Saturday, January 2, 2010

Serina, Gavin selamat diijabkabul



Dengan sekali lafaz, pelakon dan pengacara popular, Serina Redzuawan, 26, telah sah bergelar isteri kepada mat salleh yang berasal dari London, Gavin O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar, 33. Pasangan yang telah menyulam cinta sejak setahun lalu ini selamat diijabkabulkan pada jam 11.30 pagi semalam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur .

Serina yang anggun berseri dengan busana berwarna putih dan merah jambu hasil rekaan Jovian Mandagie itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Ustaz Mohd Nazarudi Mohd Nadzir, dengan mas kahwin RM1,000, dan berwalikan oleh bapanya sendiri, Chef Wan atau Redzuawan Ismail.

Dalam majlis yang penuh bermakna itu, Serina menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 dan sebentuk cincin di samping enam dulang hantaran lain dari pihak lelaki yang berupa, telekung, sepasang kain, set wangian dan solekan, beg tangan, gelang tangan, al-Quran berserta tasbih, kek dan tepak sirih.

Sementara itu Serina membalas sembilan dulang kepada pihak lelaki iaitu jam tangan, dompet dan tali pinggang, tali leher berserta kafling, sepasang kemeja, telefon bimbit, set wangian, al-Quran, kek dan sirih junjung.

Harap perkahwinan kekal ke akhir hayat

Serina dan Gavin yang ditemui sebaik selesai majlis akad nikahnya itu, meluahkan perasaan sangat gembira dan syukur kerana impian mereka untuk disatukan akhirnya termakbul juga pada hari itu. Seperti pasangan lain, mereka juga mengharapkan agar perkahwinan yang dibina itu akan kekal ke akhir hayat.

“Bila dah kahwin tanggungjawab saya semakin bertambah berat, terutamanya untuk membimbing Gavin. Saya bukanlah terlalu ‘maksum’ atau sempurna sangat untuk mengajar Gavin tentang hal-hal agama, tetapi Insya-Allah saya akan cuba berikan contoh yang terbaik untuk Gavin. Saya juga berharap kami dapat sama-sama mendalami agama dan harap hubungan kami akan kekal ke hujung nyawa,” kata Serina yang kelihatan berseri-seri setelah bergelar isteri orang.

Dalam pada itu, Gavin yang merupakan Pengarah Eksekutif di syarikat Football Focus Sdn Bhd, turut meluahkan rasa gembira kerana dapat memperisterikan Serina yang bukan sahaja memiliki raut wajah yang cantik tetapi juga menepati ciri-ciri wanita yang diingininya.

“Ketika saya mengenali Serina, saya tak tahu pun yang dia seorang selebriti. Lagipun saya jarang menonton TV kerana kebanyakan programnya berbahasa Melayu. Bila dah kenal, barulah saya tahu dia selebriti di sini. Tetapi saya bukanlah mengahwininya kerana statusnya itu,” kata Gavin yang turut teruja dan kagum dengan majlis perkahwinannya yang berlangsung dengan penuh adat budaya Melayu.

Bagi Serina pula, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin dengan jejaka mat salleh, namun ciri-ciri yang ada pada Gavin membuatkan hatinya terbuka untuk hidup bersama meskipun pada awalnya agak sukar untuknya menyesuaikan diri kerana perbezaan budaya.

“Gavin seorang yang penyayang, romantik dan sangat mengambil berat tentang diri saya. Paling penting, dia selalu menggembirakan hati saya dan hormati keluarga saya. Itulah yang membuatkan saya kagum dengannya,” katanya yang mungkin akan berbulan madu di Pulau Maldives dan juga Pulau Santorini, Greece, hadiah daripada Chef Wan.

Jelas Serina lagi, dia juga sudah bersedia untuk menimang cahaya mata dan ingin memiliki dua pasang anak lelaki dan perempuan.


Chef Wan sebak di majlis akad nikah

Dalam pada itu, Chef Wan yang ditemui turut meluahkan rasa gembira kerana dapat menyempurnakan majlis perkahwinan satu-satunya anak perempuannya itu. Namun jauh di sudut hatinya berasa sayu dan sedih kerana sebagai bapa yang telah membesarkan Serina selama ini, akhirnya terpaksa jua melepaskan anak kesayangannya itu kepada orang lain.

“Adatlah mana-mana ayah pun akan rasa apa yang saya rasa. Tanggungjawab saya terhadap Serina kini sudah berakhir dan diambil alih oleh Gavin. Saya percaya, Gavin adalah lelaki yang tepat untuk Serina dan dia boleh bahagiakan anak saya. Apa pun, saya bersyukur kerana dapat mengahwinkan Serina dan dapat merasai detik-detik berharga ini,” kata Che Wan yang turut menitiskan air mata ketika majlis akad nikah Serina berlangsung.

Selepas majlis akad nikah, pada sebelah malamnya pula pasangan ini turut diraikan dalam majlis berinai secara besar-besaran yang bertemakan ‘Maghribi’ bertempat di Hotel JW Marriot. Sementara itu, majlis persandingan mereka yang berkonsepkan tradisional pula akan menyusul pada malam ini di The Royale Chulan, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: