Monday, January 25, 2010

Terapi tangan kaviar

Wajah boleh menyembunyikan usia anda tetapi tangan tidak. Bagaimanakah caviar menjaga tangan anda?


TANGAN juga anggota tubuh yang perlukan penjagaan sewajarnya selain kulit wajah.

PADA masa lapangnya, pelakon dan pengacara, Sari Yanti, 25, banyak menghabiskan masa di rumah. Selain membaca buku dan menonton televisyen Sari lebih gemar mengisi masa terluang dan menenangkan fikiran dengan berkebun.

Boleh dikatakan hampir segenap lamannya dihiasi dengan pokok-pokok menghijau. Menyedari pokok juga seperti manusia yang memerlukan makanan dan minuman, Sari tidak pernah mengambil sikap sambil lewa terhadap aspek penjagaan kesihatan pokok-pokok kesayangannya.


SARI YANTI tidak kekok melakukan kerja berkebun tanpa gusar tentang keadaan kulit tangannya.

Disebabkan itu Sari kerap memeriksa keadaan pokoknya agar bebas daripada serangan serangga perosak, selain melakukan kerja membaja, menyiram, menukar pasu, menggembur tanah dan mencantas.

Persoalannya, adakah dia tidak berasa gusar sekiranya tapak tangannya menjadi kasar dan mengalami kerosakan kuku?

"Benar, aktiviti berkebun boleh menyebabkan tangan menjadi kasar dan kuku pun mudah kotor. Namun itu bukan alasan yang boleh menghalang saya daripada melakukan aktiviti yang sihat.

"Terdapat pelbagai cara agar tangan kekal sihat dan cantik. Misalnya saya kerap menyarungkan sarung tangan khas untuk berkebun. Ia boleh menggelakkan kotoran dan kecederaan seperti tercucuk duri," terang pelakon Kisah Kaisara kepada Stailo.


PRODUK penjagaan tangan terkini diperkenalkan Datuk Sandra Lee.

Walaupun dilindungi dengan sarung tangan selesai berkebun, Sari akan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih. Seterusnya menyapu krim tangan untuk mengekalkan kelembapan dan kelembutan tangan.

Tidak ketinggalan sebulan sekali dia akan mengunjungi spa untuk mendapatkan khidmat rawatan kuku dan tangan. Tambah Sari: "Hakikatnya, saya lebih gemar membuat rawatan tangan di rumah. Lagipun tangan saya mudah dijaga kerana saya bukan individu yang obses mencalit pengilat kuku ataupun suka menyimpan kuku panjang."

Demikian pengakuan Sari Yanti mengenai rejim penjagaan tangannya. Tidak dinafikan, sebahagian wanita terlalu taksub dengan kecantikan wajah dan bentuk badan sehingga mengabaikan kecantikan serta kebersihan tangan. Sedangkan, tangan merupakan salah satu anggota badan yang perlu diberi keutamaan.

Menurut pemilik spa Angel, Farina Azman, 30, terdapat golongan wanita bersungguh-sungguh mencantikkan wajah dengan melakukan suntikan botox, pembedahan plastik dan mengambil pil vitamin tambahan.

Keghairahan mendapatkan kulit wajah yang licin dan tegang bertambah apabila proses kecantikan yang dipraktikkan membuahkan hasil.


PRODUK ini bakal menjadi teman setia setiap orang.

"Sebab itu ada kalanya kita boleh lihat wajah seseorang itu tampak muda, sedangkan usia mereka sudah pun menjangkau pertengahan usia. Namun malangnya, usia dan kesan penuaan yang cuba disorokkan terbongkar sebaik sahaja melihat kedua-dua belah tangan yang berkedut, kering dan kusam.

"Wajah boleh menyembunyikan usia, tetapi tangan pula adalah sebaliknya jika ia tidak mendapat penjagaan sewajarnya. Saranan saya, wanita jangan kedekut membelanjakan sejumlah wang untuk membeli rangkaian produk tangan berkualiti yang ditawarkan di pasaran," nasihat Farina sambil menunjukkan rawatan tangan kaviar (telur ikan) yang mudah dan menarik untuk dipraktikkan.

Telur ikan baik untuk awet muda dan melembutkan kulit tangan dalam tempoh berpanjangan.

Sementara itu Pengarah dan Pengawal Jenama Crabtree & Evelyn Sdn.Bhd., Datuk Sandra Lee memberitahu, mereka yang tidak berkesempatan melakukan rawatan tangan di spa agar jangan gusar. Terdapat koleksi terapi dan kecantikan tangan yang dapat membantu wanita mencantikkan tangan di rumah.

Terbaru, Crabtree & Evelyn memperkenalkan set lengkap penjagaan tangan yang terdiri daripada skrab, pencuci dan pelembap. Produk yang diperbuat daripada bunga-bungaan dan buah-buahan itu mampu memberi kelegaan tangan yang letih dan haruman berkekalan.

"Ketika menggunakan skrab, sental tangan supaya kotoran dan daki dapat ditanggalkan manakala urut tangan dengan lembut ketika mengaplikasikan krim pelembap. Mudah bukan. Amalkan setiap pagi dan malam.

"Bagi individu yang memiliki kulit kering simpan krim pelembap di dalam tas tangan supaya anda boleh menyapunya tidak kira masa dan di mana jua," ujar Sandra ketika ditemui pada majlis pelancaran produk tangan jenama tersebut.



No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: