Saturday, January 16, 2010

Setem khas ulang tahun ke-50 Bank Negara

KUALA LUMPUR - Peminat dan pengumpul setem kini boleh mendapatkan setem khas premium keluaran Pos Malaysia sempena ulang tahun ke-50 Bank Negara, mulai 18 Januari ini.

Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata, selain dicetak dengan visual syiling ulang tahun ke- 50 Bank Negara, keunikan setem itu terletak pada bahan yang digunakan untuk cetakan iaitu mengandungi 99.9 peratus bahan berasakan perak.

“Setem eksklusif ini dicetak dengan denominasi RM50 dan kami hanya mengeluarkan sebanyak 5,000 keping sahaja,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, melalui pengeluaran setem itu, Pos Malaysia secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada masyarakat jenis syiling yang dikeluarkan dan peranan yang dimainkan oleh Bank Negara sepanjang 50 tahun penubuhannya.

“Kerjasama dua pihak ini adalah sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Bank Negara terutama dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Orang ramai boleh dapatkan setem, lembaran mini dan sampul surat hari pertama juga pada 18 Januari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: