rekaan sopan tetapi ia praktikal," terangnya ringkas.


HAZWANI di samping selebriti remaja, Liyana Jasmay yang memperagakan pakaiannya dalam sebuah pertunjukan fesyen.

Bercerita pula mengenai cabaran yang harus ditelan oleh seorang pereka fesyen, Sya memberitahu, tempahan pada saat akhir sememangnya suatu cabaran. Dia juga mempunyai pengalaman sedemikian apabila diberikan tempoh selama tiga hari sahaja untuk menyiapkan sehelai persalinan.

Dia tidak 'melatah' dengan tempahan itu, sebaliknya menerima dengan tenang dan berusaha untuk memenuhi kemahuan pelanggannya. Pada masa yang sama, cabaran itu menjadi pengukur buat Sya untuk melihat sendiri sejauh mana kemampuannya dalam bidang itu.

"Masa tidak pernah cukup, hingga saya mengorbankan sedikit waktu tidur. Namun saya lega akhirnya. Tanpa meminta upahan bantuan tukang jahit, saya dapat menyiapkannya sendirian. Pelanggan itu juga berpuas hati," jelasnya yang semakin bersedia dengan cabaran industri ini pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: